Bagaimana Liverpool Tewaskan Barcelona Untuk Dapatkan Naby Keita

Direktor RB Leipzig, Oliver Mintzlaff telah mendedahkan kepada umum bagaimana Liverpool berjaya menewaskan Barcelona dalam persaingan untuk mendapatkan tandatangan pemain antarabangsa Guinea, Naby Keita pada tirai perpindahan pemain musim panas lalu.

Liverpool telah menjadikan Keita sebagai sasaran utama mereka dan berjaya meyakinkan pemain ini untuk menolak tawaran Barcelona.

The Reds telah berjaya mementerai perjanjian dengan RB Leipzig untuk membenarkan Keita menyertai Liverpool pada tahun 2018, lebih kurang 7 bulan dari sekarang.

Dan orang yang bertanggungjawab menyelia perpindahan pemain bagi pasukan dari Jerman ini telah mendedahkan punca utama Liverpool berjaya mendapatkan Keita adalah disebabkan mereka lebih serius untuk melakukan perbincangan berbanding Barcelona.

Walaupun Jurgen Klopp gagal mendapatkan khidmat Keita lebih awal dari yang dikehendaki, satu perjanjian dengan nilai rekod kelab telah ditandantangani untuk memastikan pemain ini berhijrah ke Anfield tahun hadapan.

Nilai £48juta adalah harga yang dilaporkan bakal dibayar kepada Leipzig untuk melepaskan Keita, yang bakal menjadikan beliau pemain paling mahal dalam sejarah Liverpool.

Ketika berkata kepada Sport Bild, Direktor Leipzig, Mintzlaff berkata Liverpool amat serius dengan Keita dan sanggup membayar harga tinggi supaya Keita tidak terlepas ke tangan kelab luar yang lain.

“Barcelona ada bertanya mengenai Naby Keita. Akan tetapi mereka tidak menunjukkan minat yang serius seperti yang ditunjukkan Liverpool terhadap Keita.”

Mintzlaff turut menambah perjanjian untuk membiarkan Keita beraksi selama setahun lagi bersama Leipzig bakal memberikan faedah kepada dua-dua belah kelab, dimana khidmat Keita amatlah diperlukan Leipzig untuk mengharungi kempen Liga Juara-Juara pertama mereka.

“Kami mahu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam tiga pertandingan yang disertai RB Leipzig musim ini. Akan tetapi kami berdepan kesukaran dalam kes Naby Keita.”

“Mujurlah kami berjaya menemui satu penyelesaian yang mampu memuaskan hati semua pihak. Dan kami juga berjaya mendapatkan harga yang tinggi dari Keita.”

Keita dalam satu temuramah telah berkata beliau menumpukan sepenuh perhatian untuk membantu kelabnya sekarang meraih trofi dan turut mengakui tidak sabar untuk melebarkan sayap kariernya ke England musim hadapan.

“Saya selalu menonton aksi Xabi Alonso dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara ketika saya berada di Guinea. Musim lepas saya bertuah kerana dapat beraksi menentang beliau sebelum beliau menggantung kasutnya.”

“Apabila saya memikirkan perkara ini, ia mengingatkan saya betapa bertuahnya saya, tetapi saya telah berusaha dengan keras untuk mencapai tahap hari ini. Ini hanyalah permulaan sahaja, kerana saya tidak akan sekali-kali selesa dan berpuas hati.”

Penyokong Liverpool pastinya tidak sabar untuk melihat kelibat Keita dalam baju Liverpool musim hadapan untuk menguatkan barisan tengah mereka, yang kebelakangan ini dilihat agak rapuh.

Pada perlawanan terakhir mereka, Liverpool mencatatkan keputusan seri selepas melepaskan kelebihan 3 gol pada separuh masa pertama untuk membenarkan lawan mereka, Sevilla mengikat kedudukan pada separuh masa kedua dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Baca Juga

Baca Juga