Bekas ketua jurulatih kebangsaan dan Selangor FC, B. Sathianathan dilaporkan meninggal dunia pada hari ini.
Pernah mengalami masalah kesihatan pada tahun lalu, jurulatih berusia 65 tahun itu kali terakhir membimbing Sarawak United, sebelum dinasihatkan untuk berehat.
Bagaimanapun pada musim ini, Sathianathan kembali mewarnai Liga Malaysia sebagai salah seorang penganalisis jemputan bersama Astro Arena.
Difahamkan bekas jurulatih Selangor FC itu meninggal dunia akibat penyakit kanser yang dialami sejak setahun yang lalu.
Berita mengejutkan pemergian Sathianathan mulai dikongsikan di media sosial oleh EXCO FAM, Chris Raj sebentar tadi.
“Sangat mencintai bola sepak… dan sanggup memberikan darah, kudrat dan air mata.
“Sangat tegas dalam mempertahankan prinsip dan nilai yang dipercayainya – itulah B. Sathianathan!.
“Sathianatan adalah seorang yang suka bercakap terus terang dan dia akan diingati kerana keberaniannya dan kebolehan melakukan kritikan secara konstruktif.
“Dan begitu juga dengan trademark – “no holds barred” ketika bercakap tanpa takut dan berat sebelah demi memajukan bola sepak.
“Sathianathan sentiasa menjadi dirinya sendiri … menghadapi segala cabaran dengan tenang. Apatah lagi dengan kerjaya sebagai pemain dan kejurulatihan yang penuh cabaran.
“Sebagai jurulatih, kejayaan ketara beliau adalah di Kejohanan Pestabola Merdeka – membimbing Malaysia muncul juara (2007). Beliau turut membimbing Kelantan menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 2010.
“Dinobatkan sebagai ‘Jurulatih Terbaik’ 3 kali – (2010, 2012, 2017). Ya, dia melakukan segala-galanya demi bola sepak!
“Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dengan badan bola sepak kebangsaan.
“Berkongsi kepakarannya dalam apa jua cara yang mungkin untuk membantu meningkatkan taraf bola sepak Malaysia – sama ada dalam bentuk nasihat, kejurulatihan atau teknikal.
Anda telah berkhidmat dengan baik dan membanggakan bola sepak Malaysia
Anda telah bertarung dengan baik. Anna, berehat dengan tenang,” tulis Chris Raj melalui akaun Instagram nya.
Lahir pada 9 Mei 1958, anak jati Perak ini pernah mewakili Harimau Malaya dari 1979 hingga 1983. Dalam tempoh itu, Sathianathan membantu Malaysia meraih pingat gangsa Sukan SEA 1983.
Pernah menyarung jersi Negeri Sembilan dan Melaka ketika bergelar pemain, Sathiananthan kemudiannya pernah melatih beberapa pasukan seperti ATM dan Felda United selain Kelantan, Selangor dan Sarawak United.
Memiliki 15 caps bersama skuad kebangsaan Harimau Malaya, Sathiananthan turut pernah bergelar Ketua Jurulatih skuad B-23 dan senior kebangsaan.