Bagaimana Burger King Boleh Berjaya Walaupun Hanya Menaja Kelab Kecil Stevenage FC?

Bagaimana syarikat makanan segera gergasi, Burger King Boleh berjaya walaupun hanya menaja kelab kecil lagi kerdil seperti Stevenage FC yang pastinya rama tidak pernah dengar namanya apabila disebut atau ditulis.

Pada setiap minggu para peminat bola sepak akan melihat beberapa jenama besar yang terpampang di setiap sudut stadium atau disekitar perlawanan yang berlangsung. Tidak kira secara terus atau di kaca TV.

Liverpool mempunyai perjanjian berjuta-juta dolar dengan bank antarabangsa Standard Chartered. Manchester City pula mempunyai hubungan dengan syarikat penerbangan terkenal Etihad Airways.

Pada musim lepas, Chelsea telah mengumumkan kerjasama mereka dengan syarikat telekomunikasi Three dan semua orang tahu bahawa Arsenal berganding bahu dengan Emirates.

Ketika gergasi makanan segera Burger King bekerjasama dengan pasukan League Two (divisyen 3), Stevenage FC semua orang tertanya-tanya apa yang boleh diraih oleh penaja itu.

Pada akhirnya, seperti yang kita tahu semua itu merupakan sebahagian dari strategi pemasaran pintar bagi mengukuhkan jenama dan membantu melonjak kedua belah pihak ke tahap yang baru.

Bagaimana?

Kembali pada bulan Jun 2019, rantaian makanan segera Amerika, Burger King telah memutuskan untuk bekerjasama dengan sebuah kelab bola sepak Inggeris iaitu Stevenage.

Kerjasama itu menyaksikan Burger akan menyokong kewangan kelab dan kelab akan menjadi ‘duta’ memperkenalkan jenama mereka.

Persoalan timbul bagaimanakah kerjasama dengan kelab bawahan boleh memberi manfaat besar kepada penaja kerana mereka bukanlah pasukan yang menarik banyak ‘mata’.

Malahan majoriti perlawanan Stevenage tidak disiarkan di TV. Fan based mereka juga tidak besar. Seperti apa yang kita fikirkan, Burger King telah membuat sesuatu yang mungkin kita terlepas pandang.

Stevenage merupakan pasukan sederhana yang hanya berlatih 3 atau 4 kali seminggu dan hanya bermain pada setiap Sabtu pada jam 3 petang.

Permainan video FIFA

Melalui permainan video yang popular masa kini iaitu FIFA, sebenarnya Stevenage boleh bersaing dengan pasukan handalan dunia seperti Real Madrid atau Barcelona.

Pemain boleh bermain bersama mana-mana pasukan yang mereka suka. Burger King tidak mengambil masa lama untuk melihat potensi ini.

Oleh itu dengan menaja kelab yang tidak diketahui oleh ramai peminat, Burger King berusaha agar logo mereka juga terpapar dalam FIFA.

FIFA merupakan sebuah permainan video yang dimainkan oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia. Strategi pemasaran utama mereka tidak hanya berlaku disitu.

Burger King kemudiannya melancarkan cabaran di media sosial di mana peminat didesak untuk bermain dengan pasukannya di divisyen 4.

Para pemain kemudiannya perlu menghantar jaringan terbaik, kemahiran atau detik terbaik mereka dari permainan tersebut untuk ditukarkan ke dalam bentuk hadiah.

Dengan membina hashtaq #TheStevenageChallenge, skim ini membolehkan pemain akan menerima hadiah kerana menjaringkan gol bersama Stevenage. Pemain perlu kongsikan hashtag tadi ke laman sosial.

Jadi tidak menghairankan, ia merupakan teknik untuk menyebarkan jenamanya di seluruh pelusuk dunia melalui pasukan kecil seperti Stevenage. Logo besar mereka di jersi kelab itu akan ditonton oleh ramai orang.

Ketika penajaan itu bermula pada akhir tahun 2019, Ketua Pegawai Eksekutif Stevenage FC Alex Tunbridge berkata:

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Burger King melalui #TheStevenageChallenge. Ia merupakan konsep inovatif bertujuan menjadikan kelab sebagai pasukan besar dalam permainaan atas talian (online) melalui pengaruh besar dalam permainan video dan media sosial.”

“Kami berharap dapat melihat berjuta-juta orang berinteraksi dengan kelab dan menunjukkan sokongan mereka secara peribadi atau dalam talian. Anda tidak perlu menjadi kelab besar untuk berfikir besar.”

Teknik pemasaran biasa memerlukan tempoh masa yang lama untuk peminat bola sepak jatuh cinta dengan kelab kecil seperti Stevenage.

Di FIFA, dari Ultimate Team hingga Career Mode, difahamkan lebih 25,000 gol telah dikongsi dalam talian oleh pengguna dan dalam masa yang sama jualan jersi Stevenage berlaku.

Hasilnya, Stevenage akhirnya membina pengikutnya di seluruh dunia melalui permainan video dan sudah pasti logo Burger King dilihat oleh berjuta-juta orang pada setiap minggu.

Bahagian pemasaran yang pintar ini menyaksikan Burger King telah meraih beberapa anugerah berprestij sementara itu pada hari ini Stevenage merupakan salah satu pasukan paling popular dalam permainan FIFA yang menjadi sebutan.

Kelab kecil atau besar ternyata bukan ukuran jika diterapkan dengan idea kreatif dan pemasaran pintar.

BACA:  Pemasaran Pintar: Bagaimana Burger King Boleh Berjaya Walaupun Hanya Menaja Kelab Kecil Stevenage FC