Apa Yang Tak Kena Dengan Liverpool di Final Piala Carabao?

Ketika Arne Slot membawa pemainnya yang kecewa menaiki tangga untuk menerima pingat naib juara Piala Carabao 2025, separuh daripada penyokong Liverpool di Wembley sudah pun meninggalkan stadium itu.

Para penyokongnya mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian. Liverpool baru saja menunjukkan aksi paling buruk dalam perlawanan akhir besar abad ini.

Liverpool bukan sahaja tewas 2-1 kepada Newcastle United tetapi mereka juga gagal memberikan saingan. Hakikatnya, keputusan 1-2 nampak lebih baik daripada apa yang sebenarnya berlaku di atas padang.

Selepas musim yang penuh semangat dan keyakinan, minggu ini terasa sangat mengecewakan untuk mereka. Untuk kali pertama dalam era Slot, Liverpool mengalami 2 kekalahan berturut-turut.

Jika kekalahan kepada Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara melalui penentuan penalti masih boleh dianggap sebagai nasib malang, persembahan di Wembley kali ini memang sukar dimaafkan.

Liverpool bermain tanpa arah, penuh kesilapan, kurang tenaga dan hampir tiada perkara positif yang boleh dibanggakan.

Namun, Liverpool masih berada dalam kedudukan yang baik. Dalam saingan liga, mereka mendahului Arsenal dengan kelebihan 12 mata dengan hanya 9 perlawanan berbaki.

Jika mereka kembali ke prestasi sebenar selepas rehat antarabangsa, kejuaraan Liga Perdana Inggeris tetap akan menjadi pencapaian hebat untuk musim pertama Slot disana.

Sesiapa yang menganggap “menang liga je?” sebagai satu kegagalan memang tidak masuk akal, terutama apabila Liverpool pernah menunggu 30 tahun sebelum Jurgen Klopp membawa mereka menjuarai liga pada 2020.

Cuma kekalahan di Wembley tidak boleh dipandang ringan. Bagaimana Liverpool boleh beraksi sebegitu hambar dalam perlawanan sebesar ini?

Keletihan Fizikal dan Mental

2 perlawanan menentang PSG yang penuh tekanan jelas memberi kesan kepada Liverpool. Tambahan pula, cara mereka tersingkir dari Liga Juara-Juara meninggalkan impak psikologi yang tidak boleh dipandang remeh.

9 daripada 10 pemain utama Liverpool di Wembley telah bermain dalam kedua-dua perlawanan menentang PSG. Arne Slot mungkin menyesal kerana tidak melakukan lebih banyak penggiliran pemain ketika menentang Southampton sebelum aksi timbal balik di Anfield. Hanya 3 perubahan dibuat dalam kesebelasan utama, sedangkan pemain seperti Wataru Endo dan Harvey Elliott sepatutnya diberi peluang untuk mengurangkan beban pemain utama.

Slot cuba memberi rehat kepada pasukannya dengan cuti sehari pada Khamis sebelum final dan berharap mereka kembali segar. Namun, di atas padang, Liverpool tetap kelihatan lesu dan pasif ketika menentang Newcastle.

“Perlawanan ini bukan tentang larian atau kecergasan,” kata Slot. “Ia tentang perebutan bola dan pertarungan fizikal. Anda tak boleh cakap kami letih kerana kami tak dapat menekan mereka. Tiada ruang untuk menekan kerana mereka sentiasa bermain bola tinggi mengatasi barisan kami.”

“Ini adalah jenis perlawanan yang Newcastle mahukan—penuh dengan pertarungan fizikal dan perebutan bola di udara. Jika kami bermain cara ini sepuluh kali, mereka akan menang sembilan kali kerana mereka lebih kuat secara fizikal.”

Liverpool jelas tidak mampu bersaing secara fizikal, tewas dalam kebanyakan perebutan bola. Jika bukan kerana keletihan, mungkin ia berpunca daripada kurangnya keinginan untuk menang – sesuatu yang lebih membimbangkan. Secara keseluruhan, Liverpool hanya memenangi 43% daripada perebutan bola dan hanya menang 32% dalam perebutan bola di udara.

Ryan Gravenberch misalnya, sudah bekerja terlalu keras. Pada musim lalu dia hanya bermain 1,839 minit, tetapi musim ini jumlah itu meningkat hampir 2 kali ganda (3,516 minit). Dia hanya memenangi 2 daripada 7 perebutan bola pada hari Ahad, manakala rakan sepasukannya di bahagian tengah, Alexis Mac Allister (2 daripada 7) dan Dominik Szoboszlai (3 daripada 8). Mereka semua bergelut dengan intensiti fizikal perlawanan.

Kurang Kawalan dan Kreativiti

“Kami ditewaskan dalam gaya permainan mereka (Newcastle), ya, itu benar. Anda boleh panggil ‘diperdaya’,” kata Slot.

“Ya, mereka memenangi lebih banyak duel berbanding kami. Adakah itu maksud anda? Bagi saya, diperdaya bermaksud jika anda langsung tidak menyentuh bola dan mereka sentiasa berjaya melepasi tekanan yang anda cuba lakukan. Setiap kali anda terlambat.”

“Itulah maksud ‘diperdaya’ bagi saya. Tetapi saya setuju jika anda katakan mereka layak menang kerana perlawanan berjalan seperti yang mereka mahukan. Ya, mereka layak menang tetapi bukan seperti kami hanya mengejar bola sepanjang masa. Kami terpaksa bertahan daripada hantaran-hantaran panjang dan perebutan bola kedua—itulah kekuatan mereka.”

Lupakan pendekatan langsung Newcastle, masalah utama adalah Liverpool gagal menguasai permainan. Di mana ketenangan dan kreativiti mereka ketika mengawal bola? Mengapa permainan mereka kelihatan begitu kucar-kacir?

Walaupun menguasai 66% penguasaan bola, Liverpool tidak melakukan banyak perkara dengannya kerana keputusan yang dibuat begitu lemah. Mereka kurang berani.

Liverpool hanya melakukan 2 sentuhan di dalam kotak penalti Newcastle sebelum separuh masa pertama berakhir dan tidak memaksa Nick Pope melakukan sebarang penyelamatan sehingga Curtis Jones menguji penjaga gol itu pada minit ke-60.

Mengikut data Opta, satu-satunya pemain utama Liverpool yang mencipta peluang dalam perlawanan ini hanyalah Szoboszlai dan Luis Diaz.

Liverpool juga banyak menyusahkan diri sendiri dengan memberikan sepakan percuma secara mudah kepada lawan. Bahagian tengah mereka gagal mengawal permainan.

Malah, Liverpool sendiri banyak melakukan hantaran panjang terutama di penghujung perlawanan apabila Virgil van Dijk terpaksa berperanan sebagai penyerang sementara.

Newcastle jelas lebih dominan. Mereka mencatatkan 17 percubaan berbanding hanya 7 oleh Liverpool, 6 daripadanya tepat ke sasaran berbanding hanya 2 oleh Liverpool.

Statistik expected goals (xG) juga menunjukkan memihak kepada Newcastle, 1.84 berbanding 0.89. Jelas sekali, Liverpool memang diperdaya sepenuhnya.

Liverpool benar-benar merindui kreativiti Trent Alexander-Arnold yang tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan. Perlawanan ini membuktikan betapa mereka akan kehilangan kelebihannya jika dia meninggalkan kelab ke Real Madrid apabila kontraknya tamat musim panas nanti.

Penggantinya, Jarell Quansah bermain baik dalam keadaan yang sukar dan dia tidak memiliki keupayaan melakukan hantaran yang mampu menggugat Newcastle. Mereka selesa membiarkan Quansah menguasai bola kerana tahu dia tidak akan mampu mencipta ancaman besar.

Slot Diperdaya Secara Taktikal

Sepanjang musim ini, Arne Slot sering membuat perubahan taktikal bijak atau menukar pemain untuk mengubah hala perlawanan yang memihak kepada Liverpool. Dia biasanya selangkah di hadapan lawan. Tapi kali ini, tidak.

Liverpool bermula dengan lemah dan menjadi semakin teruk sepanjang perlawanan. Pelan permainannya tidak jelas. Amaran bahaya sudah ada sejak awal -Newcastle mendapat beberapa peluang melalui sepakan percuma apabila Dan Burn kerap memenangi tandukan.

Kenapa mereka tidak mengambil pengajaran? Mengapa Mac Allister dibiarkan menjaga Burn dalam situasi sepakan sudut sedangkan ketinggian dan fizikalnya jauh lebih kecil? Akhirnya, Burn menanduk hantaran Kieran Trippier melepasi Caoimhin Kelleher tanpa masalah.

“Saya boleh jelaskan,” kata Slot. “Kami menggunakan sistem zonal marking dengan 5 pemain ditempatkan berhampiran gol. Jika bola jatuh di kawasan itu, salah seorang pemain utama kami akan menyerangnya.

“Kami juga ada 3 pemain yang mengawal secara individu dan Macca (Mac Allister) salah seorang daripadanya. Biasanya, pemain seperti Burn akan bergerak ke zon utama. Saya tidak pernah melihat seorang pemain menanduk bola dari jarak sejauh itu dengan begitu kuat ke sudut jauh gol.”

“Biasanya, mereka perlu bergerak jauh dari zon kami—99 daripada 100 kali, ia tidak akan menghasilkan gol. Atau mereka masuk ke zon kami dan perlawanan menjadi lebih seimbang.”

Namun, dengan aksi hambar Liverpool sepanjang babak pertama, sukar difahami mengapa Slot tidak membuat pertukaran lebih awal. Ketika pemain gantian akhirnya dimasukkan dalam separuh masa kedua, Liverpool sudah pun ketinggalan 2-0 selepas Andy Robertson gagal mengawal Jacob Murphy yang menanduk bola kepada Alexander Isak untuk menjaringkan gol.

Curtis Jones dan Harvey Elliott dimasukkan dan berjaya mencipta 3 peluang (lebih banyak daripada keseluruhan 11 pemain utama Liverpool), tetapi tekanan mereka tidak bertahan lama. Terlalu banyak ruang yang dibuka oleh Liverpool membolehkan Newcastle melancarkan serangan balas dengan mudah.

Eddie Howe berjaya mengatasi Slot secara taktikal.

Kebergantungan Terlalu Tinggi Kepada Mohamed Salah

Mohamed Salah telah menjadi pemain paling menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris musim ini. Dengan 32 gol dan 22 bantuan jaringan dalam 43 perlawanan di semua kejohanan, statistiknya amat luar biasa.

Namun, kebergantungan Liverpool terhadap ketajamannya terlalu tinggi sehinggakan kegagalan pemain lain tidak dipersoalkan. Tetapi apabila Salah dikawal ketat dan hanya menyentuh bola 23 kali sepanjang perlawanan, kelemahan pemain lain menjadi lebih ketara.

Salah tidak boleh sentiasa menjadi penyelamat. Ini adalah kali ke-3 dalam 392 perlawanan bersama Liverpool dia gagal melakukan sebarang percubaan atau mencipta peluang.

Diogo Jota pula terus bergelut. Prestasinya yang merosot dianggap bertuah untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama di Wembley, tetapi dia tetap gagal memberi impak.

Jota hanya melengkapkan 4 daripada 10 hantaran dan mensia-siakan satu-satunya peluang Liverpool dalam babak pertama. Kini, dia telah melalui 10 perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol dan dia kelihatan hilang keyakinan.

Luis Diaz juga tidak jauh berbeza. Aksi cemerlangnya pada awal musim kini hanya menjadi kenangan apabila hanya menjaringkan 1 gol dalam 18 perlawanan terakhirnya.

Jika Liverpool berulang kali menghantar bola panjang tanpa arah yang jelas, lebih masuk akal jika Slot memilih Darwin Nunez sebagai penyerang utama.

Namun, Nunez hanya dimasukkan menggantikan Jota pada separuh masa kedua dan gagal menjaringkan gol, menjadikan rekodnya hanya 1 gol dalam 13 perlawanan.

Cody Gakpo pula masih belum mencapai prestasi terbaik selepas kembali daripada kecederaan, menjadikan Federico Chiesa satu-satunya pemain yang menampilkan aksi positif.

Pemain antarabangsa Itali itu kelihatan tajam dan tenang menyempurnakan gol saguhati Liverpool selepas menerima hantaran bijak daripada Harvey Elliott pada waktu kecederaan. Dalam tempoh 20 minit di atas padang, Chiesa melakukan lebih banyak ancaman berbanding Jota dan Diaz.

Slot perlu menilai semula senarai keutamaannya di bahagian serangan selepas rehat antarabangsa kerana Chiesa jelas layak mendapat lebih banyak peluang dalam fasa akhir musim ini.

“Ia adalah minggu yang sukar, tetapi kami juga telah melebarkan jurang kepada 12 mata di puncak liga, jadi tidak semuanya negatif,” kata Slot.

“Apabila anda mara jauh dalam kejohanan, pasukan lawan semakin kuat. Liverpool juga boleh kalah dalam perlawanan bola sepak, itu perkara biasa.”

Slot cuba menenangkan keadaan selepas 2 kekalahan memedihkan tetapi hakikatnya Liverpool tidak boleh tewas dengan cara sebegini dalam perlawanan akhir. Mereka tidak boleh begitu mudah dipatahkan ketika trofi menjadi taruhan.

BACA:  Carragher: Adakah Nama Liverpool Sudah Tertulis Pada Trofi Liga Perdana Inggeris ?