Antonio Conte Tidak Mahu Dikaitkan Dengan Kekosongan Pengurus Itali

Pengurus Chelsea, Antonio Conte mahu terus kekal bersama kelabnya sekarang dan menafikan dakwaan yang mengatakan beliau berminat untuk menggantikan tempat Gian Pero Ventura sebagai pengurus Itali yang baru.

Bekas pemain antarabangsa Itali ini mahu terus kekal bersama penyandang juara Liga Perdana Inggeris selepas membimbing skuad Chelsea menjuarai liga pada tahun pertama beliau sebagai pengurus di Stamford Bridge.

Selepas menguruskan pasukan Juventus, Conte mengambil alih tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan Itali selama dua tahun sehingga berakhirnya saingan EURO’ 2016 dan kemudiannya menyertai Chelsea.

Pengganti beliau, Gian Pero Ventura telah dipecat pada 5 November lalu selepas pasukan Itali di bawah kendaliannya gagal melayakkan diri ke saingan Piala Dunia 2018 buat kali pertama sejak tahun 1958, apabila Itali tewas secara aggregat 1-0 di tangan Sweden dalam play-off.

Conte tidak berminat untuk urus Italy buat masa sekarang.

Terdapat laporan dari Itali mengatakan bekas pengurus Chelsea dan Bayern Munich, Carlo Ancelotti adalah calon utama untuk mengambil alih kekosongan jawatan tersebut selain Antonio Conte.

Walaubagaimanapun, Persatuan Bolasepak itali mungkin boleh melupakan hasrat mereka untuk memujuk Conte pulang ke pangkuan pasukan kebangsaan kerana Conte telah menafikan yang beliau berminat dengan jawatan tersebut.

Ketika ditanya pemberita adakah beliau berminat, Conte menjawab:

“Buat masa sekarang, saya fokus untuk memberikan yang terbaik kepada Chelsea, dan fokus saya sekarang hanyalah untuk mencipta struktur pasukan yang mantap di Chelsea. Saya mahu mencipta asas yang kukuh walaupun pasukan ini memenangi liga musim lepas kerana kami tahu masih banyak perkara yang mesti kami lakukan. Fokus saya hanya untuk Chelsea.”

“Hati dan perasaan saya sama sahaja seperti rakyat Itali yang lain. Saya amat sedih dengan apa yang berlaku kepada Itali. Ini adalah kekecewaan terbesar dalam bolasepak kami.

Selepas mengharungi 60 tahun, kami terlepas peluang untuk beraksi dalam Piala Dunia. Semua pihak pasti sedar kepentingan bolasepak kepada Itali.”

“Bolasepak adalah perkara paling diminati setiap penduduk Itali. Buat masa ini, saya percaya semua pihak harus duduk berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

Setiap pihak di Itali mesti bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku, bukan hanya seorang, dua, tiga orang sahaja kerana apabila pasukan kebangsaan gagal, seluruh negara turut gagal.”

“Kami harus menggunakan saat duka ini untuk mengkaji kembali setiap kesalahan dan cuba mencari penyelesaian yang terbaik, bukan hanya melalui perkataan tetapi melalui fakta.

Jika kamu melantik pengurus baru untuk mengubah situasi ini dan tidak meletakkan beliau dalam keadaan yang baik, ianya tidak cukup untuk mengubah keadaan.

Pengurus baru mesti diberikan persekitaran yang terbaik untuk mengubah sesuatu, dan tidak harus menemui halangan ketika beliau menjalankan tugas.”

Chelsea menyambung kembali aksi Liga Perdana Inggeris selepas tempoh rehat antarabangsa dengan kunjungan ke Hawthorns bagi menewaskan West Bromwich Albion 4 gol tanpa balas.

Chelsea kini berada dalam mood yang baik selepas menewaskan pencabar utama liga, Manchester United di gelanggang sendriri dalam perlawanan terakhir mereka.

Baca Juga

Baca Juga