AS Roma Sedaya Upaya Cuba Pancing Cristiano Ronaldo

Kelab Itali, AS Roma, dilaporkan cuba mendapatkan bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, dan akan buat segala yang termampu untuk membawa pemain ini kembali ke Itali.

Ronaldo sebelum ini menjadi topik hangat perpindahan selepas melalui musim yang surup bersama Manchester United yang menamatkan saingan liga di luar tangga empat teratas, sekaligus terlepas slot ke Liga Juara-Juara UEFA pada musim hadapan.

Tambahan pula, dengan kesenduan kelab tersebut dalam jendela perpindahan kali ini, Ronaldo dikhabarkan sudah naik muak dengan pengurusan tertinggi kelab.

Laporan lain turut mengatakan bahawa penyerang berusia 37 tahun ini telah ditawarkan kepada Bayern Munich oleh ejennya selepas tersebar khabar angin tentang ketidakpuasan hatinya dengan Manchester United.

Kini, media Itali Retesport pula melaporkan Roma akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pemegang rekod jaringan pasukan kebangsaan ini.

Bekas pertahanan Roma, Fabio Petruzzi memberitahu agensi berita tersebut, dia mendapat tahu cerita kelab lamanya ini dan mengesahkan bahawa penyerang Portugal itu berada dalam radar kelab.

Perpindahan ke Roma bakal menyaksikan Ronaldo bergabung tenaga bersama bekas pegurusnya di Real Madrid, Jose Mourinho. Lagi pula, pengarah kelab yang terlibat dalam perpindahan pemain, Tiago Pinto, juga merupakan warganegara Portugal.

Untuk rekod, Mourinho adalah jurulatih yang bertanggungjawab menukar posisi Ronaldo daripada pemain sayap kepada penyerang tengah nombor 9.

Menjelang perlawanan akhir Copa Del Rey pada tahun 2011 menentang Barcelona, Mourinho melakukan kejutan dengan meletakkan Ronaldo di posisi tersebut meskipun mempunyai penyerang tengah yang asli seperti Karim Benzema, Gonzalo Higuain dan juga Emmanuel Adebayor. Ronaldo dimainkan di posisi tersebut kerana Mourinho mahu pemain ini fokus dalam melakukan serangan sahaja dan tidak perlu mengejar pemain bek sayap pasukan lawan seperti Dani Alves.

Real Madrid muncul pemenang perlawanan itu hasil gol tunggal daripada Cristiano Ronaldo.

Jika Ronaldo berpindah ke Roma, situasinya tetap sama seperti Manchester United, kerana kelab ibu negara Itali ini juga tidak bermain dalam Liga Juara-Juara UEFA juga selepas menamatkan saingan liga di tangga keenam – sama seperti United.

Cuma bezanya adalah, Roma menjulang trofi Liga Persidangan UEFA dan United menjulang penyapu.

Ronaldo sebelum ini pernah beraksi di Itali bersama Juventus dan dia telah mempamerkan aksi yang sangat prolifik di mana pemain ini berjaya menjaringkan 101 gol dalam 134 perlawanan dan memenangi Scudetto dua kali.

Selepas tiga musim di Turin, Ronaldo pulang ke Old Trafford dan menjaringkan hanya 24 gol dalam kesemua perlawanan. Pun begitu, rekod ini boleh dianggap sebagai rekod yang baik memandangkan Ronaldo dikelilingi pemain yang separa siap dan tidak cukup kualiti untuk bertanding di peringkat tertinggi.

Sebaik musim tamat, Manchester United telah melantik juara Liga Belanda, Erik Ten Hag selaku jurulatih baharu dan dia dilaporkan sudah bertegur sapa dan berbincang dengan pemenang Ballon d’Or lima kali tersebut.

Sejurus Ten Hag dilantik, Ronaldo berkata,”Apa yang teman tahu pasal dia [ten Hag] adalah dia telah lakukan tugas yang begitu cemerlang di Ajax, dan dia juga adalah jurulatih yang berpengalaman. Tapi kita perlu bagi dia sedikit masa.

“Semua benda perlu diubah mengikut apa yang dia nak. Teman harap kami akan mendapat kejayaan, sebab kalau miker berjaya, semua orang di Manchester akan berjaya juga. Teman ucapkan selamat berjaya kepada dia.

“Kami sekarang ni gembira dan teruja, bukan sahaja selaku pemain tetapi para penyokong juga. Teman ucapkan selamat maju jaya dan moh sama-sama kita percaya yang tahun depan, kita akan menang piala.”

Berita dipetik dari : SB

BACA:  Takehiro Tomiyasu Dianggap Mempunyai Mentaliti Sehebat Cristiano Ronaldo