Pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya Alexis Sanchez dan Mesut Ozil mahu terus kekal bermain dengan Arsenal tetapi kelab perlu berusaha lebih keras untuk meyakinkan mereka berdua melalui aksi yang konsisten di atas padang.
Ozil dan Sanchez berada dalam tahun terakhir kontrak mereka dan masih gagal untuk menurunkan tandatangan bagi melanjutkan kontrak. Arsenal telah menawarkan kontrak yang lumayan kepada pemain ini tetapi masih lagi ditolak.
Dalam perlawanan terakhir Arsenal, skuad kendalian Arsene Wenger berjaya menewaskan musuh setempat, Tottenham 2-0 di gelanggang sendiri hasil jaringan Shkodran Mustafi dan Alexis Sanchez. Mesut Ozil pula dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas berjaya melakukan satu bantuan gol disamping mengkucar-kacirkan barisan pertahanan lawan.
Keputusan ini menjadikan Arsenal hanya ketinggalan satu mata di belakang Spurs tetapi masih lagi menghuni tangga ke-6 liga selepas pasukan atasan lain turut mencatatkan kemenangan.
Gol Alexis Sanchez dalam perlawanan tersebut hanya gol keduanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. Walaupun kurang menjaringkan gol musim ini, Sanchez telah berjaya menyumbang 55 gol dari 112 penampilan sepanjang kariernya bersama Arsenal, satu jumlah yang banyak bagi seorang pemain yang bukan beraksi sebagai penyerang utama.
Assist yang dicatatkan Ozil dalam perlawanan tersebut adalah assistnya yang ke-45 sejak menyertai Arsenal pada September 2013, melebihi catatan mana-mana pemain dalam Liga Perdana Inggeris.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas selesai perlawanan, Arsene Wenger telah memberikan komen mengenai masa depan pemain bintangnya itu di Emirates.
“Saya mengenali mereka berdua dan saya tahu setiap kali mereka melangkah ke padang, mereka mahu menang. Mereka sekali lagi telah menunjukkan komitmen yang bagus. Saya tidak pernah mempersoalkan komitmen mereka berdua.”
“Saya sudah lama berada dalam kedudukan sekarang untuk mengetahui satu perlawanan sahaja tidak mencukupi bagi mereka menandatangani kontrak baru. Kualiti kontrak yang ditawarkan mestilah bagus dan cukup buat pemain.”
“Adakah segalanya bergantung kepada kualiti kontrak? Tidak, ia hanya sebahagian sahaja. Keseluruhan kontrak haruslah tepat. Mereka mesti berasa gembira. Mereka ini mahu kekal tetapi terdapat kelab besar di luar sana yang turut menawarkan kontrak lumayan kepada mereka. Walaupun demikian, saya percaya mereka sayangkan kelab dan pasukan ini.”
“Mereka mungkin akan mempunyai beberapa perlawanan yang mana mereka gagal bermain dengan baik. Akan tetapi, apabila pemain mengakhiri hari terakhir kontrak mereka dan bermain buruk, semuah pihak membuat andaian pemain tersebut sudah tidak mahu bermain lagi dan mahu berpindah keluar. Dalam kes Ozil dan Sanchez, minat mereka hanyalah untuk bermain dan menang.”