Apa Itu ‘Third Party Ownership’ dalam Perpindahan Pemain?

Semalam dunia bola sepak kecoh apabila bekas pengurus England, Sam Allardyce terkantoi bagaimana dia mengakui boleh membantu syarikat atau ejen pemain bola untuk melanggar peraturan FA dan FIFA bagaimana untuk mendapatkan pemain secara pemilikan pihak ketiga atau third party ownership (TPO).

Apa itu third party ownership?

TPO ialah pemilikan pemain di mana pelabur – yang boleh jadi individu tunggal, syarikat atau sejumlah dana/geran mempunyai hak komersial seseorang pemain itu.

TPO menjadi kecoh di England pada 2006 apabila dua pemain Argentina, Carlos Tevez dan Javier Mascherano berpindah dari kelab Brazil, Corinthians ke West Ham United.

Ketika di West Ham, Tevez dan Mascherano bukanlah milik West Ham sepenuhnya sebaliknya mereka dimiliki sebahagiannya oleh satu badan yang mempunyai dana di London.

Gambar : BBC
Gambar : BBC

Malah pernah di Itali suatu ketika dahulu, TPO bukan sekadar antara kelab dan syarikat atau individu, malah TPO juga berlaku di antara kelab-kelab.

Bagaimana terjadinya TPO?

TPO boleh terjadi dalam beberapa situasi, contoh yang paling mudah difahami adalah seperti berikut:

Kelab yang ingin membeli seseorang pemain itu tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar yuran perpindahan.

Contoh kes.

Brendan Gan adalah pemain AC Milan. FC Porto berminat untuk membeli Brendan Gan, lalu Milan meletakkan harga 14 juta Euro memandangkan Brendan Gan masih mempunyai baki kontrak 3 tahun bersama mereka.
Tetapi Porto hanya mempunyai 7 juta Euro untuk membeli Brendan Gan dan ketika inilah Porto akan meminta pertolongan syarikat, contohnya 1MDB, untuk menyumbangkan baki 7 juta Euro dengan persetujuan bahawa Porto memiliki hak 50% dari nilai komersial Brendan Gan dan 1MDB lagi 50%.

Selepas dua musim bermain di Porto, Liverpool membeli Brendan Gan dengan harga 20 juta Euro. Maka 20 juta Euro tersebubt perlu dibahagikan antara Porto dan 1MDB mengikut pemilikan hak komersial masing-masing.

Apa keburukan TPO?

TPO akan menafikan integrity permainan bola sepak itu sendiri, apabila :

  1. Perpindahan pemain tidak membantu kelab yang menjual.

Dalam kes Brendan Gan tadi, Porto sepatutnya mendapat 20 juta Euro, tetapi hanya menerima 10 juta Euro dek perjanjian dengan 1MDB. Sedangkan jika Porto menerima jumlah total, Porto boleh membeli pemain yang standing kualitinya selain mampu untuk berbelanja untuk menaik taraf akademi atau fasilitinya.

Jadi, selain menjemput syarikat pelabur untuk hak TPO, Porto boleh mendapatkan wang melalui pinjaman bank seperti SME atau Bank Rakyat – Bank pilihan anda.

  1. Berlaku aturan perlawanan

Jika satu pelabur mempunyai 10 pemain dari 10 kelab berlainan dalam satu liga, maka pelabur tersebut mempunyai potensi untuk mengarahkan pemain di bawah kuasanya untk mengatur perlawanan atau membuat aktiviti yang korup.

Keadaan akan lebih parah jika pelabur mempunyai hubungan dengan syarikat judi bola sepak atau bookie!

Contohnya Kia Joraabchian memiliki Carlos Tevez dan Mascherano dan masing-masing bermain untuk West Ham dan Liverpool. Joraabchian mempunyai potensi untuk mengarahkan Tevez supaya tidak menjaringkan gol menentang Liverpool bagi mengelakkan Liverpool tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Logik bukan?

  1. Pelabur berpotensi untuk campur tangan pemilihan kesebelasan utama

Sebagai pemilik seseorang pemain, pelabur pastinya mahukan nilai komersial pemain tersebut sentiasa meningkat dan untuk berlakunya demikian, pemain tersebut perlu bermain banyak perlawanan dan konsisten.

Pelabur-pelabur ini mempunyai kemungkinan untuk mempengaruhi pihak pengurusan kelab dalam menentukan line-up sesuatu pasukan, seterusnya menggangu kredibiliti jurulatih pasukan tersebut.

  1. Nilai komersial pemain tidak membantu kelab

Kalau di eropah, penjualan cenderamata seperti jersi yang mempunyai nama pemain memang dikira, seterusnya pasukan dan pemain akan mendapat sebahagian laba dari penjualan jersi tersebut dari pembuat jersi. Tetapi jika pemain tersebut dimiliki pelabur, sebahagian komisen untuk kelab dari pembuat jersi akan pergi ke pelabur tersebut. Hal ini semestinya kurang membantu kelab dalam menjana pendapatan.

Apakah TPO masih lagi sah?

Tidak. TPO telah diharamkan di England pada musim 2006/07 dan diharamkan oleh FIFA pada tahun 2014.

Adakah wujudnya TPO di Malaysia?

Kebanyakan kontrak pemain di Malaysia adalah dalam tempoh setahun-setahun. Kau rasa?

Baca Juga

Baca Juga