Arteta Minta Maaf Kepada Penyokong Atas Kekalahan Memalukan Bertemu Crystal Palace

Skuad kendalian Patrick Vieira berjaya menewaskan Arsenal dengan keputusan 3-0, seterusnya menyebabkan The Gunners gagal untuk kembali memintas Tottenham Hotspur yang kini berada di kedudukan keempat.

Arsenal ketika ini berada di kedudukan kelima dalam carta saingan liga, dengan mereka cemerlang mengumpul 54 mata dari 29 perlawanan.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu mengumpul kutipan mata yang sama dengan seteru utama mereka, Tottenham Hotspur namun skuad kendalian Antonio Conte itu memiliki kelebihan dari segi jaringan gol.

Arsenal walau bagaimanapun masih berpeluang untuk kembali memintas Tottenham Hotspur kerana mereka mempunyai kelebihan satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

Menjelang aksi bertemu Crystal Palace awal pagi tadi, kem Arsenal jelas sekali menyasarkan mahu mengutip tiga mata penuh, agar mereka mampu mengukuhkan kedudukan di kelompok empat teratas.

Walau bagaimanapun, skuad kendalian Mikel Arteta itu terpaksa akur dengan kecemerlangan dan kehebatan Palace dalam perlawanan ini, dengan pasukan tuan rumah cemerlang menewaskan Gunners 3-0.

Palace membuka tirai jaringan mereka pada minit ke-16 permainan menerusi Jean- Philippe Mateta, sebelum Jordan Ayew menggandakan kedudukan beberapa minit selepas itu.

Pada aksi babak kedua, Wilfried Zaha cemerlang menjaringkan gol ketiga untuk Crystal Palace menerusi sudut sepakan penalti.

Gol jaringan Zaha itu juga mengesahkan kemenangan 3-0 skuad kendalian Patrick Vieira itu menewaskan Arsenal dalam saingan Premier League.

Kemenangan 3-0 menewaskan bekas kelabnya itu juga berjaya membantu Vieira membawa Palace untuk naik ke kedudukan kesembilan dalam carta saingan Premier League pada ketika ini.

Mikel Arteta yang baru sahaja memenangi anugerah pengurus terbaik bulanan Premier League sudah tentu sedikit kecewa dengan kekalahan tersebut.

Bercakap selepas tamat perlawanan, Mikel Arteta mendedahkan bahawa:

“Pertama sekali tahniah kepada Crystal Palace atas permainan yang mereka persembahkan.”

Jelas Mikel Arteta kepada Sky Sports.

“Saya rasa kami jadikan ia mustahil untuk diri kami sendiri, cara bagaimana kami bermain. Kita bercakap tentang itu sebelum perlawanan, kamu perlu bersaing di halaman ini, kamu perlu lebih fizikal, kamu perlu menang first ball dan second ball, menang cabaran dan kamu ada hak untuk bermain.”

“Kami dapat sikit-sikit tapi kami sangat teruk, kami benar-benar tak konsisten dengan bola, bagi bola kepada lawan terlalu kerap.”

Mikel Arteta juga turut mengakui bahawa anak-anak buahnya tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka dalam perlawanan ini dan beliau turut meminta maaf kepada penyokong atas hal tersebut.

“Di tahap itu, ia sangat tak boleh diterima, jadi hari ini, kita kena terima yang kami tak berada di tahap terbaik kami, terutama pada aksi babak pertama dan saya mahu minta maaf kepada para penyokong.”

Agak rugi untuk Arsenal tewas dalam perlawanan tersebut memandangkan mereka sebelum ini sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka.

Mereka sebelum ini nampak sangat berpotensi untuk terus kekal di kedudukan keempat, namun kehilangan mata dalam perlawanan seperti ini jelas sekali mengganggu Gunners untuk konsisten.

Kekalahan ini juga secara tak langsung membuka semula peluang untuk perebutan kedudukan keempat dalam carta liga, dengan West Ham dan Manchester United juga turut berpotensi untuk berada di kelompok tersebut.

Arsenal harus mencatatkan kemenangan dalam baki satu perlawanan yang mereka miliki itu dalam usaha untuk menjamin tempat di kedudukan keempat dalam carta liga.

Seandainya mereka tewas, maka ia jelas sekali akan menyukarkan Arsenal untuk berada di kelompok empat teratas, dan akan beri ruang kepada pasukan lain seperti Tottenham Hotspur untuk mengambil alih tempat mereka.

BACA:  Mikel Arteta Calon Pilihan Gantikan Tempat Arsene Wenger