Arab Saudi Mahu Hidupkan Kembali Super League, Jemput Sekali Juventus Dan Barcelona

Arab Saudi dilaporkan bersedia untuk menghidupkan kembali penganjuran Super League dan merancang untuk merekrut Barcelona dan Juventus untuk pertandingan baharu itu.

Pada April 2021 lalu terdapat cadangan untuk menganjurkan European Super League – pertandingan elit kelab-kelab Eropah bukan anjuran UEFA – membabitkan pasukan-pasukan utama dari Eropah.

Antara kelab yang dikatakan bersetuju untuk penganjuran pertandingan tersebut pada ketika itu adalah Manchester United, Liverpool, Real Madrid, Barcelona dan Juventus.

Tujuannya adalah agar pertandingan kelab-kelab elit Eropah tidak terikat dengan UEFA, sekali gus menjana lebih banyak keuntungan untuk kelab.

Idea tersebut bagaimanapun tidak mendapat sambutan daripada penyokong. Enam kelab Premier League kemudiannya menarik diri selepas dikritik penyokong sendiri sebelum idea tersebut gagal direalisasikan.

Walaupun demikian, Presiden Barcelona, Joan Laporta masih lagi bercakap mengenai idea tersebut dan berkata mahu meneruskan penganjuran pertandingan tersebut tanpa kelab Inggeris selewat-lewatnya pada 2015.

Perkembangan terkini bermakna kelab-kelab Premier League untuk pertandingan tersebut berkemungkinan akan digantikan oleh kelab-kelab dari Arab Saudi.

Menurut laporan Tuttosport, Arab Saudi kini bercadang untuk mewujudkan pertandingan elit baharu dan mahu meyakinkan Barcelona dan Juventus untuk menyertai mereka.

Laporan sama turut mendedahkan idea itu kini ditentang oleh UEFA kerana ia berpaksikan wang dan perebutan kuasa oleh Private International Firm (PIF) milik Arab Saudi yang kini memiliki pegangan dalam empat kelab utama Saudi Pro League.

Situasi semasa turut menyaksikan Barcelona memerlukan sumber kewangan daripada sumber lain berikutan masalah kewangan yang dihadapi kelab itu sejak beberapa tahun lalu.

Kelab Catalan itu kini turut mempertimbangkan untuk memboikot Champions League selepas diancam dengan hukuman gantung daripada pertandingan Eropah oleh UEFA kerana kes Negreira.

Juventus juga berada di dalam situasi hampir serupa dengan kelab dari Sepanyol itu. The Old Lady kini berhadapan kemungkinan disingkirkan daripada semua pertandingan UEFA – setelah turut dipotong 10 mata oleh Serie A pada musim lalu.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez mungkin tidak senang dengan perkembangan ini kerana beliau adalah pencetus idea asal Super League, tetapi tidak berada di dalam senarai Arab Saudi.

Real Madrid baru-baru ini baru sahaja melengkapkan perpindahan Jude Beliingham daripada Borussia Dortmund dengan nilai £115 juta.

Malangnya Bellingham akan menjadi satu-satunya pemain yang boleh dibawa masuk oleh Real Madrid untuk saingan musim hadapan kerana terikat dengan had perbelanjaan yang terkandung di dalam peraturan kewangan La Liga.

BACA:  Half Time Team Talk Menakjubkan Herve Renard Punca Kemenangan Arab Saudi