Nottingham Forest kini berdepan persoalan yang mungkin tidak dijangka ramai: adakah kelab ini cukuo bersedia untuk bersaing di Liga Juara-Juara?
Walaupun menduduki tangga ke-3 di Liga Perdana Inggeris, saingan untuk kekal dalam kelompok 5 teratas sangat sengit. Banyak pasukan lain yang turut mengidamkan tempat ke Eropah dan Forest perlu berusaha lebih keras untuk mempertahankan kedudukannya.
Perlawanan menentang Manchester City, yang kini berada di tangga ke-4, hujung minggu ini menjadi ujian besar. Rekod mereka yang hanya tewas 2 kali di City Ground sepanjang musim ini telah diuji sekali lagi dan berjaya melepasinya apabila mencatat kemenangan 1-0 di City Ground.
Jika Forest berjaya layak ke Eropah, mereka perlu mula merancang dengan teliti, bukan sahaja dari segi taktikal, tetapi juga dari aspek skuad dan pengurusan kelab.
Cukupkah “Kedalaman Skuad” untuk Beraksi di Peringkat Eropah?
Forest turut melangkah ke suku akhir Piala FA di mana mereka bakal berdepan Brighton. Tetapi adakah mereka mempunyai skuad yang cukup untuk bersaing di peringkat Eropah dan domestik serentak?
Pengurus pasukan, Nuno Espirito Santo telah menggunakan perlawanan Piala FA untuk memberi peluang kepada pemain yang kurang mendapat minit permainan. Ia dapat dilihat dalam perlawanan menentang Luton dan Exeter di pusingan ketiga dan keempat, serta sedikit dalam kemenangan terbaru ke atas Ipswich.
Hakikat bahawa Forest masih perlu membawa masuk pemain utama seperti Morgan Gibbs-White, Elliot Anderson dan Chris Wood dari bangku simpanan untuk memastikan kemenangan telah menunjukkan bahawa masih ada jurang kualiti dalam pasukan itu. Ada pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang tetapi ada juga yang gagal memanfaatkan peluang yang diberikan.
Forest masih perlu mengukuhkan pasukannya jika mereka mahu bersaing di pentas Eropah. Pemilik kelab, Evangelos Marinakis mempunyai cita-cita tinggi serta sumber kewangan untuk merealisasikannya. Namun dengan sekatan kewangan yang dikenakan akibat pelanggaran peraturan keuntungan dan kelestarian (PSR), sejauh mana pasukan ini boleh berbelanja?
Cabaran Mematuhi Peraturan Kewangan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forest, Lina Souloukou yang pernah mengurus kelab seperti Olympiacos dan Roma di peringkat Eropah mengakui bahawa cabaran besar menanti mereka sekiranya layak ke Liga Juara-Juara.
Dalam sidang kemuncak Financial Times Business of Football, beliau menegaskan bahawa penyesuaian besar perlu dilakukan dalam aspek skuad, pelaburan dan operasi kelab. Tambahan pula, kerajaan UK kini sedang merancang untuk memperkenalkan badan pengawal selia bebas untuk bola sepak yang mungkin mengubah lagi peraturan sedia ada.
“Jika kelab seperti Forest, yang 2 tahun lalu masih bersaing dalam Kejuaraan EFL, tiba-tiba mendapati diri mereka berada di Liga Juara-Juara, ia adalah sesuatu yang luar biasa,” kata Souloukou. “Namun, ini bermakna kita perlu menyesuaikan banyak perkara termasuk skuad dan sistem operasi kelab.”
Beliau juga membangkitkan persoalan tentang sama ada peraturan yang ketat menghalang pemilik seperti Marinakis daripada melabur dan membangunkan kelab mereka.
Perubahan Struktur dan Implikasi Kewangan
Liga Juara-Juara akan membawa perubahan besar kepada Forest. Beberapa individu penting dalam pengurusan kelab termasuk Sokratis Kominakis dan Ioannis Vrentzos telah meninggalkan lembaga pengarah Forest. Perubahan itu dipercayai sebagai langkah awal untuk memastikan Forest dan Olympiacos mematuhi peraturan berkaitan pemilikan multi-club dalam pertandingan Eropah.
Dari sudut kewangan, kelab yang layak ke Liga Juara-Juara dijangka menerima bayaran awal sekitar €18.6 juta. Jumlah sebenar yang akan diterima akan bergantung kepada prestasi pasukan itu dalam pertandingan tersebut. Satu kemenangan di peringkat liga akan memberikan €2.1 juta, manakala keputusan seri bernilai €700,000. Pasukan yang mara lebih jauh akan menerima bayaran tambahan dan juara akan memperoleh hadiah kemenangan sebanyak €6.5 juta.
Bagi Forest, ia bermakna mereka perlu bersedia bukan sahaja dari segi skuad tetapi juga strategi kewangan dan operasi kelab.
Kekuatan dan Kelemahan Skuad Semasa
Forest mempunyai skuad yang paling kuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki.
Di bahagian serangan, trio Gibbs-White, Anthony Elanga dan Callum Hudson-Odoi menjadi salah satu barisan serangan paling menarik di Liga Perdana. Namun Chris Wood, walaupun berada dalam prestasi terbaik, dia sudah berusia 33 tahun. Forest telah mencuba mendapatkan penyerang baharu dalam 2 jendela perpindahan terakhir dan usaha itu perlu diteruskan.
Di bahagian tengah, persaingan sengit antara Anderson, Danilo, Ryan Yates, Ibrahim Sangare dan Nico Dominguez menjadikan posisi itu kukuh. Namun prestasi Sangare masih menjadi tanda tanya. Dia mengalami kecederaan hamstring pada awal musim dan masih belum mencapai tahap yang diharapkan.
Di bahagian pertahanan, Murillo dan Nikola Milenkovic membentuk gandingan yang mantap. Ola Aina yang diperoleh secara percuma telah menunjukkan prestasi cemerlang manakala Neco Williams semakin meningkat.
Posisi penjaga gol masih menjadi kebimbangan. sejak tiba pada Januari 2024, Matz Sels memberikan kestabilan tetapi Forest mungkin perlu mencari penjaga gol tambahan sebagai pelapis.
Di posisi bek kiri, Alex Moreno yang dipinjam dari Aston Villa boleh dibeli secara tetap jika Forest berpuas hati dengan prestasinya. Tetapi dengan peningkatan prestasi Williams, mereka mungkin berfikir 2 kali sebelum membuat keputusan.
Kesimpulan
Jika Forest mahu bersaing dalam Liga Juara-Juara dan kejohanan domestik secara serentak, mereka perlukan skuad utama dan pelapis yang kukuh. Dengan jadual yang boleh mencecah lebih 50 perlawanan semusim, mereka memerlukan “kedalaman skuad” yang lebih baik.
Pengambilan yang terancang dan bijak amat penting bagi memastikan Forest kekal kompetitif di semua pertandingan. Jika mereka dapat mengekalkan kestabilan dan melakukan penambahbaikan yang tepat, perjalanan mereka ke pentas Eropah bukan sekadar impian tetapi realiti yang boleh memberi impak besar kepada kelab dalam jangka masa panjang.