Arsenal Mengganas, Hancurkan PSV 7-1 di Tempat Lawan!

Arsenal Hancurkan PSV 7-1 di Tempat Lawan

Arsenal akhirnya kembali menemui sentuhan jaringannya dengan kemenangan besar 7-1 ke atas PSV, sekali gus mencipta rekod kemenangan terbesar di tempat lawan dalam Liga Juara-Juara.

Sebelum ini, pasukan Mikel Arteta bergelut untuk menjaringkan gol kerana kecederaan beberapa penyerang utama. Namun mereka memanfaatkan kelemahan PSV untuk memastikan tempat ke suku akhir. Ini juga kali pertama Arsenal menjaringkan 7 gol dalam 1 perlawanan di bawah Arteta.

Pada separuh masa pertama, Arsenal sudah pun mendahului 3-1. Jurrien Timber membuka jaringan, sebelum pemain akademi Arsenal, Myles Lewis-Skelly dan Ethan Nwaneri bergabung untuk gol kedua. Mikel Merino menambah gol ketiga tetapi Lewis-Skelly dikeluarkan selepas menerima kad kuning. PSV merapatkan jurang melalui sepakan penalti Noa Lang.

Separuh masa kedua bermula dengan 2 gol pantas daripada Martin Ødegaard dan Leandro Trossard. Ødegaard menambah satu lagi sebelum Riccardo Calafiori menutup malam gemilang Arsenal dengan gol ketujuh, 2 minit sebelum tamat.


Bolehkah Arsenal Bangkit Semula?

Kadang-kadang, satu kemenangan besar diperlukan untuk mengubah semangat pasukan. Arsenal pergi ke Eindhoven dengan tekanan tinggi selepas prestasi hambar di liga dan mereka berjaya menemui semula kepercayaan diri.

Serangan mereka lebih tajam, hantaran lebih lancar dan yang paling penting mereka akhirnya menemui semula ketajaman di depan gol. Statistik pelik: Arsenal mendapat sepakan sudut pertama mereka ketika sudah mendahului 5-1. Semua 7 gol hadir dari permainan terbuka menunjukkan betapa lancarnya gerakan mereka malam itu.

Ketika gol keenam dijaringkan, ramai penyokong PSV sudah beredar keluar dari stadium dan Arsenal masih sempat menambah satu lagi!


Siapa Penyumbang Utama?

Dengan ramai penyerang utama masih cedera, Arsenal terpaksa bergantung kepada kekuatan berpasukan untuk menjaringkan gol. Pada malam tersebut mereka membuktikan bahawa semua pemain boleh menyumbang gol.

Lihat sahaja senarai pemain yang terlibat dalam jaringan atau bantuan gol: Declan Rice, Timber, Lewis-Skelly, Nwaneri, Merino, Ødegaard, Calafiori dan Trossard. Semua mengambil tanggungjawab untuk memastikan kemenangan besar ini.

Sebelum perlawanan, ramai tertanya-tanya bagaimana Arsenal boleh menjaringkan gol tanpa penyerang utama. Kini, mereka hanya perlu memastikan kelebihan ini tidak disia-siakan apabila berdepan salah satu pasukan dari Madrid di pusingan seterusnya.


Gol Sejarah: Lewis-Skelly dan Nwaneri

Gol kedua Arsenal benar-benar istimewa. Dua pemain muda akademinya, Myles Lewis-Skelly dan Ethan Nwaneri mencipta sejarah sebagai pasangan remaja Inggeris pertama yang bergabung untuk menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara.

Lewis-Skelly memulakan gerakan dengan hantaran silang kepada Nwaneri yang terus melepaskan rembatan kencang tanpa perlu mengawal bola. Sepakan kencangnya terlalu deras untuk penjaga gol PSV.

Nwaneri meraikannya dengan menepuk logo meriam di jersinya tanda bangga mewakili Arsenal. Dia juga memainkan peranan penting dalam gol awal separuh masa kedua dengan satu hantaran lintang rendah untuk membantu Ødegaard menjaringkan gol.

Walaupun masih muda, mereka menunjukkan kematangan di atas padang. Nwaneri bukan sahaja menyerang tetapi juga turun membantu bertahan. Lewis-Skelly pula, walaupun bermain di posisi luar biasa sebagai pertahanan, menunjukkan keberanian sebelum dikeluarkan untuk mengelak daripada dibuang padang.


Apa Kata Arteta?

Selepas perlawanan, Mikel Arteta berkata:

“Saya sangat enjoy dengan perlawanan ini. Terima kasih kepada pemain atas persembahan luar biasa mereka. Ini adalah malam istimewa buat kami menentang pasukan yang bagus. Cara kami bermain, gol yang kami hasilkan semuanya hebat. Terima kasih kepada pemain kerana menjadikan ini malam yang sukar dilupakan.”

“Kemenangan ini memberikan kami kegembiraan, keyakinan dan kepercayaan diri. Namun, bola sepak bukan tentang apa yang kami lakukan hari ini tetapi apa yang kami lakukan esok. Kami ada perlawanan penting di Old Trafford menentang Manchester United dan itulah ujian sebenar.”

“Kami telah menunjukkan dalam beberapa tahun terakhir bahawa kami boleh menjaringkan banyak gol dan membahagikan tugas itu kepada semua pemain. Ini sesuatu yang bagus kerana kami tidak bergantung pada seorang pemain sahaja. Tetapi apabila kami gagal menjaringkan gol, kami tahu apa yang akan berlaku. Jadi, saya sangat gembira dengan prestasi malam ini dan kualiti gol yang kami hasilkan.”


Kesimpulan

Arsenal menunjukkan betapa hebatnya mereka apabila segala-galanya berjalan lancar. Malam itu bukan sahaja tentang kemenangan besar tetapi juga tentang bagaimana mereka menemui semula semangat menyerang yang hilang.

Sekarang, cabaran seterusnya menanti. Adakah Arsenal benar-benar sudah bangkit atau ia cuma satu malam luar biasa sebelum mereka kembali bergelut? Jawapannya akan tiba di Old Trafford hujung minggu ini.

BACA:  Arsenal Buru Individu Yang Membaling Botol Ke Kepala Alli