Arteta Enggan Salahkan Kehilangan Guardiola Di Bangku Simpanan Punca City Tewas

Pembantu pengurus Manchester City, Mikel Arteta enggan menyalahkan ketidakhadiran Pep Guardiola di bangku simpanan sebagai punca The Citizens tewas mengejut di tangan Lyon dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung awal pagi tadi.

Arteta mengambil tempat Guardiola di bangku simpanan selepas bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu menjalani penggantungan perlawanan yang diterimanya dalam saingan Eropah musim lalu.

Guardiola dilihat berada di tempat duduk VIP menyaksikan perlawanan tersebut tetapi beliau tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang Lyon dari mencuri 3 mata untuk dibawa pulang ke Perancis.

Arteta gagal dalam percubaan pertamanya sebagai pengurus

Manchester City turun selaku pasukan pilihan untuk mencatatkan kemenangan ditambah pula dengan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri. Walau bagaimanapun, lain pula jadinya di atas padang. Mereka mempamerkan aksi yang lesu dalam separuh masa pertama dan akibatnya, Manchester City ketinggalan 2-0 sebelum masuk ke bilik persalinan untuk rehat separuh masa.

Gol Lyon dijaringkan oleh Maxwell Cornet dan Nabil Fekir untuk memberikan kelebihan yang tidak dijangka kepada Lyon. Selepas ‘dibasuh’ pada waktu rehat, Manchester City kembali mengatur rentak dan hasilnya mereka berjaya merapatkan jurang pada minit ke-67 menerusi jaringan Bernardo Silva.

Namun begitu, serangan bertali arus yang dilancarkan Manchester City pada babak kedua gagal membuahkan hasil dengan barisan pertahanan Lyon yang diketuai bekas produk akademi Manchester City, Jason Denayer kukuh bertahan.

Pep terpaksa duduk di tempat penonton kerana diperintahkan meninggalkan padang ketika menentang Liverpool dalam aksi suku akhir UCL musim lepas.

Dalam sidang media selepas perlawanan berakhir, Arteta telah ditanya sama ada ketiadaan Guardiola merupakan punca utama Manchester City tumpas dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

“Saya tidak ada idea. Itu semua andaian sahaja. Realiti yang sebenar adalah Pep tidak ada di bangku simpanan tadi dan kami kalah. Jika Pep ada di bangku simpanan, saya tidak boleh cakap kami akan menang 5-0 atau tewas 3-0.”

Ia merupakan kekalahan ke-4 berturut-turut Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Namun begitu, Arteta mendakwa pasukannya sudah cukup bersedia untuk menghadapi Lyon.

“Kami sedar dengan kekuatan dan kelemahan Lyon. Kami sangat bersedia untuk menghadapi mereka. Kami tidak bersedia untuk ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama tetapi anda perlu mencari jalan untuk bertindak balas.”

Bunch of losers

“Tiada ruang untuk melakukan sebarang kesilapan dalam Liga Juara-Juara Eropah. Anda lakukan kesilapan bermakna anda akan dihukum. Jika anda gagal memenangi pertarungan dan bermain bola mudah, anda akan merana. Hari ini merupakan contoh terbaik perkara tersebut.”

“Kami gagal mendapat rentak sebagai satu pasukan. Kami gagal mencari rentak dalam melakukan hantaran dan tiada konsistensi dalam permainan kami hari ini. Kami berada dalam ancaman setiap kali terlepas bola, yang mana ia boleh menyebabkan keyakinan pasukan jatuh.”

BACA:  Pundit Ini Cakap: "Kalau Manchester United Yang Main Ganti City Mesti Penuh Wembley Tu"