Arsenal Hampir Pasti Dapatkan Lucas Torreira Selepas Pengesahan Presiden Sampdoria Sendiri

Presiden Sampdoria, Massimo Ferrero mengesahkan Lucas Torreira bakal meninggalkan kelab tersebut untuk menyertai Arsenal dalam perjanjian bernilai  €30 juta (£26 juta).

Sampdoria yang mengakhiri musim lepas di kedudukan ke-10 dalam Serie A mengesahkan Torreira akan berpindah ke England sebaik sahaja Piala Dunia berakhir.

Lucas Torreira dibawa masuk bagi memperbaiki bahagian tengah Arsenal yang lembik

Torreira merupakan pemain antarabangsa Uruguay dan masuk pada lewat permainan ketika Uruguay menang tipis 1-0 ke atas Egypt minggu lalu. Perpindahan Torreira ke Emirates Stadium terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan pemain tersebut fokus terhadap tugasannya bersama Uruguay di Russia.

Beliau bakal menjadi pembelian ke-4 Unai Emery sejak mengambil alih tampuk pengurusan kelab daripada Arsene Wenger. Arsenal telah mengesahkan ketibaan kapten Switzerland, Stephan Lichsteiner dan terbaru penjaga gol Bayern Leverkusen, Bernd Leno.

Pemain pertahanan Borussia Dortmund, Sokratis Papastathopoulos bakal menyusul tidak lama lagi dengan Dortmund memilih untuk menunggu sehingga pintu perpindahan musim panas dibuka secara rasmi pada 1 Julai nanti sebelum membuat pengumuman rasmi.

Emery telah mengenal pasti beberapa kelemahan besar skuad Arsenal musim lepas dan cepat bertindak dengan membawa masuk pemain yang dirasakannya mampu menambaih baik posisi tersebut.

Torreira merupakan pemain tengah bertahan yang tangkas dan dijangka beraksi di sisi Granit Xhaka musim hadapan

Torreira menjadi rebutan banyak kelab besar selepas mempamerkan prestasi yang cemerlang bersama Sampdoria musim lepas dan Arsenal bertindak cepat dengan mengaktifkan klausa pelepasan pemain tersebut yang hanya berjumlah €25 juta. Jumlah yang akan dibayar Arsenal sedikit lebih tinggi kerana mahu bayaran dibuat secara berperingkat.

Torreira merupakan pemain tengah bertahan dan bakal mengisi slot tengah kesebelasan utama bersama pemain antarabangsa Switzerland, Granit Xhaka. Emery melihat Xhaka sebagai komponen penting di bahagian tengah Arsenal dan bekas pemain Borussia Mönchengladbach itu baru sahaja menandatangani kontrak baru untuk terus kekal di Emirates sehingga tahun 2023.

Situasi ini bermakna tiada tempat buat pemain dari akademi Arsenal, Jack Wilshere dalam skuad musim hadapan. Wilshere telah disahkan tidak akan bermain untuk Arsenal lagi berikutan kontraknya tidak disambung oleh Emery.

Torreira dijangka tiba untuk menyertai Arsenal secara rasmi selepas berakhirnya kempen Uruguay di Piala Dunia.

Perkara ini juga telah disahkan sendiri oleh Presiden Sampdoria, Massimo Ferrero yang berkata mereka telah melakukan urusniaga yang bagus dengan menjual Torreira pada harga berkali ganda lebih tinggi dari harga asal pemain tersebut.

“Sampdoria tidak akan menjual pemain mereka kecuali jika kami menerima tawaran yang sangat cemerlang.”

Tiada tempat buat Jack Wilshere dalam Arsenal Baru

“Kami tidak mencari pembeli. Kami mempunyai beberapa pemain berbakat yang nilainya telah meningkat berkali ganda.”

“Sampdoria bertindak seperti batu loncatan. Kelab ini merupakan kelab yang diuruskan oleh keluarga dan membenarkan pemain muda untuk membesar.”

“Ia merupakan perkara yang normal untuk melihat pemain kami mempunyai matlamat untuk beraksi dengan pasukan besar, tetapi kami tidak perlu menjual mana-mana pemain.”

“Torreira telah meninggalkan kelab ini dengan harga €30 juta. Saya beli beliau dari Pescara ketika tiada siapa percaya dengan kemampuan pemain tersebut.”

“Kami bertaruh dan menang, dengan hanya membayar €3 juta. Duit yang kami dapat daripada perpindahan Torreira akan digunakan untuk memastikan kelab ini terus beroperasi.”

BACA:  Peminat Terkejut Melihat Bentuk Badan Arsene Wenger Di Usia 72 Tahun