Arsene Wenger Percaya Arsenal Masih Mampu Selamatkan Kempen Musim Ini

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya pasukannya masih mempunyai waktu yang cukup untuk menyelamatkan musim mereka walaupun ketinggalan 10 mata di belakang penghuni tangga ke-4 Liga Perdana Inggeris.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Emirates awal pagi tadi, deja vu berlaku apabila Arsenal sekali lagi tumpas di tangan Manchester City dengan jaringan 3-0.

Deja Vu !!!!

Keputusan tersebut adalah keputusan yang sama berlaku pada final Piala Carabao hujung minggu lalu yang mana mereka turut tumpas 3-0.

City berjaya menumpaskan Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi dengan kesemua gol dijaringkan pada separuh masa pertama melalui Bernardo Silva, David Silva dan Leroy Sane.

Perlawanan berlangsung dalam keadaan bersalji dengan seluruh United Kingdom kini mengalami cuaca yang buruk dengan angin dikenali ‘Beast From The East’ sedang bertiup ke negara tersebut. Perlawanan Arsenal-Man City berdepan kemungkinan ditunda pada mulanya tetapi tetap berlangsung apabila cuaca bertambah baik dari sebelumnya.

Arsenal masih ada harapan, ujar Wenger yang optimis

Kemenangan Manchester City ini kembali meletakkan mereka 16 mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester United dengan baki perlawanan hanya tinggal 10 sahaja.

Arsenal pula terus dirundum malang dan kekalahan semalam menyebabkan mereka semakin jauh ditinggalkan pasukan lain dalam perlumbaan untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Harapan paling realistik buat Arsenal untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan adalah dengan memenangi kempen Europa League musim ini, dimana mereka telah diundi bertemu AC Milan dalam pusingan seterusnya.

Ketika ditemuramah Skysports selepas tamat perlawanan, Wenger telah ditanya sama ada Arsenal masih mampu mengubah perjalanan mereka musim ini dan meraih sesuatu sebelum musim berakhir.

“Ya. Kami mampu selamatkan musim ini. Kami akan terus fokus untuk perlawanan seterusnya dan terus berusaha keras seperti yang telah kami lakukan dalam perlawanan tadi.”

“Kami bermain menentang Manchester City dua kali dalam tempoh seminggu dan mereka adalah pasukan terbaik England ketika ini. Keadaan menjadi sukar malam ini kerana kami gagal bermain baik dalam perlawanan pertama tempoh hari.”

“Tetapi pasukan ini mempunyai kualti dan itulah yang akan kami buktikan nanti.”

Penyokong Arsenal tidak memenuhi stadium malam tadi. Cuaca buruk atau protes terhadap Wenger?

Arsenal tewas 4 kali dari 6 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris mereka dan Wenger mengakui keyakinan anak buahnya kini berada di tahap yang rendah.

“Kami perlu bersatu pada saat ini tetapi ia agak sukar. Anda naik dengan menggunakan tangga tetapi turun dengan menggunakan lift. Itu gambaran paling jelas untuk menerangkan tahap keyakinan pasukan.”

“Apabila pemain mempunyai keyakinan yang rendah, perkara pertama yang hilang adalah seluruh pasukan hilang kelancaran dan pergerakan. Anda boleh lihat ia berlaku dalam perlawanan tadi.”

“Saya tidak nafikan Manchester City adalah pasukan yang bagus tetapi kami juga berada dalam keadaan yang sukar sekarang ini. Ini adalah sebahagian daripada bolasepak.”

BACA:  Pemain Arsenal lebih sibuk dengan selfie dan six packs – Roy Keane