Badan Sado Tambah Keyakinan Shahrel Fikri

Sebagai pemain bola sepak, kecergasan fizikal sangatlah perlu dijaga dan tubuh badan yang sado pastinya sedikit sebanyak membantu prestasi seseorang pemain di atas padang.

Begitulah yang dilakukan oleh penyerang Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang menjadi tumpuan selepas dia tampil dengan perubahan badan yang ketara ketika menjalani sesi latihan bersama pasukan di FAS Training Center, Shah Alam baru-baru ini.

Shahrel atau lebih dikenali sebagai Eky di kalangan para penyokong, dilihat lebih sado daripada biasa berbanding sebelum pemain ini mendapat kecederaan.

Dalam satu liputan berita di Sinar Harian, Eky mengatakan bahawa perubahan itu berlaku atas inisiatifnya sendiri untuk memastikan dia kekal cergas selepas mengalami kecederaan retak tulang fibula (tulang di bahagian betis) pada bulan Mei lalu dan terpaksa berehat panjang daripada beraksi.

Walaubagaimanapun, Eky mengatakan bahawa bukan niatnya untuk tampil sado sedemikian, namun demu mengisi masa lapang ketika cedera, dia menghabiskan masa membikin badan sehingga ketak sebegitu rupa.

“Sebenarnya bukan niat nak sado sangat, tapi bila dah cedera kaki takkan saya nak rehat dan tak buat apa-apa,” ujar pemain ini.

“Badan perlu bekerja dan saya perlu pastikan saya tetap cergas.

“Lagipun, apabila dab berotot saya lebih yakin dan ia juga sebagai satu persiapan untuk kembali bermain berdepan pertahanan pasukan terutama pemain import yang lebih besar dan sasa.

“Terima kasih juga kepada pasukan yang menyediakan fasiliti yang cukup, jurulatih yang membantu saya untuk terus cergas dan keadaan fizikal yang lebih baik,” tambahnya lagi.

Ini adalah satu contoh yang cukup baik dariada Eky dan menunjukkan bahawa sikap professionalnya wajar diikuti pemain lain.

Ada sesetengah pemain tu, ketika mengalami kecederaan, mereka sekadar bermurah durja dan lebih minat bermain Tik Tok berbanding melakukan aktiviti lain yang mampu meningkatkan kecergasan fizikal.

Itu belum campur pemakanan yang entah apa-apa lagi.

Selain membina kekuatan badan bahagian atas, Eky turut berkongsi bagaimana disiplin yang diamalkannya sehingga mendapat badan tegap begini.

“Faktor utama memang pemakanan kemudian rehat yang cukup dan tidur pada masanya,” kata Eky lagi.

“Saya juga mengamalkan untuk minum susu pada waktu malam.

“Sebelum mengalami kecederaan, berat saya dalam lingkungan 71 kilogram tetapi sekarang dah cecah 76 kilogram.

“Bila semak memang berat naik sebab otot,” ujarnya.

Dengan ketinggian 180 sentimeter, pasti kelibat Eky di atas padang bakal menjadi igauan dan mimpi ngeri buat pertahanan pasukan lawan. Ditambah pula dengan pasukan Selangor yang beraksi dengan berpaksikan DNA Jerman, tidak mustahil Eky mampu menarik minat kelab-kelab di luar negara nanti selepas dia pernah beraksi di Liga Thailand.

Siapa tahu, tiba-tiba Cerezo Osaka datang ketuk pintu, ye dak?


Ketika ditanya tentang sasarannya bersama Selangor, Eky berharap dia dapat kembali ke skuad utama dan menjadikan penyerang utama sebagai hak milik rasminya pada musim hadapan.

“Sekarang saya baru mula berlatih dengan bola dan dah masuk hari ketiga. Setiap pemain yang cedera sudah tentu teringin mahu kembali beraksi dengan cepat.

“Tapi bila fikir balik, macam belum bersedia lagi dan banyak lagi perlu buat.

“Bahagian cedera tu dah tak rasa sakit, cuma nak dapatkan keyakinan balik dengan bola ambil masa sikit,” jelasnya lagi.

Kalau ikutkan, Eky masih mempunyai harapan untuk beraksi bersama pasukan yang digelar The Red Giant tersebut pada musim ini dengan perlawanan liga masih berbaki empat perlawanan buat pasukannya.

Lagi pula, kempen Piala Malaysia dijangka akan kembali pada tahun ini selepas tidak dimainkan pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Semoga Eky terus power dan menggegar bola sepak Malaysia.

Sumber : Sinar Harian

BACA:  Lena Pemain Selangor Dikejutkan Dentuman Bunga Api Menjelang Perlawanan Menentang JDT