Antony ke Manchester United: Perbelanjaan Besar, Pulangan Kecil

Perpindahan Antony ke Manchester United: Satu Pengajaran Mahal

Pada hari ini Manchester United telah berada dalam kewangan yang sukar. Salah satu sebab ia berlaku kerana perbelanjaan besarnya dalam pasaran perpindahan. Satu contoh paling jelas adalah pembelian Antony dari Ajax pada 2022 dengan harga sekitar €100 juta. Pemain sayap dari Brazil itu kini dipinjamkan ke kelab Sepanyol, Real Betis, selepas gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan di Old Trafford.

Bagi penyokong United, sukar untuk memahami bagaimana seorang pemain yang dibeli dengan harga £84.1 juta (perpindahan kedua termahal dalam sejarah kelab selepas Paul Pogba) hanya mampu menjaringkan 12 gol dan mencatat 5 bantuan dalam tempoh dua setengah musimnya disana.

United Sedar Mereka Bayar Terlalu Mahal

Sumber dalaman kelab mendedahkan bahawa United sebenarnya tahu mereka membayar lebih dari nilai sebenar. Perkara ini dapat dilihat dalam gajinya yang jauh lebih rendah berbanding pemain utama lain.

Antony menerima gaji sekitar £140,000 seminggu jika United layak ke Liga Juara-Juara tetapi disebabkan mereka hanya bermain di Liga Europa gajinya dipotong sebanyak 25% menjadi sekitar £105,000 seminggu. Ketika rundingan perpindahan, ejen Antony pada asalnya meminta gaji sebanyak £250,000 seminggu tetapi United berjaya menawarkannya jumlah yang lebih rendah kerana pemain itu terlalu beriya nak ke United. Dia enggan berlatih dengan Ajax untuk memaksa perpindahan berlaku.

Gaji rendah yang diberikan kepada Antony memudahkan mereka mencari kelab lain untuk mengambilnya secara pinjaman. Real Betis yang purata gaji pemainnya sekitar £40,000 seminggu sanggup menanggung sebahagian besar gajinya. Mereka kini membayar sekurang-kurangnya 84% daripada gajinya. Ia menjadikan Antony antara pemain dengan gaji tertinggi di kelab itu selepas bekas pemain Real Madrid, Isco.

Namun, perbezaan antara gaji dan yuran perpindahan Antony menunjukkan United sedar mereka membayar terlalu mahal kepada Ajax ketika membelinya satu masa dahulu.

Di dalam kelab, terdapat pihak yang membantah jumlah besar yang dibelanjakan untuk Antony tetapi keputusan akhir dibuat berdasarkan keperluan pasukan ketika itu. Ketika itu, United tidak begitu menitikberatkan peraturan Financial Fair Play (FFP) seperti sekarang.

Antony sepatutnya menjadi pemain utama di posisi sayap kanan tetapi kerana prestasinya yang tidak konsisten dengan harga yang dibayar untuknya kini dilihat sebagai satu pembaziran besar.

Bagaimana United Sampai ke Situasi Ini?

Pada musim panas 2022, jendela perpindahan pertama Erik ten Hag sebagai pengurus United bermula dengan usaha mendapatkan Frenkie de Jong dari Barcelona. United memperuntukkan bajet sebanyak €85 juta untuk membeli pemain-tengah itu tetapi rundingan untuk mendapatkan telah gagal, menyebabkan mereka lambat berbelanja di posisi lain.

Pada mulanya Ten Hag sebenarnya mahu mendapatkan Lisandro Martinez dan Antony dari Ajax tetapi Ajax hanya bersedia menjual seorang pemain sahaja. United memilih Martinez sebagai keutamaan dan menandatanganinya dengan harga £57 juta.

United sudah memantau Antony sejak dia berusia 15 tahun di akademi Sao Paulo. Ketika itu, laporan dari pencari bakat menyebut bahawa dia mempunyai kepantasan dan teknik yang baik tetapi terlalu bergantung pada kaki kiri dan corak permainannya mudah dijangka.

Selepas berpindah ke Ajax pada 2020, prestasinya semakin meningkat. Pada musim 2021-22, dia menjaringkan 12 gol dan mencatat 10 bantuan dalam 33 perlawanan, termasuk di Liga Juara-Juara. Prestasi ini menarik perhatian kelab Liga Perdana Inggeris seperti Liverpool dan Tottenham. Pada masa itu, nilai pasaran Antony dianggarkan antara £40 juta hingga £50 juta.

Pada mulanya, United enggan membayar lebih daripada £60 juta untuk Antony. Mereka juga mempunyai pilihan lain untuk posisi sayap kanan seperti Raphinha (Leeds United) dan Cody Gakpo (PSV Eindhoven). Raphinha lebih berminat ke Barcelona manakala Gakpo akhirnya menyertai Liverpool dengan harga £44 juta.

Selepas United tewas dalam 2 perlawanan pertama liga di bawah kendalian Ten Hag (menentang Brighton dan Brentford), kelab mula panik dan kembali berbincang dengan Ajax. Ajax menaikkan tawarannya dari €80 juta kepada €100 juta dan akhirnya Antony berpindah ke Old Trafford.

Ketika itu, pemilik kelab, Joel Glazer, bersetuju untuk meluluskan pembelian ini selepas melihat betapa bersungguh-sungguhnya Antony mahu menyertai United.

Apa yang Akan Berlaku kepada Antony?

Antony bermula dengan baik di United. Dia menjaringkan gol dalam 3 perlawanan pertamanya – menentang Arsenal, Manchester City dan Everton. Dia juga menjaringkan gol penting ketika menentang Barcelona dalam Liga Europa.

Namun, selepas itu prestasinya semakin merosot. Pada September 2023, Antony diketepikan daripada skuad selama sebulan selepas bekas pasangannya, Gabriela Cavallin menuduhnya melakukan keganasan. Kes itu masih dalam siasatan polis Manchester.

Dalam aspek bola sepak, persembahan Antony tidak konsisten, malah dia pernah bergaduh dengan Ten Hag kerana diminta bermain di posisi bek-kiri.

Pada Februari lalu, Ten Hag membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan Antony dalam perlawanan menentang Fulham. Ten Hag sebaliknya memilih Omari Forson seorang pemain muda dari akademi untuk membuat penampilan sulungnya.

Sekarang, dengan Antony dipinjamkan ke Real Betis, United berharap dia dapat meningkatkan prestasi dan nilainya sebelum perpindahan tetap pada musim panas nanti.

Dari sudut kewangan, United masih perlu mencari kelab yang sanggup membayar sekurang-kurangnya £34.2 juta untuknya bagi menutup baki nilai dalam kontraknya. Merujuk kepada prestasinya sekarang, ia bukan lah satu tugas yang mudah.

Bagi United dan pemilik baharunya, perpindahan Antony menjadi satu pengajaran mahal tentang betapa pentingnya perancangan dan pengurusan kewangan dalam bola sepak moden.

BACA:  Strategi Terkini Jendela Perpindahan di Bawah Kepimpinan Baru Man United