Arsenal Terus Gayat Dalam Perlawanan Penuh Drama vs Leeds

Arsenal yang selama ini sinonim dengan gelaran lemah dan lembik yang sepertinya sudah menjadi jenama mereka terus gayat di puncak liga dalam perlawanan penuh drama ketika menentang Leeds United.

Gol kemenangan Arsenal sekali lagi terhasil dari kelincahan dan kehebatan pemain muda genit comel molek, Bukayo Saka yang menjadi penjaring tunggal perlawanan.

Proses pembinaan semula Arsenal yang dipacu oleh gandingan Mikel Arteta dan Edu selaku pengarah sukan kini dilihat sudah mengembangkan bunga-bunganya untuk dituai hasilnya dalam tahun-tahun mendatang.

Sejak musim lalu, Arsenal telah menunjukkan potensi mereka untuk sekurang-kurangnya kembali merajai nombor keramat mereka iaitu nombor 4.

Lantaran tidak konsisten ditambah pula dengan masalah kecederaan merencatkan perjalan Arsenal yang kehilangan slot Champions League yang pada satu ketika kelihatan seperti dalam genggaman.

Dengan kemasukan Gabriel Jesus, Oleksandr Zinchenko, Fabio Vieira serta Matt Turner dan Marquinhos untuk dijadikan sandaran, Arsenal berjaya mengekalkan konsistensi setakat ini di musim 2022/23.

Dari sekadar meletakkan sasaran slot Champions League, Arsenal kini menjadi pencabar kejuaraan walaupun ramai sangsi lantaran masih awal namun hakikatnya Arsenal masih lagi gayat di atas.

Manchester City pencabar terdekat dan Arsenal berkelebihan satu mata dan empat mata dihadapan Spurs di tangga ketiga.

Jika Arsenal kehilangan mata sekalipun mereka akan tetap berada dikalangan tiga teratas sebelum liga berehat panjang untuk Piala Dunia.

Kemenangan Arsenal ke atas Leeds telah disajikan dengan satu drama yang panjang dari awal sepak mula sehinggalah ke wisel penamat.

Perlawanan Ditangguh Selepas 69 saat Sepak Mula

Hanya 69 saat selepas permainan dimulakan di Elland Road, pengadil Chris Kavanagh menghentikan perlawanan kerana terdapat isu yang jelas dengan alat komunikasi di cuping telinga dan mikrofonnya.

Kemudian sebabnya jelas diketahui umum bahawa pemotongan bekalan kuasa di kawasan lokal Leeds telah menyebabkan Kavanagh kehilangan akses kepada VAR dan teknologi garisan gol serta suapan TV turut terjejas.

Komunikasi pengadil kembali pulih, permainan akhirnya dapat disambung semula kira-kira 40 minit kemudian setelah isu itu telah dibetulkan dan segala peralatan telah diuji kembali berfungsi.

Sudah pasti penangguhan perlawanan selama 40 minit ini telah mengganggu rentak dan fokus pemain.

Bamford Gagal Sepakan Penalti

Gol Bukayo Saka dari kaki kanan hasil suapan dari Martin Odegaard sememangnya tidak cukup untuk memberi keselesaan dengan baki permainan yang masih panjang.

Video Assistant Referee (VAR) telah menghentikan permainan untuk memeriksa kecurangan yang dilakukan oleh William Saliba di mana bola telah terkena tangan.

Campur tangan VAR membuatkan pengadil mengubah keputusan awal dan menghadiahkan sepakan penalti kepada Leeds United.

William Saliba telah dilayangkan kad kuning kerana keras membantah dan Patrick Bamford tampil untuk mengambil sepakan dan berpeluang menyamakan kedudukan.

Malangnya buat Leeds United apabila sepakan Bamford itu jauh meliar dari menepati sasaran yang nyata melegakan Arsenal.

VAR membantu Arsenal

Pada minit ke-92 drama tercetus lagi apabila Gabriel dilayangkan kad merah selepas mengasari Bamford dan penalti sekali lagi untuk Leeds.

Pengadil menghentikan perlawanan dan VAR mula campur tangan untuk mencari keadilan tanpa semua orang perlu berteka-teki, entah siapa yang salah.

Selepas pengadil meneliti video yang ditayangkan oleh VAR dan berbincang tentang situasi tersebut, pengadil telah menarik kembali keputusan awal.

Penalti untuk Leeds dan kad merah untuk Gabriel telah ditarik balik dan Gabriel hanya dilayangkan kad kuning sahaja.

Menuju ke wisel penamat tiada lagi drama namun masa kecederaan hampir 10 minit dengan kelebihan satu gol menjadi tempoh yang panjang buat Arsenal yang akhirnya mengesahkan tiga lagi mata berharga.

Maka saksikanlah rangkuman penuh perlawanan Leeds vs Arsenal:

Leeds United: Meslier; Kristensen, Koch, Cooper, Struijk; Roca, Adams; Aaronson, Rodrigo, Harrison; Sinisterra.

Pemain Simpanan: Klaesson, Ayling, Firpo, Bamford, Summerville, Llorente, Gelhardt, Greenwood, Klich.

Arsenal: Ramsdale; White, Saliba, Gabriel, Tomiyasu; Partey, Xhaka, Odegaard; Saka, Jesus, Martinelli.

Pemain Simpanan: Turner, Tierney, Nketiah, Holding, Cedric, Vieira, Lokonga, Nelson, Marquinhos

BACA:  Premier League 2022/23: Arsenal Pamer Kebangkitan Dan Semakin Menghampiri Kejuaraan EPL