Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone telah mengesahkan yang penyerang sensasi mereka, Antoine Griezmann akan dibenarkan berpindah keluar pada penghujung musim nanti.
Penyerang antarabangsa Perancis ini dilaporkan menjadi sasaran utama beberapa kelab besar Eropah dan musim lepas beliau hangat dikaitkan dengan perpindahan ke England untuk menyertai Manchester United.
Griezmann dijangka akan kekal sehingga penghujung musim ini dengan Simeone juga telah memberi lampu hijau untuk pemain ini berpindah pada masa hadapan ketika ditemuramah akhbar L’Equipe.
“Sudah tentu Griezmann akan berpindah keluar pada satu ketika, sama seperti yang berlaku kepada Diego Costa dan Arda Turan yang mana kami membenarkan pemain ini berpindah. Saya sangat sayangkan pemain saya dan gembira untuk melihat mereka membesar. Saya bukan lah seorang yang tidak mengenang budi.”
“Jika ada pemain datang berjumpa saya dan berkata, ‘Saya mendapat peluang sekali seumur hidup untuk bermain dengan sebuah pasukan lain, dan saya mahu berpindah’. Jika pemain tersebut telah memberikan segala-galanya kepada kelab seperti apa yang Griezmann telah lakukan, saya akan membenarkan pemain ini berpindah tanpa sebarang masalah. Saya tahu Griezmann mahu mengembangkan lagi karier beliau.”
Penganalisa bolasepak Skysports, Guillem Balague melaporkan Griezmann tidak akan meminta untuk berpindah apabila tirai perpindahan pemain dibuka kembali Januari depan, tetapi Atletico Madrid telah mula mempersiapkan pasukan tanpa kelibat Griezmann dalam skuad utama.
Balague turut memberitahu dua kelab ternama iaitu Manchester United dan Paris Saint-Germain sedang mendahului perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan Griezmann.
“Barcelona, Real Madrid, Paris Saint-Germain dan Manchester United mahukan khidmat Griezmann dalam pasukan mereka. Saya tidak rasa pemain ini telah bersetuju untuk menyertai mana-mana kelab. Atletico telah memberitahu situasi semasa Griezmann kepada Barcelona, akan tetapi tiada sebarang perjanjian telah dipersetujui.”
“Destinasi kelab seterusnya akan ditentukan oleh Griezmann sendiri. Beliau terbuka dengan segala peluang yang ada. Pada masa ini, saya percaya Manchester United dan Barcelona sedang mendahului kelab-kelab lain dalam misi mendapatkan Griezmann.”
Pada penghujung musim lepas, Griezmann dilaporkan menjadi sasaran utama Manchester United dengan Jose Mourinho sedia memecahkan rekod dunia untuk membawa pemain ini ke Old Trafford.
Akan tetapi beliau menegaskan adalah tindakan ‘kotor’ untuk meninggalkan Atletico Madrid ketika pasukan tersebut baru sahaja menerima hukuman penggantungan dari menandatangani sebarang pemain ketika itu.
Atletico Madrid akan dibenarkan kembali membuat urusniaga dalam pasaran perpindahan pemain pada Januari ini dan sudah mempersetujui dengan Chelsea bagi mendapatkan kembali khidmat Diego Costa.
Atletico Madrid terlepas peluang untuk mendapatkan khidmat Alexander Lacazette pada saat akhir kerana hukuman tersebut. Arsenal mengambil kesempatan dari situasi tersebut untuk mendapatkan Lacazette dari Lyon.