Dalam artikel ini saya akan berkongsi sedikit sebanyak perkara dan teknik yang diperlukan untuk menjadi seorang jurulatih bolasepak. Ia boleh diguna pakai untuk menjadi jurulatih profesional mahupun amatur. Bagi yang berminat untuk menjadi jurulatih bolasepak berlesen, saya sarankan agar anda mendapatkan maklumat “Kursus Awalan Bolasepak FAM” di persatuan bolasepak negeri masing-masing. Tiada tutorial pendaftaran dalam siri artikel ini.
Sebelum menjadi jurulatih bertauliah mahupun tidak bertauliah anda perlu hadam beberapa persoalan berikut:
- Adakah anda sudah bersedia? Atau hanya berangan?
- Apakah perancangan anda untuk jangka masa 10 tahun dari sekarang?
- Adakah umur anda sesuai dengan kelab sedia ada yang ingin diuruskan?
- Adakah anda mempunyai kemahiran asas bolasepak?
- Adakah “taktikal bolasepak” dikedudukan paling atas dalam menentukan keputusan perlawanan?
- Apakah cara terbaik untuk menguasai minda para pemain?
- Adakah para pemain mahu mendengar arahan anda?
- Adakah anda bersedia menjadi contoh yang baik kepada para pemain?
- Apa keunikan anda?
- Adakah anda seorang yang tegas atau seorang yang bertolak ansur?
Nah, banyak persoalan yang timbul. Tiada jawapan spesifik untuk persoalan di atas. Namun sepatutnya kini anda sudah kenal pasti anda jenis yang macam mana. Setiap jurulatih mempunyai kepercayaan dan falsafahnya sendiri.
Dimudahkan cerita, menjadi seorang jurulatih bolasepak adalah diibaratkan anda menjadi Pengurus sebuah syarikat bertaraf Sdn Bhd di mana terdapat lebih 30 pekerja yang akan anda jaga dan beri arahan. Bukan tugas mudah. Tetapi dimana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sebelum kita beralih ke aspek teknikal dalam menjadi seorang jurulatih bolasepak, eloklah kita ketahui terlebih dahulu antara perkara penting yang perlu diambil berat seorang jurulatih bolasepak.
Wajib Menunjukkan contoh yang baik
Datang awal di pusat latihan, tidak merokok didepan pemain, dan tidak mencarut setiap masa. Mencarut bagi seorang jurulatih adalah perkara biasa, namun carutan yang meleret setiap masa tidak digemari oleh sesiapapun. Anda harus menjadikan para pemain menghormati anda.
Mengetahui asas warming-up dan cooling-down sebelum dan selepas permainan.
Asas yang teramat. Aturkan sesi warming-up sebelum perlawanan mahupun latihan. Jika anda world-class, serahkan kepada pembantu. Jika tidak usah berangan, anda sendiri harus perhatikan dan memberi arahan. Cara paling mudah adalah melantik seorang ketua. Kebiasannya perkara ini diserahkan kepada kapten pasukan. Awasi pemain yang mengelat dalam sesi ini. Pemain yang gemar skip warming-up adalah ciri-ciri pemain yang tidak akan keman-mana. Hanya kekal liga kampung atau bakal pesakit lutut dan sendi tidak lama lagi.
Memahami kekuatan pasukan sendiri dan lawan.
Paling penting adalah memahami kekuatan pasukan sendiri. Kenal pasti beberapa pemain yang mampu mengubah permainan, melakukan sepakan percuma, penalti, yang pandai merembat dengan kuat. Kalau tidak faham kelebihan pemain sendiri, ianya adalah kerugian besar. Sebahagian keputusan permainan adalah berfaktorkan oleh kelebihan-kelebihan seperti , larian yang super laju, sepakan penjuru, sepakan percuma, dan lain-lain kepoweran.
Memahami kekuatan pasukan lawan adalah satu kewajipan bagi pasukan profesional.
Mempunyai prediksi sendiri terhadap keputusan perlawanan selepas 10 minit permainan dimulakan.
Pernah dengar tak perkataan ini, “Pasukan yang menguasai 10 minit perlawanan pertama adalah pasukan yang bakal memenangi perlawanan”. Saya mendengar ucapan ini daripada beberapa jurulatih terkenal di Malaysia. 10 minit pertama perlawanan adalah kritikal. Ia adalah waktu sesebuah pasukan membina keyakinan. Peratus kemenangan amat tinggi jika sesebuah pasukan berjaya menguasai 10 minit pertama perlawanan. Jika pasukan anda terawang-awang pada 10 minit pertama, mohon berdiri dan aturkan perlawanan. Diwaktu rehat separuh masa pertama, hambat pemain seadanya.
Mengetahui kelemahan dan kelebihan para pemain.
Kenal pasti kelemahan pemain. Lain perlawanan lain cabarannya. Kalau nampak kelemahan ketara pada separuh masa pertama daripada si A, anda sepatutnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Samada memberi nasihat keras kepada pemain tersebut ataupun masukkan pemain gantian yang dapat mengatasi “lubuk” tersebut.
Mengetahui tahap kecergasan para pemain.
Masalah yang kerap berlaku terhadap pasukan amatur dan semi-pro. Tiada stamina, merokok 10 minit sebelum perlawanan, air botol tak ada atau tidak cukup, dan macam-macam masalah lagi. Utamakan pemain yang mempunyai peratusan kecergasan yang tinggi.
Terdapat banyak lagi perkara penting namun ianya bersifat subjektif jadi saya tidak akan menulisnya di sini. Acuan sendiri kadang-kadang lebih menjadi daripada bacaan daripada mana-mana buku mahupun tulisan di blog.
Dalam bahagian seterusnya kita akan mempelajari beberapa asas latihan yang boleh digunapakai dalam sesi latihan.
Like fan page The Sukan untuk mengikuti sambungan artikel ini di masa akan datang. Terima kasih.