Anthony Martial Bakal ke Real Madrid?

Siapa yang tidak kenal dengan Anthony Martial – penyerang berbisa pasukan Manchester United yang sering melakukan aksi magis dan memukau penonton dengan gelecekan bola yang hebat di atas padang. Gol demi gol yang dihasilkannya telah berjaya membawa United menamatkan saingan liga musim lalu di tangga kedua.

Ayat di atas adalah ayat contoh yang boleh digunakan sebagai ayat pendahuluan kepada sesebuah karangan, sebelum masuk ke isi-isi penting.

Tapi alang-alang dah bercerita pasal Martial ni kan, kita cerita sikit lah pasal khabar angin yang tersebar di bumi Eropah ketika semua orang tengah layan Euro 2020 ni.

Ada berita mengatakan bahawa Manchester United mahu menawarkan pemain Perancis ini kepada kelab gergasi Sepanyol demi memberi laluan kepada pemain-pemain baharu yang dikatakan bakal menyertai kelab Old Trafford itu pada musim panas ini.

Penyokong United sebenarnya berbelah bahagi tentang Martial ni. Ada yang cakap pemain berusia 25 tahun ini sebagai pemain yang bagus dan berpotensi untuk menjadi lagenda kelab setaraf Wayne Rooney dan Ruud Van Nistelrooy, manakala sebahagian yang lain pula tak sabar nak tengok Martial angkat beg meninggalkan kelab mereka.

Menurut seorang wartawan, Duncan Castles, Martial dikatakan telah ditawarkan kepada pasukan yang telah memenangi Liga Juara-Juara UEFA lebih 10 kali, Real Madrid, dan ejennya kini sedang merangka rancangan untuk membawa Martial keluar daripada kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.

Ketika artikel ini ditulis, United dikatakan sedang berada dalam fasa akhir untuk mendapatkan bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho, dan dikhabarkan bahawa terma dan syarat peribadi sudahpun dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Lagi pula, United juga didakwa bersedia untuk berbelanja besar untuk membawa kapten England di Euro 2020, Harry Kane. Kane sebelum ini secara terbuka mengakui bahawa dia perlu berpindah keluar dari Tottenham Hotspur jika mahu memenangi sebarang kejuaraan, dengan kelab dari Manchester adalah destinasi yang berikutnya.

Jika perpindahan kedua-dua pemain ini menjadi kenyataan, maka peluang Martial untuk kembali menerajui barisan serangan United dilihat semakin kabur dan oleh sebab itulah ejennya mencari jalan keluar buat Martial, dan menawarkannya kepada Real Madrid.

Laporan ini juga menggamit kenangan tatkala Martial menunjukkan kehebatannya membelah barisan pertahanan Real Madrid dengan bersahaja ketika bermain dalam kejohanan pra-musim Piala Juara-Juara Antarabangsa pada tahun 2017.

Selepas menerima bola dari sebelah kiri, Martial dengan cemerlangnya menewaskan beberapa orang pertahanan Real Madrid sebelum menghantar bola kepada wonderkid Jesse Lingard, lantas disudahi dengan gol dari jarak dekat.

Kalau tak percaya, tengok klip di bawah ni.

Macam tak percaya, kan?

Martial mempunyai kebolehan yang cukup abgus, tapi sayang, penyokong United hanya dapat melihat aksi tersebut sekali sekala sahaja.

Tapi itulah Martial. Ketika hari baiknya, dia bagaikan calon pemenang Ballon d’Or, namun di hari lain, dia ibarat Raja Pikor yang tewas di tangan Son Goku dalam komik Dragon Ball episod 14.

Setakat ini, Martial telah bermain sebanyak 258 perlawanan buat United dan menjaringkan 78 gol sejak berpindah dari AS Monaco pada harga £58juta, dengan gaji sebanyak £250,000 seminggu.

Sepanjang bersama United, Martial telah membantu pasukan tersebut memenangi beberapa piala seperti Piala FA, Piala Liga dan juga Liga Europa.

Pada musim lalu, prestasinya masih lagi terumbang-ambing secara konsisten, dan sering menjadi cemuhan para penyokong pasukan Syaithon Merah. Menuju ke penghujung musim, pemain ini ditimpa nasib malang apabila mengalami kecederaan jangka panjang, sekaligus terlepas peluang untuk beraksi bersama Paul Pogba dan N’Golo Kante di Kejohanan Eropah yang sedang berlangsung kini.

Andai perpindahan Martial ke ibukota Sepanyol ini menjadi kenyataan, kami doakan penyokong United tidak meratapi pemergian pemain ini.

Ingatlah pesanan Yah Kuchai; “Burung tempua di laut, asam keping di darat. Dalam kuali bertemu juga.”

Berita luar kotak ini dipetik dari : Givemesport

BACA:  Matic Gesa Manchester United Beli Pemain Yang Lebih Berpengalaman