Antonio Conte Memilih 9 Pemain Ini Sebagai Kunci Utama United Di Bawah Kendaliannya

Seandainya Antonio Conte dilantik untuk menjadi pengurus Manchester United, maka beliau akan ada sembilan pemain sedia ada yang akan menjadi kunci untuknya membangunkan skuad.

Dua pemain pertahanan England, Harry Maguire dan Luke Shaw jelas sekali berada di ambang kejatuhan dengan mereka mungkin akan hilang tempat dalam skuad utama.

Bekas pengurus Juventus, Chelsea dan Inter Milan itu, pada ketika ini sedang hangat dikaitkan dengan bakal menguruskan Manchester United.

Beliau dikatakan akan dilantik sebagai pengurus, untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer yang mungkin akan dipecat oleh kelab dalam masa terdekat ini.

Masa depan Solskjaer bersama kelab semakin samar-samar selepas pengurus dari Norway itu gagal membantu United untuk mendapatkan keputusan yang positif.

Beliau tewas teruk dalam dua aksi terakhir dalam saingan liga selepas dikejutkan dengan kekalahan 4-2 bertemu Leicester dan turut diaibkan dengan kekalahan 5-0 bertemu Liverpool.

Dek kerana keputusan-keputusan yang mengecewakan itu, maka ramai pihak yang menggesa pihak kelab untuk memecat pengurus dari Norway itu.

Solskjaer pada ketika ini dilaporkan telah diberi peluang oleh pihak kelab untuk membuktikan sesuatu dari tiga perlawanan United selepas ini.

Bermula dengan aksi bertemu Tottenham Hotspur di halaman lawan, diikuti dengan aksi dalam saingan Champions League bertemu Atalanta, dan terakhir aksi bertemu Manchester City di Old Trafford.

Beliau perlu memastikan skuadnya mempamerkan aksi terbaik dari ketiga-tiga perlawanan tersebut, kerana ia bakal jadi penentu masa hadapan beliau.

Conte sementara itu sedang mencari projek baru untuk beliau uruskan, selepas beliau sebelum ini memutuskan untuk meninggalkan Inter Milan.

Pengurus berpengalaman itu sudah menyatakan persetujuan beliau untuk mengendalikan Manchester United, dan beliau terbuka untuk menggantikan Solskjaer andai khidmatnya diperlukan.

Satu hal yang pasti, pengurus berusia 52 tahun itu jelas sekali memiliki pengalaman yang cukup luas dalam mengendalikan pemain-pemain bintang serta diva di dalam bilik persalinannya.

Beliau berjaya membantu Romelu Lukaku untuk menjadi sebagai antara pemain penyerang yang paling digeruni pada ketika ini.

Lukaku mula menyerlah selepas beraksi di bawah kendalian Conte ketika karier mereka bersama Inter Milan sebelum ini, dan turut berjaya membantu kelab memenangi gelaran Serie A musim lalu.

Berdasarkan komen dari Ashley Young kepada Gabriel Agbonlahor minggu ini, Conte merupakan pengurus yang akan meminta para pemainnya untuk memberikan yang terbaik ketika sesi latihan.

Jadi, adakah beliau mampu meneruskan momentum yang sama ketika mengendalikan Manchester United nanti?

Menurut sumber laporan dari Gazzetta dello Sport, Conte telah mengenal pasti Cristiano Ronaldo, Alex Telles, Bruno Fernandes, Paul Pogba, Raphael Varane, Anthony Martial, Jadon Sancho, Marcus Rashford dan Mason Greenwood sebagai kunci utama untuk skuadnya nanti.

Seandainya laporan di atas tepat dan ia memang benar-benar keluar dari mulut Conte, maka tempat untuk Harry Maguire, Luke Shaw dan Wan Bissaka akan terjejas.

Kesemua pemain ini perlu membuktikan sesuatu seandainya mereka mahu mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Fred dan Scott McTominay yang sering dikecam teruk oleh para peminat juga tiada dalam senarai pemain pilihan Conte, maka mereka juga sepertinya perlu buktikan sesuatu di padang latihan.

Conte sememangnya seorang pengurus yang tegas, dan beliau sangat pantang andai ada pemain yang tidak mengikuti taktikal atau perancangan yang telah beliau sediakan.

Melihat kepada barisan pemain yang sudah beliau senaraikan, sepertinya beliau sudah ada perancangan tersendiri tentang bagaimana untuk menggunakan kesemua pemain itu, dan membantu untuk mereka semua bersinar.

Walau bagaimanapun, adakah benar Conte akan berpeluang untuk mengendalikan Manchester United? Atau Solskjaer akan terus diberi kepercayaan untuk membuktikan beliaulah yang akan membawa United ke puncak kejayaan?

Sumber: SPORTbible

BACA:  Reaksi Peminat Manchester United Apabila Najib Razak Update Status Mengenai Pasukan Kesayangan Beliau