Arda Turan Hampir Pasti Tinggalkan Barcelona Januari Nanti

Pemain tengah Barcelona, Arda Turan hampir pasti bakal tinggalkan Barcelona selepas diberitahu pihak pengurusan kelab yang beliau bukan lagi berada dalam perancangan dan telah diberitahu untuk mencari kelab baru secepat yang mungkin.

Ejen pemain antarabangsa Turki ini, Ahmed Bulut berkata Turan sedang giat mencari kelab baru yang bakal disertainya Januari nanti kerana peluang bermain yang terhad diberikan oleh pengurus Barcelona, Ernesto Valverde kepada beliau. Beliau turut memberitahu beberapa kelab sudah menghubunginya bagi mendapatkan khidmat Turan.

Di antara semua pemain senior, hanya Turan sahaja yang masih gagal melakukan sebarang penampilan bersama pasukan utama Barcelona. Untuk rekod, sejak menyertai kelab Catalan tersebut pada 2015, beliau telah berjaya menjaringkan 15 gol dari 55 penampilan.

Ejen beliau, Bulut mengakui masa depan Turan di Barcelona semakin kabur tetapi tidak khuatir kerana Turan mempunyai tawaran dari setiap pelosok Eropah.

“Sekarang saya tidak ketahui kemana hala tuju beliau selepas ini tetapi apa yang pasti Turan akan meninggalkan Barcelona Januari nanti. Saya sebenarnya tidak faham apa yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Turan tidak diberikan peluang bermain langsung, walaupun 10 minit.”

“Saya hormat dengan keputusan Ernesto Valverde, tetapi saya tidak faham bagaimana beliau boleh menilai pemain yang beliau tidak pernah lihat beraksi di atas padang.”

“Kami sedang berbincang dengan 3,4 pasukan dari England, Itali dan Sepanyol. Tiada sebarang perhububungan di antara pihak kami dan Galasataray setakat ini. Selepas 15 hari, kami akan membuat keputusan akhir. Terdapat dua pilihan, sama ada Turan dipinjamkan keluar atau dijual terus.”

Turan telah dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal apabila tirai perpindahan pemain dibuka kembali bulan hadapan dan terdapat laporan mengatakan Barcelona mungkin menggunakan Turan sebagai pemain pertukaran untuk mendapatkan Mesut Ozil.

Turan mungkin pengganti paling sesuai untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Mesut Ozil tidak lama lagi dalam pasukan Arsenal kerana pemain ini sudah berada dalam tahun terakhirnya.

Menarik untuk dilihat sama ada Barcelona benar-benar berminat untuk mendapatkan Ozil kerana barisan tengah mereka sudah dipenuhi dengan pemain berkualiti.

Baca Juga

Baca Juga