Arsene Wenger Sangkal Dakwaan Arsenal Berminat Dapatkan David Luiz

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger telah menyangkal laporan yang mengatakan Arsenal bakal membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat David Luiz dan Thomas Lemar bulan ini.

Beberapa akhbar UK melaporkan Wenger bakal membuat tawaran terhadap Chelsea bagi mendapatkan Luiz. Pemain berasal dari Brazil ini dilihat mempunyai masa depan yang suram di Stamford Bridge selepas hilang tempat dalam pasukan utama kepada pemain muda, Andreas Christensen.

Luiz The Lion

Selain Luiz, Arsenal juga bersedia menyambung kembali minat mereka terhadap pemain muda Monaco, Thomas Lemar. Beliau hampir menyertai Arsenal pada musim panas lalu tetapi menolak peluang untuk berpindah kerana mahu menunggu tawaran dari Liverpool.

Wenger ketika dalam sidang media menjelang pertemuan Arsenal menentang Chelsea malam esok berkata beliau tidak berminat dengan nama-nama yang disebut itu.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai nama-nama yang anda sebut itu tetapi laporan media tentang hal tersebut adalah salah sama sekali.”

Dilaporkan menolak tawaran Arsenal musim panas lalu kerana mahu menyertai Liverpool

Wenger turut memberikan perkabaran semasa mengenai masa depan pemain bintangnya iaitu Mesut Ozil, Alexis Sanchez dan Jack Wilshere. Ketiga-tiga pemain ini bakal tamat kontrak pada hujung musim nanti dan masih lagi enggan menandatangani kontrak baru.

“Kami masih belum dihubungi mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan mereka.”

Apabila ditanya bagaimana Arsenal bakal menghadapi kehilangan pemain-pemain ini, Wenger dipetik berkata:

“Pertamanya, kami masih lagi belum kehilangan khidmat mereka. Dan perkara kedua, kami akan membawa masuk pemain baru yang berkualiti andainya kehilangan khidmat mereka.”

“Kelab ini sudah kerap kali kehilangan pemain berkualiti dan berjaya bertindak balas dengan baik setiap kali kehilangan pemain. Beberapa pemain besar telah meninggalkan kelab ini tetapi kelab ini akan terus teguh berdiri. Tetapi sudah tentu kami mahu mengekalkan pemain terbaik kami terlebih dahulu.”

Fabregas, Van Persie dan Nasri ketika berada di Tadika Arsenal

Arsenal dilihat berminat untuk memperkuatkan pasukan pada jendela perpindahan Januari ini, tetapi Wenger mengakui ia bergantung sama ada pemain yang bakal tamat kontrak menyambung kontrak atau tidak.

“Kami terbuka untuk mendapatkan pemain terbaik yang mampu memberikan sesuatu kepada pasukan. Ia juga bergantung kepada tahap kecederaan pasukan sekarang ini.”

“Selain itu, ia turut bergantung sama ada kami mampu menyambung kontrak pemain yang bakal tamat kontrak June ini.”

BACA:  Wenger Label Evolusi Penjaga Gol Sebagai 'PerubahanTerbesar Dalam Bola Sepak'