Pengurus legenda pasukan gergasi dan terkuat London, Arsene Wenger, sekarang ini mungkin sedang menghadapi tekanan yang paling berat sepanjang kariernya pada hari ini.
Mana tidaknya, pasukannya dua kali ditewaskan oleh Manchester City dalam tempoh seminggu, dan semalam pasukan ini dikelakarkan oleh pasukan Brighton and Hove Albion – pasukan yang tidak pernah berada dalam peta bola sepak dunia dalam sejarah peradaban manusia.
Dek kekecewaan demi kekecewaan, para penyokong Arsenal kini kembali melaungkan slogan #WengerOut!
Memandangkan Wenger sudah menjadi pengurus Arsenal selama 22 tahun, maka dia dikatakan mempunyai kuasa untuk memilih penggantinya nanti dan Wenger dikhabarkan amat berminat dengan bekas pemainnya yang kini menjadi jurulatih di Manchester City – Mikel Arteta.
Josh Kroenke – anak kepada pemegang saham terbesar Arsenal, Stan Kroenke – yang juga mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan lembaga pengarah kelab tersebut turut bersetuju dengan Wenger untuk mengambil Arteta.
Arteta kini berusia 35 tahun dan membantu Pep Guardiola menguruskan pasukan Manchester City sehingga muncul pasukan yang sangat kuat sehinggakan pada satu tahap menganggap The Citizens tewas adalah satu perkara yang khurafat.
Wenger juga dikatakan turut mencadangkan kepada lembaga pengarah agar dia dikekalkan di Emirates dan bertugas sebagai konsultan.
Arteta pernah bemain selama lima musim di bawah Wenger sebelum bersara pada tahun 2016.
Walaubagaimanapun, Arsenal bakal berhadapan dengan saingan yang kuat daripada bekas kelab Arteta, Everton, yang turut berminat untuk mendapatkannya untuk menggantikan Sam Allardyce.
Meskipun Allardyce baru sahaja mengemudi Everton sejak November 2017, dia masih belum dapat memenangi hati para penyokong Toffees, terutamanya selepas pasukan tersebut berbelanja besar pada musim panas lalu.
Apa pun, sebelum melantik pengurus baharu, Arsenal perlu terlebih dahulu mengenepikan Arsene Wenger untuk mengelakkan lebih banyak musibah melanda pasukan yang pernah mewarnai persada bola sepak dunia.
Menurut sumber Pakcik Bawang beliau pernah terdengar Wenger berkata :
“Rahsia ini telah lama aku pendamkan tiba masanya segala-galanya ku ceritakan. Aku kan pergi, pergi ku tak akan kembali, tiba masanya kau cari teman pengganti.”
Sumber berita : The Sun