Arsenal lawan Manchester City, Satu Perseteruan Yang Lahir Dari Liga Perdana

Oleksandr Zinchenko tidak menjangka dirinya akan terjebak dalam situasi yang janggal. Musim panas lalu ketika dia bercuti di selatan Perancis, dia tahu dia perlu berlatih untuk kekal cergas sebelum kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris. Masalahnya, dia tidak tahu di mana dia boleh mencari padang latihan di tempat percutiannya itu.

Dia kemudiannya teringat seorang rakan lama di Manchester City yang mungkin boleh membantunya. Zinchenko pernah melihat di Instagram Bernardo Silva yang turut bercuti di Riviera. Memandangkan Silva pernah bermain bersama Monaco, Zinchenko yakin kawannya itu boleh memberitahunya tempat untuk berlatih. Lalu Zinchenko pun menghantar mesej dengan harapan.

Apa jawapan Silva? “Untuk apa? Kamu nak mencuba untuk bersaing memenangi Liga Perdana sekali lagi? Lupakan saja. Duduk diam di rumah.” Zinchenko hanya mampu ketawa, tetapi hakikatnya kata-kata itu mencerminkan persaingan kuat antara Arsenal dan City. Silva nampaknya tidak berminat untuk membantu bekas kawannya itu dan ia satu petanda betapa seriusnya permusuhan antara dua kelab ini.

Persaingan Lama, Dinamik Baharu

Dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, rivaliti antara Manchester City dan Arsenal boleh dibandingkan dengan permusuhan antara Liverpool dan Chelsea pada dua dekad lalu. Kedua-duanya melibatkan pertembungan antara kuasa lama dan kuasa baru. Sebuah kelab yang sudah lama berada di puncak menentang pencabar yang ingin menggugat kedudukannya.

Namun terdapat perbezaan besar dalam cara persaingan ini berkembang. Ketika Chelsea dan Liverpool bersaing di bawah Jose Mourinho dan Rafa Benitez, ketegangan lebih banyak berlaku dalam sidang media dan dalam bilik persalinan skuad kebangsaan England. Sebaliknya persaingan antara Arsenal dan Manchester United di awal 2000-an lebih mirip dengan apa yang berlaku antara Arsenal dan City sekarang. Ketika itu, hubungan antara pemain kedua-dua pasukan sangat tegang, mereka saling menyindir di media, bertelagah di terowong pemain malah pernah terjadi insiden terkenal di mana pizza telah dilemparkan kepada Sir Alex Ferguson.

Kini Arsenal dan City berada dalam situasi yang sama. Setiap pertemuan mereka bukan sekadar perlawanan biasa tetapi pertarungan penuh emosi.

Arsenal Semakin Yakin

Sehingga beberapa tahun lalu, hanya Arsenal yang benar-benar menganggap City sebagai musuh utama. Arteta dan pasukannya sedar bahawa untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana mereka perlu mengatasi City. City adalah sebuah kelab yang mendominasi liga selama bertahun-tahun.

Pada Februari 2023, Arsenal tewas 3-1 kepada City di Emirates. Arteta menjadikannya sebagai pengajaran penting, pasukannya tidak boleh melakukan kesilapan jika mahu bersaing di peringkat tertinggi. Beberapa bulan kemudian, mereka sekali lagi tunduk 4-1 di Etihad dan Arteta menggesa pemainnya untuk “stay humble” dan menerima hakikat bahawa City masih lebih kuat.

Namun, keadaan mula berubah. Kemenangan Arsenal dalam perlawanan Perisai Komuniti pada musim panas lalu menjadi titik perubahan. Aaron Ramsdale menyifatkan kemenangan menerusi penentuan penalti itu sebagai isyarat bahawa Arsenal sudah bersedia untuk bersaing dengan City.

Ketika Arsenal menewaskan City dalam liga pada Oktober 2023, kemenangan pertama Arsenal ke atas City dalam Liga Perdana selepas 8 tahun, keyakinan mereka semakin meningkat. Gabriel Jesus berkata, “Semua orang tahu betapa sukarnya menentang mereka. Tapi ia bukan bermakna mustahil untuk menang.”

Bukan kemenangan itu sahaja yang menarik perhatian ramai. Selepas perlawanan, jurulatih set-piece Arsenal, Nicolas Jover cuba berjabat tangan dengan Kyle Walker. Walker enggan kerana teringat Jover pernah menolak untuk bersalaman dengan pemain City lsin sebelum ini. Insiden itu hampir mencetuskan pergaduhan kecil yang turut melibatkan Erling Haaland.

Perseteruan ini bukan lagi satu arah. Jika sebelum ini Arsenal kelihatan terlalu memberi perhatian kepada City kini mereka juga berjaya masuk ke dalam fikiran lawan mereka.

Permusuhan yang Melangkaui Padang

Pada kebiasanya, persaingan antara kelab lebih dirasai oleh peminat berbanding pengurusan tertinggi. Contohnya, Arsenal dan Tottenham sering bekerjasama dalam mesyuarat Liga Perdana manakala pemilik Liverpool dan Manchester United mempunyai hubungan baik di luar padang.

Tetapi dengan City, Arsenal menyedari bahawa persaingan ini bukan sekadar di atas padang, ia adalah “perang total”. Kedua-dua kelab mempunyai pendirian berbeza mengenai peraturan kewangan Liga Perdana dan hubungan mereka semakin renggang selepas siasatan terhadap City berkenaan pelanggaran peraturan tersebut.

Ketegangan ini menjadi semakin jelas kepada umum. Pada Ogos lalu, muncul khabar angin bahawa Tim Lewis, Naib Pengerusi Eksekutif Arsenal sengaja meninggalkan majlis anugerah tahunan sebelum Phil Foden diumumkan sebagai Pemain Terbaik PFA. Sebenarnya dia dan rombongannya perlu pulang awal ke London tetapi perkara ia tetap dilihat sebagai satu provokasi.

Begitu juga selepas Arsenal seri 2-2 dengan City di Etihad pada September. Lewis sekali lagi dikatakan enggan berjabat tangan dengan wakil City. Walaupun mungkin hanya kebetulan, dalam suasana tegang perkara sekecil ini boleh dijadikan sebab untuk memperhebatkan permusuhan.

Pertarungan Belum Berakhir

Puncak ketegangan berlaku dalam perlawanan itu sendiri dan kontroversi sudah bermula sebelum wisel penamat. Ia terus diperkatakan selama seminggu. Haaland meraikan jaringan penyamaan John Stones dengan melempar bola ke arah kepala Gabriel. Dia juga memanggil Gabriel Jesus sebagai “clown” dan menyuruh Arteta supaya “stay humble”.

Selepas perlawanan John Stones menuduh Arsenal bermain secara kotor tetapi mendakwa mereka “belum menguasai” taktik tersebut. Arteta yang sebelum ini cuba menjauhkan diri daripada sebarang kontroversi membalas dengan menyindir City sendiri tidak boleh bercakap tentang permainan kasar tanpa melihat kesalahan mereka terlebih dahulu.

Komen paling pedas datang daripada Bernardo Silva yang berkata persaingan City dengan Arsenal “berbeza” daripada perseteruan mereka dengan Liverpool. “Mungkin kerana Liverpool sudah menang Liga Perdana. Arsenal belum. Liverpool sudah menang Liga Juara-Juara. Arsenal belum,” katanya. Kata-kata itu jelas satu sindiran bahawa Arsenal masih belum layak dianggap pencabar sebenar.

Tetapi sejak itu, situasi berubah. City kini kelihatan letih dan mula bergelut untuk mengekalkan dominasinya. Jika sebelum ini Arsenal yang perlu membuktikan diri, kini giliran City yang mungkin mula melihat Arsenal sebagai pencabar tulen.

Walaupun musim ini Arsenal perlu bersaing dengan Liverpool dalam perebutan kejuaraan, City tetap menjadi musuh utamanya. Seperti yang Gabriel katakan selepas insiden dengan Haaland, “Ini adalah pertarungan, ini adalah perang. Perlawanan ini sudah tamat dan kami sedang menanti mereka.”

BACA:  Pep Guardiola Simpati Dengan Pencabar Liga Yang Lain