Aston Villa & Cabaran Emery: Menjaga Prestasi di Liga dan Kewangan

Sebelum sepak mula perlawanan lagu Crazy Train oleh Ozzy Osbourne berkumandang di Villa Park. Ia merupakan satu tradisi pra-perlawanan Aston Villa untuk mengingatkan penyokong akan akar umbi kelab ini. Pada minggu lepas, Black Sabbath mengumumkan konsert terakhirnya yang akan berlangsung di Villa Park pada bulan Julai. Sebelum itu Villa park akan menganjurkan konsert Guns N’ Roses dan Kendrick Lamar. Ia sebahagian daripada usaha menjadikan stadium ini sebagai lokasi muzik utama ketika musim bola sepak berehat.

Namun, tumpuan utama Aston Villa tetap kepada bolasepak. Di bawah kendalian Unai Emery, kelab ini bukan sahaja menikmati kejayaan di atas padang malah berkembang dari segi kewangan. Villa kini mampu mengenakan harga tiket setinggi £92 untuk perlawanan menentang Brighton & Hove Albion dan £70 sebagai harga terendah untuk perlawanan Liga Juara-Juara. Permintaan tinggi daripada penyokong menyokong dasar harga ini.

Sejak Emery dilantik pada Oktober 2022, setiap aspek kelab mengalami peningkatan. Beliau memiliki kawalan penuh dalam pengambilan pemain. Presiden operasi bola sepak, Monchi dan pengarah operasi bola sepak, Damian Vidagany bertanggungjawab memastikan keputusan pengambilan pemain sejajar dengan bajet kelab. Dalam jendela perpindahan Januari, Emery mahukan Marcus Rashford dan Marco Asensio. Kedua-duanya berjaya diperolehi secara pinjaman. Villa menanggung semua gaji Asensio serta 90% gaji Rashford.

Walaupun kelab menjana pendapatan tinggi, masalah kos gaji yang tinggi masih membelenggu. Pada musim lalu Villa membelanjakan 96% daripada hasil kelab untuk bil gaji. Ia peratusan tertinggi dalam kalangan 20 kelab, mengatasi Chelsea yang berada di tempat kedua (72%). Dengan meminjam pemain seperti Rashford, Asensio, dan Axel Disasi tekanan kewangan tetap ada tetapi kejayaan di Liga Juara-Juara boleh menampungnya untuk jangka panjang.

Di Liga Perdana Inggeris, Villa masih belum mencapai prestasi terbaik. Keputusan seri 1-1 menentang pasukan ke-3 terbawah, Ipswich menjadi satu lagi contoh bagaimana kemenangan berpotensi bertukar menjadi keputusan seri. Meskipun Villa memiliki rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan liga di tempat sendiri, separuh daripadanya adalah keputusan seri. Kekurangan ketajaman di hadapan gol juga menjadi masalah; sebelum perlawanan menentang Ipswich, berdasarkan jangkaan gol (xG), Villa 8 kali melepaskan peluang untuk menjaringkan gol.

Semasa perlawanan menentang Ipswich, Emery memasukkan Ian Maatsen dan Rashford pada separuh masa kedua. Rashford bermain di sebelah kiri. Villa menggunakan formasi 4-2-4 bagi memanfaatkan kelebihan seorang pemain selepas pemain lawan, Axel Tuanzebe dibuang padang. Namun, pendekatan agresif itu menyebabkan ketidakseimbangan dalam serangan dan membuka ruang kepada Ipswich untuk melakukan serangan balas. Liam Delap mengambil peluang itu untuk menjaringkan gol.

Walaupun begitu, Emery tetap optimis. Beliau menegaskan pasukannya kehilangan kawalan kerana terlalu tergesa-gesa untuk ke hadapan, bukannya disebabkan kelemahan struktur taktikal. Namun, jelas bahawa Villa kini berada dalam tekanan untuk menang setiap perlawanan bagi memastikan kelab terus maju dalam Liga Juara-Juara. Kejayaan di Liga Juara-Juara akan membantu Villa mengukuhkan buku akaunnya untuk tidak melanggar peraturan kewangan, PSR.

Kesimpulannya, Aston Villa tidak mempunyai pilihan selain menang dan ja perlu bermula dari sekarang.

BACA:  Manchester United: Dari Kelab Gergasi ke Pasukan Biasa?