Aubameyang Dilucutkan Dari Jawatan Sebagai Ketua Pasukan Arsenal

Pierre-Emerick Aubameyang secara rasminya telah dilucutkan dari jawatan sebagai ketua pasukan Arsenal oleh pengurus kelab, Mikel Arteta.

Selepas beliau diketepikan dari aksi bertemu Southampton minggu lalu kerana masalah disiplin, Aubameyang kini berdepan satu lagi hukuman dari pihak kelab.

Lilitan kapten miliknya ditarik balik dan beliau selepas ini tidak akan lagi menjadi ketua pasukan Arsenal.

Aubameyang telah diketepikan dari skuad utama Arsenal ketika aksi bertemu Southampton minggu lalu, dengan skuad kendalian Mikel Arteta itu berjaya mencatatkan kemenangan selesa 3-0 menewaskan The Saint.

Mikel Arteta selepas tamat perlawanan telah mendedahkan alasan mengapa beliau mengetepikan Aubameyang dari skuadnya dalam perlawanan itu.

Beliau menegaskan yang bintang Gabon itu diketepikan kerana masalah disiplin dan beliau sengaja mengetepikan Aubameyang sebagai hukuman untuknya.

Ini bukanlah kali pertama dalam tahun ini untuk melihat hal seperti ini berlaku, dengan Aubameyang turut diketepikan ketika aksi London derby pada musim lalu kerana lambat tiba di hari perlawanan.

Baru-baru ini Aubameyang telah meminta kebenaran dari pihak kelab untuk pergi ke luar negara atas urusan peribadi dan permohonan beliau diluluskan oleh kelab.

Walau bagaimanapun, beliau sama sekali tidak tiba pada hari yang dijanjikan dan kerana itulah Mikel Arteta mengetepikan beliau dari skuad bertemu Southampton.

Hal itu jugalah menjadi antara punca mengapa jawatan Aubameyang sebagai ketua pasukan Arsenal ditarik balik dengan kelab sendiri turut mengeluarkan kenyataan rasmi berkait hal tersebut.

“Ekoran dari insiden pelanggaran disiplin terbaru beliau pada minggu lalu, Pierre-Emerick Aubameyang kini bukan lagi ketua pasukan kelab kita, dan beliau juga tidak akan dipertimbangkan untuk aksi bertemu West Ham United pada minggu ini.”

“Kita menjangkakan kesemua pemain kita, terutama ketua pasukan, untuk mematuhi peraturan dan standard yang ditetapkan dan yang telah kita semua persetujui.”

“Kita akan beri tumpuan penuh pada perlawanan esok.”

Aubameyang telah diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan pada tahun 2019 yang lalu, untuk menggantikan Granit Xhaka.

Pemain midfield Switzerland itu telah dilucutkan jawatan sebagai ketua pasukan selepas terpalit dengan beberapa isu kontroversi.

Xhaka diberikan jawatan tersebut selepas mendapat sokongan dari para pemain, namun hal itu sama sekali tidak disenangi oleh para penyokong.

Selepas beliau terlibat dengan insiden menganjing penyokong yang ‘memboo’ beliau ketika sedang dalam perjalanan untuk meninggalkan padang, pihak kelab memutuskan untuk menarik semula jawatan tersebut.

Auba kini sudah melakukan dua masalah disiplin yang menyebabkan jawatan beliau sebagai ketua pasukan ditarik balik.

Para penyokong pada ketika ini tertanya-tanya siapakah calon paling sesuai untuk menggantikan Aubameyang sebagai ketua pasukan yang baru.

Arsenal pada awal musim lalu dianggap sebagai pasukan yang bakal tersingkir dari saingan Premier League, namun mereka berjaya untuk bangkit dan kini sedang bersaing untuk merebut kedudukan empat teratas.

Alexandre Lacazette berkemungkinan akan dilantik sebagai ketua pasukan untuk aksi bertemu West Ham nanti dan mungkin juga akan terus menggalas tugas sebagai kapten terbaru kelab.

Selain Lacazette, sepertinya tiada calon lain yang lebih sesuai dan mungkin juga Mikel Arteta bakal sekali lagi meminta para pemain untuk melakukan pilihan raya kecil untuk memilih ketua pasukan yang seterusnya.

Agak membebankan juga untuk Gunners terus menanggung beban membayar gaji Aubameyang tanpa menggunakan khidmatnya kerana pemain kebangsaan Gabon itu merupakan penerima gaji tertinggi kelab pada ketika ini.

Masa depan bekas bintang Borussia Dortmund itu masih belum dapat dipastikan pada ketika ini, namun satu hal yang pasti, jodoh beliau di Emirates mungkin tidak akan panjang.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Toni Kroos Mungkin Menyesal Pernah Hentam Keraian Aubameyang Satu Ketika Dahulu