Atletico Madrid Dan Bayern Munich Tak Mahu Terus Dikaitkan Dengan Cristiano Ronaldo

Masa depan Cristiano Ronaldo bersama Manchester United masih lagi tidak jelas pada ketika ini dengan beliau berkeras mahu meninggalkan kelab namun sehingga kini belum ada kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Terbaru, Atletico Madrid dan Bayern Munich pula yang telah menarik diri dari terus dikaitkan dengan Cristiano Ronaldo dengan kedua-dua mereka menegaskan yang bintang Portugal itu tiada dalam perancangan masa hadapan mereka.

Ronaldo telah dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi dalam dunia bola sepak sejak dari awal beliau mengumumkan hasratnya mahu meninggalkan Man United pada musim panas ini.

Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini, masih belum ada kelab yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya dan beliau ditolak atas pelbagai alasan yang berbeza.

Chelsea dan Napoli sebelum ini hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani beliau, namun kedua-dua kelab tampil menafikan tentang dakwaan tersebut.

Kini, giliran Atletico Madrid dan Bayern Munich pula yang menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan yang mereka sememangnya tidak berminat untuk mendapatkan pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu.

Presiden Atletico Madrid, Enrique Cerezo menganggap yang perpindahan Ronaldo menyertai mereka adalah satu hal yang mustahil untuk berlaku.

Cerezo memberitahu wartawan dari El Partidazo de Cope bahawa:

“Saya sudah beberapa kali katakan ini, saya tak tahu siapa yang mulakan cerita tentang Cristiano tapi saya akan beritahu kamu yang ia memang mustahil pada dasarnya untuk dia datang sertai Atletico de Madrid.”

“rumours adalah rumours dan mereka akan kata itu adalah rumours. Jika kamu terus bercakap tentang rumours maka ia secara tak sengaja akan dilihat seperti sesuatu yang betul, tapi hakikatnya tidak.”

Bayern Munich sementara itu, walau mereka baru sahaja kehilangan Robert Lewandowski, namun chief executive kelab, Oliver Kahn menegaskan yang kelab sama sekali tidak bercadang untuk membeli Cristiano Ronaldo.

“Kami ada berbincang tentang Cristiano Ronaldo secara dalaman, saya memang anggap dia sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman.”

Jelas Kahn kepada Bild.

“Kemudian kami capai kata sepakat yang walaupun kami sememangnya sangat menghargai Cristiano, dia sebenarnya tak sesuai dengan falsafah kami dalam situasi seperti sekarang.”

Legenda Portugal itu kembali menyertai skuad Man United di padang latihan di Carrington bersama ejennya, Jorge Mendes dengan mereka turut bercakap bersama pegawai kelab serta pengurus kelab, Erik ten Hag pada pagi Selasa baru-baru ini.

Legenda terhebat sepanjang zaman, Sir Alex Ferguson turut dilihat ada ketika sesi rundingan tersebut dengan beliau dikatakan ada di sana untuk mengadakan perbincangan biasa bersama chief executive kelab, Richard Arnold.

Ronaldo terbang semula ke UK pada Isnin lalu selepas beliau terlepas semua perlawanan pra musim Man United di Thailand dan Australia.

Beliau tidak mengikuti skuad United kerana mempunyai masalah peribadi dan pihak kelab dilaporkan menerima alasan tersebut dan membenarkan beliau mengambil cuti tambahan.

Manchester United sementara itu dikatakan masih teguh dengan keputusan mereka untuk tidak mahu sama sekali menjual Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas ini.

Walau bagaimanapun, Sky Sports News turut melaporkan yang Man United sebenarnya bersedia sahaja untuk mendengar tawaran dari mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 37 tahun itu.

Ketika berada di Bangkok, Ten Hag ada menyatakan yang Ronaldo sememangnya ada dalam perancangan beliau pada musim baharu ini.

“Kami ada perancangan untuk Ronaldo pada musim baru ini dan itu saja. Saya tak sabar mahu bekerja dengan dia. Cristiano bukan untuk dijual. Dia ada dalam perancangan saya dan kami mahu berjaya bersama.”

Jelas pengurus dari Belanda itu selepas tamat aksi bertemu Liverpool di Bangkok.

Menurut laporan dari Melissa Reddy, dek kerana sudah tiada pilihan lain, maka Ronaldo terpaksa untuk kekal bersama Manchester United pada musim baharu ini.

“Akhirnya, Ronaldo ada menyatakan keinginan dia untuk meninggalkan Old Trafford, tapi dia sekarang tiada pilihan lain, dan sepertinya dia terpaksa untuk terus kekal.”

Walau bagaimanapun, memandangkan jendela perpindahan masih panjang, maka tidak hairanlah andai satu hari nanti Ronaldo akan tetap meninggalkan kelab seandainya ada kelab lain yang benar-benar berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Manchester Umum Cristiano Ronaldo Sah Kembali ke Pangkal Jalan