Aston Villa Hampir Capai Persetujuan Untuk Mendapatkan Marcus Rashford Secara Pinjaman

Aston Villa kini semakin hampir untuk mendapatkan Marcus Rashford secara pinjaman daripada Manchester United.

Namun, perpindahan ini masih belum dimuktamadkan kerana terdapat beberapa butiran yang perlu diselesaikan antara semua pihak. Setakat ini kemajuan yang besar telah dicapai dengan Villa sedang menguruskan terma kewangan termasuk menampung sebahagian gaji Rashford.

Mereka juga berusaha untuk meyakinkan Rashford yang tertarik dengan peluang bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah. Pengurus Villa, Unai Emery menyokong penuh usaha untuk mendapatkan Rashford dan difahamkan satu klausa pembelian secara tetap akan dimasukkan dalam perjanjian tersebut.

Villa bersedia untuk menanggung sebahagian besar gaji Rashford serta menawarkan bonus berdasarkan prestasi. Emery sendiri yang mencadangkan rundingan ini dilakukan kerana dia merupakan peminat Rashford. Emery percaya pemain antarabangsa England itu adalah antara penyerang paling berbahaya di dunia. Emery juga yakin dia mampu membantu Rashford mendapatkan semula prestasi terbaiknya.

Pemain berusia 27 tahun itu telah menarik minat beberapa kelab ternama Eropah seperti Barcelona, AC Milan dan Borussia Dortmund. Rashford dijangka kekal di Liga Perdana Inggeris dengan menyertai Villa Park bagi baki musim 2024-25.

Rashford Kian Tersisih di United

Kontrak Rashford bersama Manchester United masih berbaki sehingga 2028 dan dia merupakan antara pemain dengan gaji tertinggi di kelab itu. Rashford menerima gaji lebih dari £325,000 seminggu.

Sejak kemenangan derby menentang Manchester City pada 15 Disember lalu, Rashford tidak lagi diturunkan dalam mana-mana perlawanan United. Ketua jurulatih Ruben Amorim telah mengetepikannya selepas Rashford menyatakan hasrat untuk mencari “cabaran baharu”.

Pada 30 Disember, Rashford hanya berada di bangku simpanan ketika United tewas kepada Newcastle dan dia tidak diturunkan sepanjang perlawanan itu. Sejak itu, dia terus disisihkan daripada skuad termasuk ketika United seri 2-2 menentang Liverpool di Anfield pada 5 Januari serta dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Arsenal seminggu kemudian.

Sebelum disisihkan, Rashford telah bermain dalam kesemua 15 perlawanan Liga Perdana sepanjang musim ini. 12 daripadanya Rashford berada dalam kesebelasan utama.

Rashford merupakan pemain yang dilahirkan daripada akademi United setelah menyertai kelab itu sejak berusia 7 tahun. Sejak melakukan debut senior pada tahun 2016, dia telah membuat 426 penampilan dan menjaringkan 138 gol untuk kelab tersebut.

Villa, yang kini berada di tangga ke-8 liga telah menandatangani Donyell Malen dari Borussia Dortmund pada awal bulan ini. Villa juga sedang mencari penyerang baharu selepas Jhon Duran berpindah ke kelab Arab Saudi, Al Nassr.

Pinjaman Rashford, Langkah Bijak untuk United

Secara tradisional, United berhati-hati dalam melepaskan pemain kepada kelab Inggeris lain kerana bimbang pemain tersebut akan kembali ke prestasi terbaiknya. Jika keadaan itu berlaku ia akan mencerminkan kelemahan United sebagai sebuah kelab yang gagal meningkatkan pemainnya. Pinjaman Jesse Lingard ke West Ham sebelum ini adalah contoh situasi tersebut.

Namun, rejim baharu United kini mempunyai pendekatan yang berbeza dan bersedia untuk membenarkan perpindahan ke kelab Liga Perdana jika tawaran kewangan masuk akal. Villa bersedia membayar sebahagian besar gaji £325,000 seminggu Rashford dan turut memasukkan pilihan pembelian dalam perjanjian ini.

Dari sudut United, Rashford kini berada di luar perancangan Amorim. Gaji Rashford dianggap satu pembaziran. Dengan mendapatkan semula sebahagian daripada gaji itu, United dapat mengimbangi kewangan mereka. Sekiranya Rashford berjaya menemui semula prestasi terbaiknya, dia akan menjadi aset yang lebih bernilai untuk dijual pada musim panas nanti.

Selain itu, kelayakan Villa dalam Liga Juara-Juara memberi Rashford peluang untuk membuktikan dirinya di pentas tertinggi. Nampaknya, Rashford telah diyakinkan dengan prospek ini dan bersedia untuk mencuba “cabaran baharu” yang dicarinya.

BACA:  John Duran; Perjalanan Pendek Di Aston Villa Yang Berakhir Di Al Nassr