Arsenal Makin Bernafsu, Semakin Hampir Tandantangan Raphinha

Walaupun baru sahaja memuktamadkan perjanjian bagi menandatangani Fabio Vieira dan Gabriel Jesus, Arsenal masih lagi berusaha keras untuk memperkuatkan jentera serangan mereka musim hadapan apabila mereka dilaporkan semakin hampir untuk menandatangani bintang Brazil, Raphinha.

Menurut laporan The Athletic, Arsenal akan memperhebat usaha untuk menandatangani pemain berusia 25 tahun ini dan ia mungkin dapat dimuktamadkan seawal minggu hadapan.

Ayam tambatan baru Arsenal. Harap tak jadi scammer macam Pepe

Terdapat keyakinan dari beberapa pihak yang berpendapat Arsenal kini berada dalam landasan terbaik untuk membeli Raphinha dari Leeds United. Minggu lalu menyaksikan bidaan rasmi dari Arsenal ditolak Leeds dimana pakej keseluruhan yang ditawarkan sekitar £40 juta.

Leeds dilaporkan hanya akan melepaskan Raphinha sekiranya mereka menerima tawaran sekitar £60 juta, satu jumlah yang agak tinggi bagi pemain yang bermain dengan kelab bawahan dan hampir mengalami relegasi musim lepas.

Walaupun ditolak dalam percubaan pertama, Mikel Arteta masih lagi menaruh minat untuk membawa Raphinha merumput di Emirates Stadium musim hadapan, tambahan pula Direktor Bola Sepak Arsenal, Edu merupakan kawan baik kepada Deco, ejen pemain tersebut.

Musim lalu menyaksikan Raphinha kerap dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol untuk menyertai Barcelona dan kelab Catalan itu dikatakan menjadi destinasi pilihan Raphinha untuk mengembang kariernya selepas Elland Road.

Walau bagaimanapun, berikutan kejayaan Leeds kekal di Liga Perdana Inggeris musim lepas, Barcelona tidak dapat mengaktifkan klausa pelepasan Raphinha sekiranya Leeds mengalami relegasi yang dilaporkan sekitar £25 juta. Rentetan itu pihak yang berminat perlu berbelanja lebih untuk membeli Raphinha dan Leeds tidak terdesak untuk menjual beliau.

Selain Barcelona dan Arsenal, Chelsea dan Spurs turut menyatakan minat untuk mendapatkan Raphinha. Namun kedua-dua kelab tersebut mempunyai sasaran utama yang perlu mereka fokus terlebih dahulu sebelum Raphinha. Chelsea sedang berunding untuk mendapatkan bintang England dan Manchester City, Raheem Sterling manakala Spurs lebih tertumpu untuk mendapatkan Richarlison dari Everton.

Raphinha dilaporkan meletakkan Barcelona dan Chelsea sebagai pilihan utama kerana peluang bermain di Liga Juara-Juara Eropah tetapi Raphinha masih terbuka untuk menerima tawaran Arsenal sekiranya kedua-dua kelab dapat mencapai persetujuan di meja rundingan.

Raphinha watak utama Leeds kekal di Liga Perdana Inggeris

Raphinha menyertai Leeds dari Rennes pada tahun 2020 dalam perjanjian bernilai £17 juta. Sejak itu, namanya terus menjadi bualan banyak pihak dan telah berjaya menjaringkan 17 gol dalam 65 penampilan di Liga Perdana Inggeris.

Leeds dilaporkan tidak akan menghalang Raphinha dari berpindah keluar untuk mengembangkan kariernya dengan kelab besar yang lain tetapi yuran perpindahan mestilah setimpal dengan nilai pemain tersebut. Leeds juga menjangka Raphinha tidak akan menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab tersebut.  Kontrak Raphinha akan tamat pada tahun 2024 dan nilai pemain tersebut mungkin akan berkurang tahun hadapan sekiranya tiada kontrak lanjutan.

Beberapa kelab besar sedang mengintai Raphinha dan Arteta sedar mereka perlu bertindak cepat untuk meyakinkan Raphinha supaya memilih Arsenal.

Nilai Raphinha semakin meningkat berikutan status pemain tersebut yang kini sudah bergelar pemain antarabangsa Brazil. Beliau mempunyai 9 caps bersama Brazil setakat ini, dan sudah berjaya menjaringkan 3 gol.

Beliau melakukan debut ketika masuk sebagai pemain gantian ketika Brazil bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Venezuela 3-1. Dalam perlawanan tersebut, Raphinha berjaya mencipta 2 assists selain membantu pasukannya meraih 1 penalti. Persembahan beliau dalam perlawanan itu menerima pujian banyak pihak dan secara tidak langsung membuka mata kelab-kelab besar Eropah.

BACA:  Pemain Berusia 34 Tahun Bakal Jadi Pemain Pertama Dibawa Masuk Unai Emery