Arsenal Setuju Bayar £19.3 Juta Untuk Dapatkan Penjaga Gol Bayern Leverkusen, Bernd Leno

Arsenal akhirnya mencapai persetujuan dengan Bayern Leverkusen bagi mendapatkan khidmat penjaga gol Jerman, Bernd Leno dengan yuran perpindahan dianggarkan berjumlah £19.3 juta (€22 juta).

Penjaga gol berusia 26 tahun ini bakal menjadi pembelian kedua Unai Emery selepas Stephan Lichsteiner tiba dari Juventus melalui perpindahan percuma.

Leno bakal menjadi pemain kedua dibawa masuk Unai Emery selepas Stephan Lichsteiner dan bakal menjadi penjaga gol utama pasukan Arsenal

Leno merupakan sebahagian daripada skuad Jerman yang menjuarai Piala Konfederasi 2017 tetapi tidak bernasib baik untuk berada di Russia dengan Joachim Low memilih Manuel Neuer, Marc-Andre ter Stegen, dan Kevin Trapp untuk bersaing merebut jersi No.1 skuad Jerman.

Ketibaan Leno dianggap sebagai penamat kepada karier Petr Cech di Emirates Stadium yang mana Emery melihat Leno sebagai penjaga gol utama Arsenal untuk tahun-tahun yang mendatang.

Arsenal memiliki dua penjaga gol senior dalam skuad iaitu Cech dan David Ospina dengan kedua-dua pemain tersebut saling bergilir menggalas tugas menjaga gawang Arsenal beberapa musim kebelakangan ini. Buat masa sekarang, tiada sebarang maklumat mengenai penjaga gol manakah yang akan dilepaskan Emery bagi memberi ruang kepada Leno sebelum bermulanya saingan musim hadapan.

Leno tidak bernasib baik gagal mendapat tempat dalam skuad Jerman yang ke Russia kerana persaingan yang sengit di posisi penjaga gol

Dengan usia Petr Cech kini mencecah 36 tahun, beliau dianggap calon utama untuk meninggalkan Arsenal dengan Ospina lebih sesuai menggalas tugas sebagai penjaga gol kedua di belakang Leno. Tambahan pula, Cech hanya mempunyai baki setahun dalam kontraknya.

Cech menyertai Arsenal dari Chelsea pada musim panas 2015 dengan yuran perpindahan sekitar £10 juta selepas penjaga gol antarabangsa Belgium, Thibaut Courtois merampas tempat beliau dalam skuad The Blues.

Leno menyertai Bayern Leverkusen pada tahun 2011 dari VfB Stuttgart dan memainkan peranan penting ketika Leverkusen menamatkan musim di kedudukan ke-5 Bundesliga musim lepas. Arsenal juga dilaporkan akan membayar bonus berjumlah £3 juta bergantung kepada persembahan Leno selepas menyarung jersi The Gunners.

Sokratis Papasthathopoulos bakal menyusul tidak lama lagi untuk memperbaiki bahagian pertahanan Arsenal yang lembik musim lepas

Selain Leno, Arsenal juga semakin hampir untuk mengumumkan ketibaan pemain tengah Sampdoria, Lucas Torreira dan pemain pertahanan Borussia Dortmund, Sokratis Papastathopoulos.

Arsenal hanya perlu membayar £25 juta untuk mengaktifkan klausa pelepasan pemain bagi Torreira, satu jumlah yang amat berbaloi bagi pemain muda yang sedang meningkat naik dan kini sedang bersama skuad kebangsaan Uruguay yang bersaing di Piala Dunia 2018.

BACA:  Bellamy: Ramsey Bakal Tinggalkan Arsenal