Arsenal Mahu Lepaskan 11 Pemain Sebelum Jendela Perpindahan Musim Panas Ditutup

Arsenal pada ketika ini sedang bersedia untuk melepaskan 11 pemain pada jendela perpindahan musim panas ini dengan Mikel Arteta masih berhasrat mahu memperbaiki skuad sedia ada beliau.

The Gunners sepertinya benar-benar memanfaatkan jendela perpindahan musim panas ini untuk memperkuatkan skuad sedia ada mereka.

Mikel Arteta berjaya mendapatkan khidmat Gabriel Jesus, Fabio Vieira, Oleksandr Zinchenko, Marquinhos dan Matt Turner menjelang bermulanya saingan Premier League musim baharu ini.

Selepas mencatatkan kemenangan besar bertemu Sevilla pada aksi pra musim mereka minggu lalu, Arteta mendedahkan yang beliau mahu membeli beberapa lagi pemain seandainya berkesempatan.

“Kami mahu dapatkan keseimbangan yang sempurna dan rancangan kami adalah kami mahu dari awal.”

Jelas Arteta.

“Sama ada kami berjaya capai atau tidak, itu adalah cerita berbeza.”

Jadi selepas membeli beberapa pemain, Arsenal kini sedang dalam usaha mereka untuk menjual pemain dari skuad sedia ada dalam usaha Arteta untuk menyeimbangkan buku akaun kelab.

Jadi siapa pemain yang mahu Arsenal lepaskan?

Penjaga gol kebangsaan Jerman, Bernd Leno mungkin bakal menjadi pemain pertama yang akan dilepaskan, dengan Fulham dilaporkan sudah bersetuju untuk membayar £8 juta kepada Arsenal untuk mendapatkan penjaga gol tersebut.

Bernd Leno berkemungkinan akan melengkapkan perpindahannya ke Craven Cottage pada minggu ini dengan beliau akan menjalani medical dalam tempoh beberapa hari dari sekarang.

Nicolas Pepe juga turut hangat dikaitkan dengan bakal meninggalkan kelab dan pemain termahal kelab itu turut sudah ditawarkan kepada Paris Saint Germain pada musim panas ini.

Nuno Tavares dan Arthur Okonwko sudah meninggalkan kelab sebagai pemain pinjaman untuk menyertai Marseille dan Crewe.

Pemain berbakat, Folarin Balogun turut dikaitkan dengan perpindahan bakal menyertai kelab Perancis, Reims pada jendela perpindahan musim panas ini.

Hector Bellerin yang turut membuat penampilan bersama skuad Arsenal pada aksi pra musim baru-baru ini juga sangat berharap beliau akan mampu kembali sertai Real Betis selepas beliau sebelum ini beraksi sebagai pemain pinjaman bersama gergasi La Liga itu.

Lucas Torreira sementara itu pada ketika ini sudah semakin hampir pasti untuk melengkapkan perpindahan beliau menyertai gergasi Turki, Galatasaray.

Kesemua pemain yang disenaraikan di atas sepertinya bakal mampu untuk melengkapkan perpindahan mereka pada musim panas ini dan Arsenal berharap akan mampu mendapatkan setidak-tidaknya £50 juta hasil penjualan mereka.

Walau bagaimanapun sehingga kini masih tiada kelab yang berminat mahu membeli pemain seperti Pablo Mari, Ainsley Maitland-Niles, Alex Runarsson dan Reiss Nelson.

Arteta sangat berharap mereka akan mampu menjual kesemua pemain-pemain ini dan dana hasil penjualan mereka boleh digunakan untuk mendapatkan pemain baru.

Walau saingan musim ini sudah hampir untuk bermula, sepertinya Arsenal masih belum puas dan mereka masih berhasrat mahu mendapatkan khidmat pemain baru.

Skuad The Gunners telah melalui aksi pra musim mereka dengan sangat sempurna dengan Arsenal berjaya mencatatkan lima kemenangan dari lima perlawanan pemanas badan mereka.

Mereka bahkan turut berjaya menghasilkan gol yang banyak dari kesemua lima perlawanan tersebut dan sepertinya pemain-pemain yang baru ditandatangani menjalankan tugas mereka dengan sempurna.

Gabriel Jesus antara pemain yang paling menyerlah pada aksi pra musim ini dengan beliau dirasakan berpotensi untuk menjadi antara penjaring terbanyak saingan Premier League musim hadapan.

Melihat cara bagaimana hebatnya skuad Arsenal bermain, ramai yang percaya Mikel Arteta musim baharu ini akan mampu memenangi sesuatu untuk The Gunners.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Penyokong Bengang Godfrey Tak Dihukum Lepas Pijak Muka Tomiyasu