Arsene Wenger Dikritik Hebat Selepas Kalah Kepada Watford

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger terpaksa berdepan peminat yang marah selepas pasukan bimbingannya tewas kepada Watford pada minit akhir permainan walaupun pada satu ketika mendahului perlawanan.

“Kamu tidak ada idea apa yang kamu lakukan. Wenger keluar.”

Itu antara chant peminat Arsenal yang berada di Vicerage Road semalam, khas ditujukan kepada Wenger. Arsenal telah mengharungi permulaan musim yang agak teruk,kemuncaknya adalah kekalahan 4-0 kepada Liverpool.

Selepas perlawanan tersebut, Arsenal mula bangkit dan berjaya mencatatkan 7 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan dan kritikan terhadap Wenger mulai reda seketika.

Menangis hati ini, ku juga bersimpati. Imej : Getty Images.

Walaubagaimanapun, kekalahan semalam mengembalikan memori peminat untuk memaksa Wenger keluar dari Arsenal, perkara yang tidak dapat mereka lakukan musim lepas.

Peminat telah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka di media sosial selepas melihat persembahan yang lembik dari pemain Arsenal, dengan Mesut Ozil, Hector Bellerin dan Granit Xhaka menjadi sasaran utama.

Mesut Ozil terlepas peluang keemasan untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum insiden penalti kontroversi. Dalam situasi ‘one-on-one’, Ozil hanya mampu merembat tepat ke arah penjaga gol Watford, Haurelho Gomes.

Alex Iwobi juga terlepas satu peluang untuk menjaringkan gol. Arsenal yang tumpul akhirnya dihukum Watford yang mengambil kesempatan untuk mencatatkan kemenangan mereka yang ke-4 musim ini dan melonjak ke tangga ke-4 liga.

Keputusan Pengadil Penyebab Arsenal Kalah

Seperti biasa, Arsene Wenger pastinya ada seseorang untuk dipersalahkan setiap kali mereka kalah. Kali ini keputusan pengadil yang menghadiahkan penalti dipersalahkan.

“Keputusan pengadil untuk memberi penalti adalah tidak masuk akal dan selepas insiden tersebut, pasukan kami menjadi panik dan terlepas gol kedua perlawanan. Keputusan pengadil mengakibatkan kekalahan kami malam ini.”

“Keputusan tersebut adalah skandal kepada kami, tetapi apa yang kami boleh lakukan ? Tiada apa-apa. Kami boleh terus berbicara mengenainya. Mereka menjaringkan penalti yang tidak sah melalui keputusan yang meragukan dari pengadil. Dan ianya hadir pada waktu paling penting perlawanan. Kesalahan tersebut bukan penalti dan gol pertama mereka tidak sah.”

Ref gilo! Imej : Rex Features

Pengurus Watford, Marco Silva faham dengan kekecewaan Arsene Wenger selepas insiden penalti tersebut. Beliau dipetik berkata,

“Keputusan untuk memberikan penalti bukan mudah bagi pengadil. Richarlison tidak menipu kerana beliau seorang yang adil. Amat penting untuk mengetahui apa itu berlakon dalam bolasepak. Insiden ini adalah 50-50 dan terdapat sentuhan dari pemain lawan.

“Richarlison seorang pemain berumur 20 tahun dan beliau adalah pemain paling banyak menerima foul di Liga Perdana Inggeris musim ini. Semua pemain terbaik dunia akan menerima foul yang banyak.”

Troy Deeney: Ozil Gagal Laksanakan Tugas Dengan Baik

Penjaring gol penyamaan Watford, Troy Deeney juga mempunyai sesuatu untuk diperkatakan terhadap Arsenal yang kecundang di saat-saat akhir perlawanan.

“Saya dengar Wenger menuduh insiden penalti sebagai punca utama mereka kalah hari ini. Saya bukan mahu bercakap mengenai Arsene Wenger tetapi punca mereka kalah hari ini bukan disebabkan penalti tersebut,”

“Setiap kali saya bermain menentang Arsenal, saya akan naik ke atas dan mencabar pemain pertahanan mereka. Apabila saya bersaing untuk merebut bola tinggi dengan Mertesacker, saya tidak perlu pon melompat. Saya hanya perlu tunduk sedikit dan penyokong akan berdiri mengatakan ia satu kesalahan. Pemain mereka akan berundur ke belakang selepas itu.”

Cleverly penjaring gol kemenangan

Deeney juga mengkritik Mesut Ozil yang dikatakan gagal menjalankan tugasnya dengan baik.

“Mereka agak tumpul dan tidak tajam. Saya tidak rasa kelab besar lain di Liga Perdana Inggeris akan terlepas peluang seperti yang dimiliki Ozil dan berlagak seperti tidak bersalah selepas gagal menyudahkannya. Saya lebih suka Arsenal yang lama.

“Saya suka menonton Arsenal bermain, Anak saya seorang penyokong Arsenal. Ian Wright tidak akan terlepas peluang sebegitu, Henry Petit, dan Vieira juga sama. Mereka ini cukup tajam.”

“Ozil terlepas peluang keemasan tersebut dan kelihatan seperti ‘Argh takpe, kami akan dapat lagi peluang sebegini selepas ini’. Malangnya, ini adalah Liga Perdana Inggeris dimana jurang antara setiap pasukan amatlah kecil. Peluang sebegitu tidak akan datang banyak kali.”

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga