Arteta Guna Asas Wenger Bawa Arsenal Kembali Temui Rentak Kemenangan

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta sebelum ini sudah memberi bayangan yang Gunners bakal bangkit selepas melalui permulaan musim yang mengecewakan.

Beliau baru-baru ini mendedahkan yang penderitaan Arsenal pada awal musim ini sebenarnya demi masa depan yang lebih terjamin, dan mereka sedang menuju ke arah yang dituju.

Permulaan karier Arteta sebagai pengurus Arsenal bermula dengan sangat baik, ia kerana beliau berjaya membantu Gunners memenangi gelaran Piala FA pada musim pertamanya di Emirates.

Walau bagaimanapun, dek kerana The Gunners mengakhiri saingan liga di kedudukan kelapan pada musim lalu, masa depan Arteta turut tergugat.

Masa depan Arteta terus tergugat pada awal musim ini, selepas Arsenal berdepan dengan tiga kekalahan secara berturut-turut dari tiga perlawanan awal dalam saingan Premier League.

Tekanan dari para penyokong semakin memuncak dengan ramai dari mereka meminta agar Arteta meninggalkan kelab dan turut menggesa kelab agar memecat pengurus mereka itu.

Arteta walau bagaimanapun berjaya memujuk semula para penyokong dengan membantu Arsenal mencatatkan tiga kemenangan secara berturut-turut.

Lebih manis lagi, kemenangan ketiga mereka dalam saingan liga adalah ketika aksi bertemu Tottenham Hotspur malam semalam, yang mana ia merupakan berita paling menggembirakan para penyokong.

Bercakap kepada Sky Sports News menjelang aksi pertembungan North London derby, Arteta menegaskan yang perjalanan untuk menuju ke arah kejayaan sudah semakin hampir dan beliau meminta agar semua orang bersabar.

“Kita berada di detik yang berbeza dalam sejarah kita.”

Jelas Arteta kepada Sky Sports News, ketika beliau ditanya tentang prespektif yang hilang dari segala kritikan atas kerja kerasnya bersama Arsenal.

“Setiap kelab perlu melalui pelbagai peringkat yang berbeza, dan kita sudah melalui peringkat itu sejak 18 bulan yang lalu dengan situasi pandemik yang banyak menjejaskan kelab sejak dua musim terakhir ini.”

“Kesukaran itu bercampur-campur dan bakal beralih ke arah berbeza dan kami sedang membina sesuatu yang menakjubkan. Tapi saya seorang yang sangat percaya yang semua ini bakal berlaku.”

“Demi kelab, ia tentu akan berlaku, kita perlu jalani semua ini dan itulah yang akan buatkan kita semakin kuat.”

“Saya boleh rasa apa yang berlaku di sini dan saya boleh rasa apa yang berlaku pada para penyokong, dengan generasi pemain yang kita ada di sini, dengan semua orang yang terlibat dengan kelab. Saya rasa semuanya bakal menjadi sangat menakjubkan.”

Mikel Arteta turut memuji bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger dengan mendakwa pengurus dari Perancis itu telah meninggalkan asas yang kukuh untuk beliau gunakan dalam membawa Gunners ke puncak kejayaan.

Wenger tidak dinafikan merupakan antara pengurus terhebat pernah Arsenal miliki dengan beliau berjaya membawa Gunners untuk menjadi salah sebuah pasukan paling digeruni dalam dunia bola sepak.

Arsene Wenger sepanjang kariernya sebagai pengurus, beliau berjaya membantu Gunners memenangi tiga kali gelaran Premier League dan empat kali gelaran Piala FA dari tujuh tahun pertamanya di Emirates.

Sayangnya, beliau gagal untuk meneruskan momentum kejayaan yang sama selepas itu dan akhirnya memilih untuk bersara dari dunia pengurusan.

Arsene Wenger gagal untuk membantu Arsenal memenangi gelaran liga selama tempoh 14 tahun terakhirnya di Emirates.

Beliau walau bagaimanapun sentiasa berjaya memastikan Arsenal akan mengakhiri saingan liga di kedudukan empat teratas, seterusnya mengesahkan tempat untuk mereka ke saingan Champions League.

Selepas pemergian Wenger, Arsenal jelas berada di ambang kejatuhan dengan mereka sukar untuk merebut slot khas ke saingan Champions League.

Mikel Arteta yakin dan percaya, beliau akan menggunakan legasi yang Wenger tinggalkan, untuk membawa Arsenal kembali ke kedudukan sebenar mereka dalam saingan bola sepak Inggeris.

“Saya rasa semua asas itu sedang kami gunakan sekarang.”

Tambah Arteta lagi.

“Saya yakin asas itu ada kerana orang seperti Arsene dan apa yang dia buat untuk kelab bola sepak ini. Ketika dia pergi, bukan semua benda ikut dia pergi. Masih banyak hal yang dia tinggalkan.”

“Saya fikir antara hal terbesar yang dia tinggalkan adalah cara bagaimana dia membangunkan dan menaikkan nilai kelab serta penghormatan yang diterima oleh kelab ini.”

“Saya yakin dia sungguh hebat dalam meyakinkan orang agar percaya dengan apa yang dia buat dan apa yang kelab cuba untuk lakukan.”

“Dia lakukan semua itu dengan cara yang sangat sempurna kerana dia memainkan permainan yang sangat menarik dan mampu untuk merekrut bakat-bakat hebat dan menggabungkan dari pelbagai generasi.”

“Dia beri kegembiraan yang tidak terhingga kepada dunia bola sepak, terutama sekali kepada para penyokong Arsenal.”

Beliau sepertinya sudah membuktikan kata-katanya benar dengan membantu Arsenal mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Premier League.

Mereka malam semalam hanya memerlukan 34 minit sahaja untuk mengaibkan Tottenham Hotspur dalam aksi saingan North London derby di Emirate.

Emile Smith Rowe, Pierre-Emerick Aubameyang dan Bukayo Saka muncul sebagai penjaring gol untuk Arsenal dan kesemua gol tersebut berjaya dijaringkan pada aksi babak pertama permainan.

Spurs hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dalam perlawanan ini menerusi Son Heung Min pada minit ke-79 permainan.

Wisel penamat dibunyikan dengan Arsenal berjaya menewaskan Tottenham Hotspur dengan keputusan 3-1, seterusnya membawa mereka ke kedudukan ke-10 dalam carta liga.

Ia merupakan satu peningkatan yang sungguh mendadak, dengan mereka sebelum ini berada di kedudukan ke-20 dalam carta liga, dan selepas enam perlawanan, Gunners berjaya naik 10 anak tangga.

Jika dakwaan Arteta tentang pelan perancangan beliau itu benar, maka tidak akan mengejutkan andai melihat mereka kembali bersaing untuk merebut slot khas ke kejuaraan Eropah pada musim hadapan.

Sumber: Sky Sports

BACA:  Gol Persis Thierry Henry Daripada Martinelli Bawa Arsenal Kembali ke Top 4