Azeem Fahmi Pecah Rekod 24 Tahun Watson Nyambek Dan Raih Pingat Perak Di Texas

Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi telah memecahkan rekod milik Watson Nyambek yang berusia 24 tahun dan lebih manis apabila meraih pingat Perak dalam acara akhir yang berlangsung di Texas, Amerika Syarikat.

Rekod kebangsaan acara 60 meter dalam dewan telah dicipta oleh Watson Nyambek di kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan IAAF di Jepun pada tahun 1999 dengan catatan 6.66 saat.

Kini rekod itu dileburkan oleh Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang baru berusia 19 tahun itu dengan catatan baru 6.63 saat yang dilakukannya dalam pusingan pertama Kejohanan Olahraga Terbuka Universiti Texas Tech di Pusat Kecemerlangan Prestasi Texas Tech.

Muhammad Azeem Mohd Fahmi mencatatkan 6.72 saat di pusingan kelayakan acara 60 meter dalam dewan itu dan terus memperbaiki catatannya di pusingan pertama dengan memecahkan rekod kebangsaan dengan berada di tempat ketiga.

Dengan catatan masanya itu membolehkan Muhammad Azeem Mohd Fahmi menempatkan dirinya dalam kelompok 8 peserta terbaik untuk melayakkannya mara ke final.

Dalam acara akhir Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang berada di lorong ketiga mencatatkan masa 6.65 saat walaupun tidak dapat menyamai rekod diciptanya sebelum ini namun cukup untuk dia meraih pingat Perak.

Pingat emas di menangi oleh Micah Williams dari Universiti Oregon dengan kepantasan yang tidak dapat dicabar 6.49 saat dan tempat ketiga diraih Rodney Heat Jr dari Universiti Louisiana dengan masa 6.67 saat.

Muhammad Azeem Mohd Fahmi hadir ke Kejohanan Olahraga Terbuka Universiti Texas Tech di Pusat Kecemerlangan Prestasi Texas Tech dengan mewakili Universiti Auburn yang menjadi destinasi melanjutkan pelajaran dan mengembangkan kerjaya olahraganya.

Menurut Azeem Fahmi di laman Twitternya ini adalah kali pertama dia berlari dalam trek dalam dewan sambil memuat naik catatan masanya.

“Untuk pengetahuan anda ini adalah kali pertama saya berlari dalam trek dalaman, bersyukur untuk peluang ini !!”

“Secara keseluruhan pembuka musim yang sangat baik tetapi saya lapar untuk lebih banyak lagi. Kami kembali ke makmal! 😤”

Pada Ogos lalu pelari pecut muda negara, Mohd Azeem Fahmi, telah mencatat rekod baru acara pecut 100m apabila dia mencatatkan masa sepantas 10.09 saat, sekaligus melayakkanya untuk beraksi dalam peringkat separuh akhir acara tersebut dalam Kejohanan Olahraga Bawah-20 Dunia di Cali, Colombia.

Muhd Azeem Fahmi kini bergelar manusia bawah 20 tahun kelima terpantas di dunia apabila menamatkan perlumbaan akhir acara 100m lelaki Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di tempat kelima.

Untuk rekod, Azeem bukan sahaja cemerlang di lapangan olahraga, malah dia juga turut cemerlang dalam bidang pelajaran.

Pada bulan Jun lalu, Azeem telah mendapat keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan dia boleh menjadi contoh kepada anak muda lain bahawa pelajaran dan karier boleh diseimbangkan.

Dan di bawah merupakan video larian Watson Nyambek di kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan IAAF di Jepun pada tahun 1999 mencipta rekod kebangsaan dengan catatan 6.66 saat sebelum dipecahkan Azeem Fahmi 24 tahun kemudian.

BACA:  Azeem Fahmi Catat 10.09s 100m - Rekod Baru Kebangsaan!