Selama 6 bulan musim ini, Arne Slot dianggap sebagai pengurus paling tenang di Liga Perdana Inggeris.
Cara dia mengurus pasukan dengan penuh ketenangan membuatkan peminat Liverpool kembali bersemangat. Di bilik mesyuarat kelab-kelab lain, namanya sering dibincangkan. Bagaimana seorang pengurus dari Belanda ini kekal tenang walaupun berada di bawah tekanan besar?
Menguruskan Liverpool selepas era Jurgen Klopp sepatutnya menjadi tugas yang sangat mencabar tetapi Slot kelihatan mengawal segalanya dengan mudah. Namun, seperti yang dijangka sesuatu akhirnya berlaku. Dalam seminggu terakhir, dia mula menunjukkan emosinya. Dari kemarahan selepas seri 2-2 dengan Everton kepada keterujaan selepas kemenangan 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers.
Walaupun dia kembali tenang, 2 perlawanan besar menantinya (menentang Aston Villa dan Manchester City) yang bakal menguji kesabarannya sekali lagi.
“Orang akan bercakap tentang tekanan kerana ini adalah penghujung musim dan perlawanan semakin sengit,” katanya sebelum perlawanan menentang Villa.
“Tetapi saya tahu, pasukan saya akan berjuang hingga saat akhir.”
Cara Slot Mengurus Pemainnya
Sejak tiba dari Feyenoord pada musim panas lalu, Slot sentiasa memberi arahan jelas kepada pemain. Dia mahukan kerja keras daripada mereka tetapi cuba mengelakkan beban fizikal dan mental yang berlebihan. Kini, hubungan antara Slot dan pemain semakin kukuh. Pemain tahu apa yang diharapkan daripadanya.
Bekas rakan sekerja Slot mengatakan bahawa dia seorang yang tegas tetapi sentiasa memberi maklum balas yang membina. Pakar psikologi sukan, Dan Abrahams berkata bahawa Slot sangat berhati-hati dengan kata-katanya dan tahu bagaimana menggunakan nada yang sesuai untuk memberi motivasi.
Bekas penjaga gol Liverpool, Sander Westerveld pula berkata,
“Dia boleh menjadi cukup tegas jika keadaan tidak mengikut kehendaknya… tetapi masih mampu memberi dorongan positif kepada pemainnya.”
Namun, pada musim ini terdapat beberapa kali di mana Slot tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya. Selepas kemenangan 2-0 ke atas Ipswich Town dalam perlawanan pertamanya, dia mengkritik pasukan kerana kalah terlalu banyak duel. Selepas kemenangan 2-1 ke atas Wolves, dia mengingatkan pemainnya bahawa mereka “tidak boleh terima prestasi biasa-biasa.”
Walaupun begitu, Slot bukanlah jenis yang menjerit-jerit. Mungkin kerana bahasa Inggeris bukan bahasa utamanya, dia lebih suka menyampaikan teguran dengan cara yang jelas tetapi tegas. Andy Robertson, pertahanan kiri Liverpool berkata,
“Dia boleh meninggikan suara jika dia tak puas hati tetapi dia akan terus cari jalan penyelesaian dan tunjukkan cara untuk memperbaiki keadaan.”
Slot Mula Menunjukkan Sisi Beremosi
Secara keseluruhan, sikap Slot yang tenang telah mempengaruhi pemain Liverpool. Mereka bermain dengan kawalan yang baik dan tidak mudah panik di atas padang. Namun, kadang-kadang emosinya tetap terserlah.
Di Belanda, Slot dikenali sebagai seseorang yang mudah marah terhadap pengadil. Ketika di Feyenoord, dia pernah berkata,
“Terlalu ramai pengadil di sini yang langsung tak faham bagaimana keputusan mereka memberi kesan kepada pasukan.”
Sikap ini terbawa ke Liga Perdana Inggeris. Setakat ini, hanya pengurus Brighton, Fabian Hurzeler, yang mempunyai rekod disiplin lebih buruk daripada Slot.
Slot mengakui bahawa dia sukar mengawal kesabaran apabila merasa pasukannya dianiaya oleh pengadil.
“Ada had untuk saya,” katanya pada Disember lalu.
“Dan saya hanya hilang kawalan apabila keputusan pengadil atau kesilapan pemain memberi kesan besar kepada perlawanan.”
Kemuncak kemarahannya berlaku ketika perlawanan menentang Everton pada 13 Februari. Liverpool hampir menang tetapi Everton menyamakan kedudukan pada saat akhir. Slot melompat-lompat di tepi padang dan mengetuk tanah dengan marah terutama selepas kontroversi melibatkan pemainnya, Ibrahima Konaté.
Selepas perlawanan, dia bertengkar dengan pengadil Michael Oliver dan akhirnya dibuang padang bersama pembantunya, Sipke Hulshoff. Kini, mereka sedang menunggu hukuman daripada Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA), mungkin digantung 2 perlawanan.
Slot sudah pun menjalani hukuman penggantungan 1 perlawanan dalam Piala Carabao selepas mengumpul 3 kad kuning, termasuk satu ketika seri 2-2 menentang Arsenal. Pada waktu itu, dia berkata bahawa dia sebenarnya bercakap dengan pemainnya tetapi pengadil salah faham.
Bolehkah Slot Mengawal Tekanan?
Walaupun Slot kadang-kadang hilang kawalan, dia tetap jauh lebih tenang berbanding Klopp. Klopp terkenal dengan sikap penuh emosi di tepi padang. Slot biasanya hanya marah apabila dia merasakan pasukannya sedang bergelut.
Dalam kebanyakan perlawanan, dia kelihatan tenang kerana pasukannya mengawal permainan dengan baik. Namun, beberapa perlawanan terakhir seperti kekalahan kepada Plymouth Argyle dalam Piala FA dan seri dengan Everton telah menyebabkan perubahan dalam sikapnya.
Selepas kemenangan tipis ke atas Wolves, Slot lebih beremosi berbanding biasa ketika meraikan peminatnya. Dia mengangkat tangan ke arah penyokong di The Kop, seolah-olah meminta mereka memberi lebih sokongan.
Ketika musim semakin hampir ke penghujungnya, mungkin kita akan melihat lebih banyak sisi emosinya. Slot sendiri berkata bahawa tekanan semakin tinggi kerana banyak yang dipertaruhkan.
Namun, dia tidak mengadakan mesyuarat khas untuk mengajar pemainnya bagaimana mengawal tekanan. Sebaliknya, dia bergantung kepada pemain berpengalaman dalam pasukan untuk memberikan inspirasi kepada rakan sepasukan mereka.
Ketika ditanya sama ada kejayaannya di Feyenoord boleh membantunya di Liverpool, Slot merendah diri.
“Keadaan di sini berbeza,” katanya.
“Pemain yang pernah menjuarai liga bersama Liverpool sebelum ini, melakukannya dalam musim di mana stadium kosong dan mereka 25 mata di hadapan. Tekanan waktu itu tidak sama dengan sekarang!”
Liverpool kini berada di puncak liga dengan kelebihan 7 mata dan kedudukan itu boleh menjadi lebih kukuh jika mereka terus menang minggu ini.
Walaupun Slot kadang-kadang hilang pertimbangan, rekodnya menunjukkan bahawa Liverpool masih berada dalam tangan yang selamat.