Anthony Martial Dilaporkan Telah Meninggalkan Kem Pra-Musim Manchester United Di US

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengesahkan Anthony Martial telah meninggalkan kem pra-musim Manchester United di Amerika Syarikat tetapi bukan atas faktor bola sepak.

Pemain antarabangsa Perancis itu dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa buah kelab utama Eropah selepas gagal menambat hati Mourinho musim lepas.

Beliau sering diletakkan di bangku simpanan dan bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik apabila diberikan peluang bermain.

Pemain yang tidak mampu memaparkan perasaan di mukanya.

Juventus dan Chelsea merupakan kelab yang hangat dikaitkan dengan Martial dan tindakan pemain tersebut meninggalkan kem pra-musim Red Devils menghangatkan lagi spekulasi tersebut.

Martial  juga dilaporkan telah menghantar permohonan untuk berpindah pada tirai perpindahan musim panas ini tetapi sehingga saat ini, tiada kelab yang sanggup memenuhi permintaan Manchester United berkenaan harga Martial.

Walau bagaimanapun, Mourinho menegaskan keputusan untuk membenarkan Martial meninggalkan kem pra-musim bukan kerana Martial ingin berpindah keluar, tetapi kerana sebab perabadi. Martial bergegas meninggalkan Amerika Syarikat dan menuju ke Paris untuk menyambut kelahiran anak kedua beliau.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas melihat anak buahnya menewaskan AC Milan 9-8 menerusi sepakan penalti awal pagi tadi, Mourinho telah ditanya soalan mengenai masa depan Martial di Old Trafford.

“Saya dapat tahu mengenai Martial yang pulang ke Paris apabila beliau sendiri yang memberitahu saya. Ia berlaku 2 atau 3 hari yang lalu. Apabila ia melibatkan sebab peribadi, setiap pihak akan menilai situasi tersebut mengikut pendapat mereka sendiri.”

Martial meminta kebenaran untuk bersama keluarganya bagi menyambut kelahiran anak kedua. Usah gusar peminat United

“Dalam kes ini, seorang lelaki akan menjadi ayah. Ia merupakan kelahiran kedua dan beliau akan menjadi ayah buat kali kedua. Martial merasakan amat penting untuk beliau berada di sana, dan tiada siapa berhak menghalang beliau daripada bersama keluarganya.”

Kemenangan ke atas AC Milan merupakan kemenangan pertama United dalam saingan International Champions Cup tahun ini dan Mourinho gembira dengan persembahan anak buahnya dalam perlawanan tersebut.

Sebelum ini, United hanya mampu mencatatkan keputusan seri menentang Club America dan San Jose Earthquakes dalam siri jelajah United States.

“Kami bermain dalam formasi 3-5-2 yang kami jarang gunakan, jadi ia merupakan pengalaman yang berguna untuk pemain-pemain saya. Kami melakukan beberapa kesilapan ketika bertahan, tetapi ketika kami mempunyai pegangan bola, kami amat berbahaya terutamanya ketika pemain saya masih lagi cergas.”

Joel Pereira hero United ketika penentuan sepakan penalti

“Masalah utama kami sekarang adalah untuk bermain selama 90 minit, tetapi selam 65 minit perlawanan, pemain saya bermain dengan sangat baik.”

“Kami bukan sahaja mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, tetapi juga berpeluang untuk menjaringkan gol yang sangat cantik. Pertama melalui counter attack Ander Herrera pada separuh masa pertama dan babak kedua melalui Alexis Sanchez.”

“Penalti pada hujung perlawanan tidak membawa sebarang makna tetapi bagi peminat bola sepak terutamanya yang berada di Amerika Syarikat, mereka menikmati penentuan sepakan penalti tersebut. Ia seronok untuk disaksikan.”

BACA:  Rashford Berhadapan Amarah ETH Selepas 'Libur-Libur' Di Kelab Malam Selama Dua Malam