Arsenal Lolos Ke Suku Akhir Liga Juara-Juara dengan Gaya Santai
Keputusan perlawanan ini tidak mengejutkan sesiapa – Arsenal mengesahkan tempat mereka di suku akhir Liga Juara-Juara dengan keputusan agregat 9-3 ke atas PSV Eindhoven. Perlawanan kedua berakhir dengan keputusan 2-2 dan kini The Gunners bakal berdepan cabaran lebih besar menentang Real Madrid, juara 15 kali kejohanan ini.
Dengan kelebihan selesa 7-1 dari perlawanan pertama, Mikel Arteta mengambil peluang untuk merehatkan beberapa pemain utama. Kali ini beliau menurunkan barisan serangan yang agak unik. Raheem Sterling, Mikel Merino dan Kieran Tierney. Sementara itu, Ben White membuat penampilan pertama sejak November.
Oleksandr Zinchenko yang diberi peranan di posisi Martin Ødegaard, membuka tirai jaringan seawal minit ke-6 dengan satu rembatan lencong yang cantik. Namun, PSV yang mendapat sokongan padu daripada penyokongnya berjaya menyamakan kedudukan melalui Ivan Perisic. Arsenal kembali di depan sebelum separuh masa pertama berakhir apabila Declan Rice menjaringkan gol ke-2, menjadikan agregat 9-2.
Pada separuh masa kedua Arsenal terus mengawal permainan tetapi PSV berjaya mendapatkan 1 lagi gol melalui Couhaib Driouech, yang menewaskan David Raya dengan satu sentuhan kemas. Ia memberikan sedikit kegembiraan kepada penyokong pelawat sebelum wisel penamat dibunyikan.
Adakah Ini Prestasi Terbaik Sterling Bersama Arsenal?
Raheem Sterling akhirnya menunjukkan aksi terbaiknya sejak menyertai Arsenal secara pinjaman dari Chelsea. Dengan 2 bantuan gol dalam 37 minit pertama, prestasinya kali ini jauh lebih baik berbanding sumbangan yang diberikannya sepanjang musim sebelum ini.
Sterling yang jarang mendapat peluang dalam kesebelasan utama, memperlihatkan kelincahan serta keupayaan teknikalnya. Bantuan gol pertamanya mungkin hanya tuah kerana rembatan jarak jauh dari Zinchenko cukup berkualiti. Namun, bantuan keduanya benar-benar mempamerkan kebolehannya.
Sterling memecut dari bahagian sayap, mengatasi Isaac Babadi dan Tyrell Malacia sebelum melambungkan bola ke tengah. Declan Rice yang bijak mencari ruang, menanduk bola masuk untuk meletakkan Arsenal kembali di depan.
Sterling hampir menjaringkan gol sebelum rehat tetapi rembatannya tidak cukup tinggi untuk menewaskan penjaga gol PSV, Walter Benitez. Reaksi penyokong yang memberi tepukan selepas percubaan tersebut menunjukkan mereka menyedari Sterling masih bergelut dengan keyakinan dan ketajaman permainan. Dia perlu diberikan semangat.
Menjelang hujung perlawanan, Sterling sekali lagi hampir menjaringkan gol tetapi insiden yang lebih memeritkan berlaku apabila dia menerima kad kuning. Kad itu bermakna Sterling akan terlepas aksi pertama suku akhir menentang Real Madrid.
Musim ini mungkin sukar baginya tetapi perlawanan ini membuktikan dia masih mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada Arsenal.
Zinchenko: Pilihan Baru di Tengah?
Selama 3 musim, Arteta tidak pernah menggunakan Oleksandr Zinchenko di bahagian tengah. Pemain Ukraine itu sebenarnya memang seorang pemain tengah sebelum Pep Guardiola menukarnya menjadi bek kiri di Manchester City.
Namun, dalam beberapa perlawanan terakhir, Zinchenko semakin kerap dimasukkan sebagai pemain tengah. Menentang PSV, dia diberi peluang untuk memulakan perlawanan di posisi tersebut.
Hanya 6 minit diperlukan untuk membuktikan dia boleh beraksi di posisi itu. Selepas menerima hantaran Sterling, Zinchenko memusing badannya sebelum melepaskan rembatan lencong melalui kaki kiri yang menewaskan penjaga gol PSV.
Sepanjang perlawanan, dia menunjukkan keupayaan menerima bola dalam situasi sempit dan hampir mencipta peluang untuk Mikel Merino. Jika Merino tidak menghentikan lariannya, mungkin satu lagi peluang emas akan terhasil.
Dengan ketandusan pemain tengah kreatif dalam skuad selepas pemergian Emile Smith Rowe dan Fabio Vieira, Zinchenko mampu menjadi pilihan untuk mengimbangi bahagian tengah Arsenal. Walaupun dia mungkin tidak sesuai untuk perlawanan besar yang memerlukan kekuatan fizikal, kebolehannya membuka ruang boleh membantu Arsenal menembusi pasukan yang padat bertahan.
Fokus Arsenal Kini Sepenuhnya Kepada Liga Juara-Juara
Selepas 6 musim tanpa beraksi di pentas tertinggi Eropah, Arsenal kini mara ke suku akhir Liga Juara-Juara untuk kali ke-2 berturut-turut. Ini menunjukkan betapa besarnya perubahan yang telah berlaku sejak Arteta mengambil alih kelab ini.
Pada musim lalu Arsenal memerlukan penentuan sepakan penalti untuk menewaskan Porto sebelum mara ke peringkat suku akhir, kali ini Arsenal melangkah dengan mudah. Malah, jika mereka tidak menukar pemain dan terus menekan PSV, mereka mungkin boleh mencatat rekod agregat tertinggi seperti Bayern Munich yang membelasah Sporting CP 12-1 pada 2008-09.
Namun, dengan kemenangan sudah berada di dalam tangan selepas perlawanan pertama, Arteta memberi peluang kepada pemain simpanan untuk mendapatkan minit permainan. Pemain seperti Ben White, Jakub Kiwior, Jorginho, Zinchenko, Kieran Tierney, dan Sterling mendapat peluang untuk menunjukkan kemampuan mereka.
Cabaran seterusnya bakal menjadi ujian sebenar buat Arsenal. Menentang Real Madrid bukan tugas mudah tetapi skuad ini semakin kukuh dan konsisten di pentas Eropah.
Satu-satunya perkara yang merisaukan Arsenal adalah kad kuning Sterling, yang menyebabkan dia digantung 1 perlawanan. Declan Rice juga kini berdepan risiko penggantungan jika menerima satu lagi kad kuning dalam suku akhir. Selain itu, Gabriel Martinelli dan Jurrien Timber turut berada dalam situasi yang sama.
Kini, dengan kedudukan mereka di kelompok 4 teratas Liga Perdana Inggeris kelihatan selamat, Arsenal boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Liga Juara-Juara. Ia adalah satu-satunya peluang mereka untuk menjulang trofi musim ini dan mereka perlu memastikan pemain utama kekal cergas untuk menghadapi cabaran getir di peringkat seterusnya.
Apa Kata Mikel Arteta?
Selepas perlawanan, Arteta memuji prestasi Sterling.
“Ya, saya sangat gembira untuknya dan beberapa pemain lain yang tidak mendapat banyak minit permainan sebelum ini. Kami boleh lihat pada separuh masa kedua bahawa kami kurang tenaga untuk melakukan usaha tertentu. Tetapi secara keseluruhannya, saya gembira mereka mendapat peluang ini dan mereka memberikan respon yang baik.”
Ditanya sama ada beliau merasakan Sterling semakin mendapat keyakinan, Arteta berkata:
“Ya, terutama dalam gol kedua. Dia juga hampir menjaringkan gol ketiga tetapi penjaga gol melakukan satu penyelamatan baik. Itu adalah jenis permainan yang kami mahu lihat daripadanya.”
Mengenai kejayaan Arsenal mara ke suku akhir untuk tahun kedua berturut-turut, Arteta menegaskan:
“Ini menunjukkan betapa sukarnya untuk sampai ke tahap ini. Kami perlu menghargai pencapaian ini kerana tidak mudah untuk melakukannya secara konsisten. Kami mahu melangkah lebih jauh, dan walaupun ia akan menjadi cabaran besar, kami mampu melakukannya.”
Arsenal kini semakin hampir ke separuh akhir Liga Juara-Juara. Tetapi sebelum itu, satu ujian besar menanti mereka – Real Madrid, Raja Eropah.