Arsenal Kalahkan Manchester City 5-1: Lewis-Skelly Dan Havertz Bersinar

Arsenal membuli juara bertahan Liga Perdana di Stadium Emirates dengan mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Manchester City. Keputusan memastikan Arsenal terus menekan Liverpool di puncak liga.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta membuka jaringan seawal minit ke-2 menerusi Martin Ødegaard sebelum Erling Haaland menyamakan kedudukan melalui tandukan padu sejurus selepas separuh masa kedua bermula. Namun kedudukan itu hanya bertahan selama seminit apabila Thomas Partey kembali meletakkan Arsenal di depan.

Selepas itu, Arsenal menguasai sepenuhnya permainan. Pasukan itu menambah jaringan menerusi pemain remaja berbakat, Myles Lewis-Skelly, Kai Havertz dan satu sepakan lencong menakjubkan dari pemain gantian Ethan Nwaneri pada masa kecederaan.

Arsenal kini 6 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan. Sementara itu, kekalahan ini meletakkan City di tempat ke-4, 15 mata di belakang Liverpool dan berkongsi mata dengan Newcastle United yang berada di tangga ke-5.

Hari Hebat Untuk Myles Lewis-Skelly

Pada bulan September lalu, Arteta memberikan Lewis-Skelly penampilan sulung Liga Perdana ketika menentang City di Etihad. Iasatu bukti kepercayaan besar pengurus terhadap pemain remaja berusia 17 tahun itu.

Sejak itu, dia semakin meningkat. Dalam perlawanan ini, Arteta memilihnya berbanding Riccardo Calafiori. Lewis-Skelly membuktikan kehebatannya melalui jaringan ke-3 Arsenal. Dia memotong masuk sebelum melepaskan satu rembatan lencong menggunakan kaki kanan. Dengan prestasi ini, dia sukar untuk diketepikan dari kesebelasan utama. Emirates kini mempunyai wira baharu.

Dia juga menarik perhatian penyokong dengan meraikan jaringannya dengan gaya meditasi Haaland, mengingatkan kembali pertelingkahan kecil antara mereka dalam perlawanan di Etihad.

Kemunculan Lewis-Skelly dan Ethan Nwaneri, yang juga produk akademi Arsenal, menjadi antara aspek positif musim ini. Malah, Nwaneri turut menambah seri perlawanan dengan gol menakjubkan keduanya pada minggu ini.

Permainan City Hambar

Kesilapan Stefan Ortega yang memberikan hantaran bahaya kepada Mateo Kovačić pada babak pertama mencerminkan kelemahan City dalam membina serangan. Kesilapan itu memberikan peluang mudah kepada Havertz. Ia merupakan kesilapan ke-23 City yang membawa kepada percubaan pihak lawan untuk musim ini, lebih banyak daripada mana-mana musim penuh mereka sejak 10 tahun terakhir walaupun liga masih berbaki 14 perlawanan.

Kesilapan ini bertambah buruk apabila hantaran lemah Phil Foden dipintas oleh Partey yang kemudiannya menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 2-1 kepada Arsenal.

Masalah utama City adalah mereka gagal membentuk serangan yang kreatif untuk menembusi pertahanan Arsenal. Dengan Matheus Nunes naik ke posisi bek sisi, City menggunakan formasi tiga pertahanan ketika menguasai bola tetapi Kovačić sering menjadi satu-satunya pilihan di bahagian tengah. Ia memaksa mereka menghantar bola ke bahagian sayap yang kemudiannya dipatahkan dengan mudah oleh Arsenal.

City jelas mengalami kesukaran dalam membentuk serangan dan dengan pertahanan mereka yang rapuh, kesilapan individu hanya memburukkan lagi keadaan City dalam perlawanan besar seperti ini.

Dilema Arsenal di Posisi Penyerang Dan Kai Havertz Cemerlang

Perlawanan ini sekali lagi menunjukkan betapa rumitnya situasi Arsenal di bahagian serangan.

Selain daripada gol awal Arsenal, detik penting babak pertama adalah peluang besar yang disia-siakan Havertz untuk menjadikan kedudukan 2-0. Tiada keraguan bahawa Arsenal memerlukan seorang penyerang yang lebih klinikal kerana Havertz dan Gabriel Jesus tidak cukup tajam dalam penyudah.

Dengan Jesus kini cedera, Arsenal telah berusaha mendapatkan penyerang baharu dalam jendela perpindahan Januari. Percubaan mereka untuk mendapatkan Ollie Watkins nampaknya gagal dan kini mereka hanya mempunyai kurang 24 jam untuk mencari pengganti sebelum jendela perpindahan ditutup.

Jika Arsenal mendapatkan penyerang baharu, Havertz mungkin tetap sukar digugurkan daripada kesebelasan utama. Walaupun penyudahnya tidak konsisten tetapi dia memberikan struktur penting kepada pasukan melalui pressing dan kekuatan fizikalnya.

Ironinya, apabila peluang sukar hadir di babak kedua, Havertz berjaya menyudahkannya dengan baik. Arsenal memang memerlukan seorang penyerang, tetapi adakah Arteta dapat mencari seseorang yang lebih bernilai daripada Havertz? Itu persoalan yang sukar dijawab.

Kesilapan Individu Punca Kemerosotan City

Walaupun City menunjukkan beberapa aspek permainan yang baik tetapi kesilapan individu yang berulang kali membunuh harapan mereka dalam perlawanan ini.

Hantaran Foden yang terus kepada Partey selepas City menyamakan kedudukan benar-benar menjadi titik perubahan. Selepas berusaha keras untuk kembali ke dalam permainan, City dengan mudah membiarkan Arsenal kembali mendahului dalam tempoh kurang daripada satu minit.

Sejak November, City sering menjadikan keadaan lebih buruk untuk diri mereka sendiri walaupun permainan itu dikawal oleh mereka. Contoh terbaik ialah perlawanan menentang Feyenoord, di mana mereka membuang kelebihan 3-0 dalam masa 15 minit untuk seri 3-3. Baru-baru ini, mereka juga membiarkan Brentford bangkit dari ketinggalan 2-0 untuk seri 2-2. City juga tewas 4-2 kepada PSG selepas mendahului dengan kelebihan 2 gol.

City masih berusaha bermain bola sepak yang mampu membawa mereka kembali ke puncak tetapi sikap mereka melakukan kesilapan individu dan bolos dalam tempoh singkat benar-benar menghalang kemajuannya.

Bagaimana Haaland Beraksi Selepas Komen “Stay Humble” Dahulu

Selepas memberi komen “stay humble” ketika menewaskan Arsenal pada September lalu, Haaland menjadi sasaran ejekan penyokong Arsenal sepanjang perlawanan ini.

Melihat kepada suasana perlawanan, komen Haaland mungkin ada benarnya tetapi apabila seseorang membuat kenyataan seperti itu, mereka perlu memastikan prestasi mereka sendiri berada dalam keadaan terbaik.

Pada penghujung tahun lalu, ketika Haaland bergelut untuk menjaringkan gol dan City berada dalam prestasi buruk, kritikan terhadapnya sukar untuk ditolak. Namun, dalam perlawanan ini dia sebenarnya melakukan tugasnya dengan baik. Walaupun pertahanan Arsenal beberapa kali berjaya mencuri bola daripadanya, dia tetap menjaringkan gol yang memberikan harapan kepada City. Hanya rakan sepasukannya mensia-siakan peluang yang diciptanya.

Haaland bergantung kepada servis yang diberikan kepadanya dan apabila bekalan itu kurang, prestasinya akan terjejas. Hari ini, dia berjaya melakukan tugasnya tetapi terpaksa menyaksikan kesilapan orang lain merosakkan kerja kerasnya.

Penyokong Arsenal pasti menikmati kekalahan City kali ini dan mungkin akan terus mengejek Haaland untuk beberapa waktu lagi.

Artikel asal dari James McNicholas dan Sam Lee
BACA:  Community Shield 2022/23: Liverpool 3-1 Manchester City