Azeem Fahmi Manusia Bawah 20 Tahun Kelima Terpantas Dunia

Muhd Azeem Fahmi kini bergelar manusia bawah 20 tahun kelima terpantas di dunia apabila menamatkan perlumbaan akhir acara 100m lelaki Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di tempat kelima.

Kejohanan Olahraga Dunia B-20 telah melabuhkan tirainya untuk acara 100m dan pencapaian Azeem Fahmi sangat membanggakan selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

Azeem Fahmi mencatatkan masa 10.14 saat memperbaiki lebih baik dari catatan yang dilakukan di separuh akhir walaupun gagal menyamai rekod yang dicipta di peringkat saringan.

Pelari pecut dari Botswana, Letsile Tebogo muncul juara dengan catatan masa 9.91 saat yang memecahkan rekod dunia bawah 20 tahun.

Keputusan penuh 100m lelaki Kejohanan Olahraga Dunia B-20:

1. Letsile Tebogo (Botswana) – 9.91 saat.
2. Bouwahjgie Nkrumie (Jamaica) – 10.02 saat.
3. Benjamin Richardson (Afrika Selatan) – 10.12 saat.
4. Puripol Boonson (Thailand) – 10.12 saat.
5. Azeem Fahmi (Malaysia) – 10.14 saat.
6. Hiroki Yanagita (Jepun) – 10.24 saat.
7. Laurenz Colbert (Amerika Syarikat) – 10.24 saat.
8. Reynaldo R. Espinosa (Cuba) – 10.32 saat.

Azeem Fahmi menambah ceria rakyat Malaysia selepas skuad badminton meraih pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022. Tahniah Anak Muda!!!

Azeem Fahmi Mara Ke Final 100m

Pelari pecut 100m lelaki negara, Muhd Azeem Fahmi telah melakar kejutan besar apabila telah memecahkan rekod kebangsaan di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia.

Muhd Azeem Fahmi telah mencatatkan masa 10.09 saat dan rekod itu telah dicatatkan di peringkat saringan untuk mendapat tempat ke separuh akhir.

Seluruh rakyat Malaysia menantikan aksi Azeem Fahmi di dinihari selepas meraikan kejayaan pasukan badminton campuran negara meraih pingat emas ketiga di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Untuk separuh akhir terdapat 3 heat di mana 8 pelumba akan berentap di setiap heat. Juara dan naib juara setiap akan layak ke final bersama dua lagi pencatat masa terbaik.

Di separuh akhir Muhd Azeem Fahmi berada dalam heat yang ketiga dan memulakan perlumbaan di lorong ketiga.

Perlumbaan dimulakan semula selepas pelari dari Afrika Selatan, Mukhetwa Tshifura melakukan false start, laju je menonong pergi sebelum tembakan permulaan dilakukan.

Situasi ini nyata mengganggu fokus pelumba. Mukhetwa Tshifura bernasib baik kerana tidak dibatalkan penyertaaan dan dibenarkan meneruskan perlumbaan.

Peserta Jamaica, Bouwahjgie Nkrumie muncul juara semi final heat 3 dengan catatan masa 10.11 saat dan Azeem Fahmi menamatkan saingan ditempat kedua dengan catatan 10.19 saat.

Muhd Azeem Fahmi seperti menyimpan tenaga untuk pusingan akhir dan perlumbaan semula disebabkan oleh False Start mungkin sedikit sebanyak mengganggu rentak.

Apa pun Azeem Fahmi sudah mara ke final yang merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan negara. Berikut 8 pelumba yang layak ke final.

1. Puripol Boonson (Thailand) – 10.09s
2. Letsile Tebogo (Botswana) – 10.14s
3. Hiroki Yanagita (Jepun) – 10.15s
4. Benjamin Richardson (Afrika Selatan) – 10.17s
5. Laurenz Colbert (Amerika Syarikat) – 10.29s
6. Reynaldo R. Espinosa (Cuba) – 10.29s
7. Bouwahjgie Nkrumie (Jamaica) – 10.11s
8. Azeem Fahmi (Malaysia) – 10.19s

Azeem Fahmi Pecah Rekod Kebangsaan

Pelari pecut muda negara, Mohd Azeem Fahmi seperti tidak percaya bahawa dia telah berjaya meleburkan rekod kebangsaan dalam acara pecut 100m dan melakarkan rekod baharu di bumi Colombia.

Kejayaan ini telah berjaya menebus kehampaan Azeem Fahmi di Sukan Sea Hanoi dalam acara 100m apabila telah dibatalkan oleh pengadil pertandingan sehingga menyebabkan impian Malaysia meraih emas hatrik acara berkenaan tidak tercapai.

Melalui laman Twitternya Azeem Fahmi meluahkan rasa tidak percaya dan terharu dengan pencapaiannya itu dengan ciapan yang berbunyi:

“Maksud saya…adakah benar saya baru sahaja memecahkan rekod kebangsaan?” Disusuli emoji mengalirkan air mata.

Pelari pecut muda negara, Mohd Azeem Fahmi, telah mencatat rekod baru acara pecut 100m apabila dia mencatatkan masa sepantas 10.09 saat, sekaligus melayakkanya untuk beraksi dalam peringkat separuh akhir acara tersebut dalam Kejohanan Olahraga Bawah-20 Dunia di Cali, Colombia.

Azeem memecahkan rekod yang dicipta oleh Khairul Hafiz Jantan , 10.18 saat, yang direkod dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Kuching, Sarawak.

Jika dilihat kepada larian Azeem, ternyata dia belum mengeluarkan kesemua keupayaannya lagi dan tidak mustahil untuk mengatakan bahawa dia bakal menjadi rakyat Malaysia yang pertama berjaya mencatatkan masa di bawah 10 saat!

Kejayaan ini adalah hasil usaha tanpa kenal putus asa Azeem yang pernah disingkirkan dalam acara 100m di Sukan SEA Hanoi.

“Saya gembira dapat catatkan masa kedua terpantas dalam peringkat saringan,” ujar Azeem kepadaTimesport.

“Saya berada di landasan yang tepat untuk mencatatkan masa di bawah 10 saat,” tambahnya lagi.

Atlet berusia 18 tahun itu sebelum ini memperbaharui rekod peribadi dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022 dengan catatan 10.28 saat pada Jun lalu. Catatan tersebut memecah rekod peribadinya 10.37 saat sebelum ini.

Dalam perlumbaan saringan kelapan tersebut, Azeem bermula dengan begitu baik dari blok permulaan dan mula mendahului pelari lain selepas 40 meter. Dengan bersahaja dia mengekalkan ketenangan dan dilihat dengan begitu mudah tanpa perlu bersungguh-sungguh untuk memenangi saringan.

Sebagai tanda syukur, Azeem sujud syukur sebaik selepas perlumbaan.

Untuk rekod, Azeem bukan sahaja cemerlang di lapangan olahraga, malah dia juga turut cemerlang dalam bidang pelajaran.

Pada bulan Jun lalu, Azeem telah mendapat keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan dia boleh menjadi contoh kepada anak muda lain bahawa pelajaran dan karier boleh diseimbangkan.

Pelari dari Bostwana, Letsile Tebogo yang mempunyai rekod peribadi terbaik 9.94 saat, muncul pelari terpantas dalam kesemua lapan saringan apabila dia mencatatkan masa 10.00 saat.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi pada bulan Mei lalu, Puripol Boonson dari Thailand, muncul pelari ketiga terpantas dengan catatan masa 10.20 saat di saringan keenam.

Pusingan separuh akhir akan dilangsungkan pada hari ini, 2 Ogos 2022.

Mungkin ramai anak muda terutamanya, memasang impian untuk berlari selaju Haiqal Hanafi. Berikut adalah antara latihan yang boleh diamalkan.

BACA:  Azeem Pecah Rekod Kebangsaan Dalam Acara 200m Pula