Azeem Pecah Rekod Kebangsaan Dalam Acara 200m Pula

Jaguh pecut muda negara, Azeem Fahmi, pada hari ini sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter dalam Kejohanan Olahraga Dunia Bawah-20 Tahun di Cali, Colombia.

Pelari berusia 18 tahun itu telah mencatatkan 20.83 saat dalam perlumbaan peringkat saringan sekaligus memenangi perlumbaan mengatasi pelari Australia Aidan Murphy di tempat kedua dengan catatan masa 20.85s dan diikuti oleh pelari Jamaica, Bryan Levell yang merekodkan 20.85s.

Dengan ini, Azeem dengan sah telah memecahkan rekod 200m bawah-20 tahun negara, juga mengatasi catatan peribadi terbaiknya 20.89s saat sebelum ini.

Russel Alexander Nasir Taib masih lagi memegang rekod 200m kategori terbuka kebangsaan dengan catatan masa 20.77s, dalam perlumbaan yang diadakan di Queensland Track Classic di Brisbane, tiga tahun lalu.

Kejayaan memenangi saringan tersebut membolehkan Azeem Fahmi layak ke peringkat separuh akhir yang dilangsungkan empat jam kemudian.

Dalam pusingan separuh akhir, hujan yang turun telah mengganggu fokus larian pelari muda negara ini dan dia sekadar mampu mencatatkan masa 20.97s, dan berada di kedudukan keempat perlumbaan, sekaligus gagal melayakkannya untuk beraksi di pentas akhir.

Pelari Bostwana yang sebelum ini mencatatkan rekod baru kejohanan dalam acara 100m, telah memecahkan rekod kejohanan dalam acara 200m pula apabila dia mencatatkan masa 19.98s pada peringkat saringan.

Dalam peringkat separuh akhir pula, Tebogo memenangi perlumbaan dengan catatan masa 20.23s, jauh meninggalkan pelari di tempat kedua, Anthony Smith dari Turkey yang merekodkan 20.83s.

Senarai pelari yang berjaya ke pusingan akhir.

Walaupun begitu, penyertaan Azeem Fahmi dalam kejohanan pada tahun ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan buat dirinya.

Sebelum ini, Azeem Fahmi telah mencipta rekod baru 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.09s, mengatasi rekod yang dicipta oleh Khairul Hafiz Jantan, 10.18s.

Melalui laman Twitternya Azeem Fahmi meluahkan rasa tidak percaya dan terharu dengan pencapaiannya itu dengan ciapan yang berbunyi:

“Maksud saya…adakah benar saya baru sahaja memecahkan rekod kebangsaan?” Disusuli emoji mengalirkan air mata.

Kejayaan ini adalah hasil usaha tanpa kenal putus asa Azeem yang pernah disingkirkan dalam acara 100m di Sukan SEA Hanoi.

“Saya gembira dapat catatkan masa kedua terpantas dalam peringkat saringan,” ujar Azeem kepadaTimesport.

“Saya berada di landasan yang tepat untuk mencatatkan masa di bawah 10 saat,” tambahnya lagi.

Atlet berusia 18 tahun itu sebelum ini memperbaharui rekod peribadi dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022 dengan catatan 10.28 saat pada Jun lalu. Catatan tersebut memecah rekod peribadinya 10.37 saat sebelum ini.

Dalam perlumbaan saringan kelapan tersebut, Azeem bermula dengan begitu baik dari blok permulaan dan mula mendahului pelari lain selepas 40 meter. Dengan bersahaja dia mengekalkan ketenangan dan dilihat dengan begitu mudah tanpa perlu bersungguh-sungguh untuk memenangi saringan.

Sebagai tanda syukur, Azeem sujud syukur sebaik selepas perlumbaan.

Untuk rekod, Azeem bukan sahaja cemerlang di lapangan olahraga, malah dia juga turut cemerlang dalam bidang pelajaran.

Pada bulan Jun lalu, Azeem telah mendapat keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan dia boleh menjadi contoh kepada anak muda lain bahawa pelajaran dan karier boleh diseimbangkan.

Pelari dari Bostwana, Letsile Tebogo yang mempunyai rekod peribadi terbaik 9.94 saat, muncul pelari terpantas dalam kesemua lapan saringan apabila dia mencatatkan masa 10.00 saat.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi pada bulan Mei lalu, Puripol Boonson dari Thailand, muncul pelari ketiga terpantas dengan catatan masa 10.20 saat di saringan keenam.

Pusingan separuh akhir akan dilangsungkan pada hari ini, 2 Ogos 2022.

BACA:  Azeem Fahmi Catat 10.09s 100m - Rekod Baru Kebangsaan!