Arsenal 1-0 Chelsea: Merino Wira Arsenal, Chelsea Rindukan Palmer

Dalam pertembungan sengit antara dua kelab London, Arsenal berjaya menewaskan Chelsea 1-0 hasil jaringan Mikel Merino di Stadium Emirates. Gol tunggal menerusi tandukan Merino memastikan 3 mata penuh untuk pasukan Mikel Arteta, sekaligus melebarkan jurang mereka kepada 4 mata dari Nottingham Forest yang berada di tempat ke-3 dalam carta Liga Perdana Inggeris.


Arsenal Kembali Menjadi Pasukan Pakar ‘Bola Mati’

Sepanjang musim ini, Arsenal dikenali dengan kehebatan mereka dalam situasi bola mati, tetapi anehnya sejak Januari mereka tidak pernah menjaringkan gol daripada sepakan sudut. Kali ini mereka memanfaatkannya dengan baik. Sepakan sudut yang diambil Martin Ødegaard pada minit ke-20 disambut dengan tandukan tajam dari Merino di near post untuk membolosi gawang Chelsea.

Selain itu, Arsenal juga cuba mencari gol menerusi sepakan percuma secara terus. Pada babak kedua, Ødegaard dan Declan Rice berusaha mencipta sesuatu dengan strategi baharu, tetapi percubaan itu gagal membuahkan hasil. Ia menunjukkan Arsenal mungkin akan lebih bereksperimen dengan sepakan percuma pada masa hadapan.


Chelsea Lemah Tanpa Palmer

Ketiadaan Cole Palmer dalam skuad Chelsea memberi kesan besar kepada corak permainannya. Sebelum perlawanan bermula, berita bahawa Palmer mengalami kecederaan dalam sesi latihan jelas meruntuhkan keyakinan pasukan bimbingan Enzo Maresca. Kali terakhir Palmer terlepas aksi liga juga ketika menentang Arsenal di Emirates dan ketika itu Chelsea dibelasah 5-0.

Tanpa Palmer, Chelsea gagal memberikan ancaman serangan yang efektif. Maresca cuba menyesuaikan pasukannya dengan menempatkan Enzo Fernández di peranan NO10, Christopher Nkunku di sebelah kiri, Jadon Sancho di kanan dan Pedro Neto sebagai penyerang utama. Namun, Chelsea kurang menguasai bola dan gagal mencipta peluang berbahaya. Dalam 30 minit pertama, mereka tidak mempunyai sebarang sentuhan dalam kotak penalti Arsenal. Ia satu statistik yang cukup memalukan bagi kelab sebesar Chelsea.

Walaupun sejak kebelakangan ini Palmer tidak berada dalam prestasi terbaik, perlawanan ini jelas membuktikan betapa Chelsea sangat bergantung kepadanya. Maresca berharap Palmer dapat kembali selepas rehat antarabangsa ketika mereka akan menentang Tottenham dalam pertandingan Piala FA pada 3 April nanti.


Kesan Kehadiran Martinelli

Kembalinya Gabriel Martinelli ke kesebelasan utama memberi nafas baru kepada serangan Arsenal. Kali terakhir Martinelli berada dalam kesebelasan utama dalam perlawanan liga adalah pada 2 Februari. Kehadirannya menambahkan kreativiti dalam serangan melalui larian pantas, skil individu dan keupayaan untuk mencipta peluang gol.

Walaupun Martinelli biasanya beraksi di sebelah kiri, Arteta memilih untuk meletakkannya di sayap kanan untuk memberi ruang kepada Merino bermain di posisi penyerang utama. Percaturan itu menjadi apabila Merino menjaringkan gol kemenangan. Tambahan pula, kehadiran Martinelli membolehkan Arteta memberikan rehat kepada pemain muda Ethan Nwaneri yang hanya dimasukkan pada minit ke-79.


Sanchez Bergelut

Isu penjaga gol Chelsea semakin menjadi bualan hangat selepas satu lagi persembahan kurang meyakinkan daripada Robert Sánchez. Selepas melakukan beberapa kesilapan besar dalam perlawanan sebelum ini, Maresca sebenarnya sudah menggantikannya dengan Filip Jørgensen sebagai penjaga gol utama. Namun, keputusan untuk meletakkan semula Sánchez dalam perlawanan ini telah mengundang tanda tanya.

Sánchez beberapa kali melakukan kesilapan yang hampir menghadiahkan Arsenal gol mudah, termasuk memberikan bola terus kepada Martinelli dan gagal mengawal rembatan mudah sehingga hampir dibolosi. Dia juga tidak berada di posisi yang betul ketika Merino menanduk masuk gol kemenangan Arsenal.

Bagaimanapun, Sánchez juga menunjukkan kepakarannya apabila menyelamatkan satu percubaan berbahaya dari Merino pada babak kedua. Ia yang menjadikan Sánchez seorang penjaga gol yang sukar diramal – kadang-kadang dia cemerlang dalam situasi sukar tetapi kerap melakukan kesilapan dengan benda asas.


Arsenal Kembali Ke Landasan Kemenangan

Kemenangan ini sangat penting untuk Arsenal yang sudah lebih sebulan tidak mencatat kemenangan dalam saingan Liga Perdana. Walaupun jurang dengan pendahulu liga, Liverpool agak jauh, Arsenal tetap perlu mengekalkan momentumnya untuk memastikan slot Liga Juara-Juara musim depan. Arsenal juga perlu melakukan persiapan terbaik menjelang pertembungan suku akhir menentang Real Madrid pada bulan depan.

Selain itu, beberapa minggu akan datang juga bakal menjadi tempoh penting kepada Arsenal untuk menarik perhatian pemain sedia ada dan pemain baharu bahawa kelab ini adalah destinasi yang boleh menjanjikan masa depan cerah.


Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Arsenal berjaya mengatasi Chelsea dalam perlawanan ini hasil gol awal dari Merino dan disiplin bertahan yang mantap. Chelsea pula jelas merindui kelibat Palmer. Tanpa kehadirannya, mereka kelihatan tumpul di bahagian serangan. Arsenal kembali ke landasan kemenangan, manakala Chelsea masih tercari-cari solusi untuk meningkatkan prestasi mereka.

BACA:  Cazorla Sedih Tidak Berpeluang Ucap Selamat Tinggal Kepada Peminat Arsenal