APA LAGI PKNS MAHU? Belum Reda Isu Gol Pelik, Kedah Tidak Dibenarkan Berlatih Di Padang PKNS

KUALA LUMPUR – Pada ketika isu gol ‘pelik’ PKNS masih memba­yangi Kedah, persiapan skuad Lang Merah untuk menghadapi separuh akhir Piala Malaysia terus terganggu gara-gara tidak mempunyai padang latihan ketika kejohanan bola sepak paling berprestij tanah air itu memasuki peringkat paling penting.

Pemain Kedah, yang berdepan tugas berat menentang Felda Uni­ted di Selayang esok, masih tidak tahu di mana mereka akan berlatih hingga lewat malam tadi kerana secara tiba-tiba menerima arahan mengejut apabila tidak lagi dibenar menggunakan Stadium PKNS di Petaling Jaya.

Juara empat kali itu masih dibenarkan berlatih di Stadium PKNS semalam, iaitu dua hari selepas mereka menumpaskan PKNS 3-1 dan agregat 4-2 dalam suku akhir kedua Piala Malaysia, sebelum diberitahu mereka tidak dibenarkan lagi untuk meneruskan latihan di stadium berkenaan atas sebab yang tidak dijelaskan.

Keadaan itu menyebabkan suasana sedikit kelam kabut dalam kem Lang Merah, yang berusaha mendapatkan padang latihan baharu untuk pemainnya pada saat akhir ketika The Fighters pula menjalani latihan selesa seperti biasa di Wisma FAM.

Menurut sumber dalaman skuad Kedah, beliau tidak pasti mengapa PKNS menghalang pasukan itu daripada menggunakan stadium mereka, tetapi mengesyaki ada kaitan dengan beberapa insiden yang membabitkan kedua-dua pasukan dalam saingan suku akhir Piala Malaysia.

Katanya, PKNS mungkin tidak berpuas hati kerana pemain Kedah tetap meneruskan permainan ketika ada pemain pasukan itu mengalami kecederaan dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Aman yang berkesudahan kedua-dua pasukan seri 1-1 Selasa lalu.

Dalam insiden kedua yang menjadi tumpuan peminat bola sepak negara, jaringan pemain PKNS, Mohd. Faiz Isa pada suku akhir ke­dua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Sabtu lalu menimbulkan kontroversi kerana pemain lawan meneruskan permainan ketika Kedah sedang meraikan gol kedua mereka.

“Hari ini (semalam) kami masih boleh berlatih di Stadium PKNS, tetapi tiba-tiba kami mendapat arahan tidak lagi dibenarkan berlatih di situ kerana jurulatih PKNS tidak membenarkannya. Tiada sebarang alasan diberikan mengapa Kedah tidak boleh berlatih.

“Situasi itu menyebabkan kami terpaksa mencari padang latihan baharu pada saat akhir dan ini memang menyulitkan keadaan kerana perlawanan penting separuh akhir Piala Malaysia hanya akan berlangsung keesokan hari, jadi kami memang kena berlatih walau apa cara sekali pun,” kata sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia.

Menurut sumber itu lagi, padang latihan pasukan pelawat sepatutnya disediakan oleh tuan rumah, dan dalam kes Kedah adalah tanggungjawab Felda United.

Bagaimanapun tegasnya, Felda tidak boleh dipersalahkan dalam perkara ini kerana mereka sudah menyediakan Stadium PKNS buat Lang Merah, namun malangnya kebenaran berlatih tidak diberikan oleh PKNS pada saat akhir.

Sumber

– See more at: http://m.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kedah-8216-diusir-8217-dari-padang-latihan-1.164116#sthash.75POkdW6.dpuf

Baca Juga

Baca Juga