Bagaimana Otak Berfungsi Ketika Bermain Bola Sepak

Otak merupakan organ bagi pusat kawalan utama bagi badan di mana otak menerima maklumat melalui deria dari dalam dan luar tubuh dengan menganalisa maklumat ini dan kemudiannya menghantar perutusan kepada badan yang mengawal fungsi dan tindakannya.

Seperti diketahui umum, otak merupakan satu organ yang mengawal keseluruhan anggota badan manusia, haiwan, bunian dan juga jin. Otak dapat mengingati pengalaman lepas, dan merupakan punca fikiran, mood, dan emosi.

Secara ringkasnya, otak manusia terbahagi kepada empat bahagian utama – serebrum, serebellum, sistem limbik dan tunjang otak (brain stem).

Gambar : headawaycornwall.org.uk

Antara kesemua bahagian ini, bahagian yang paling besar ialah serebrum, dan serebrum terdiri daripada empat lobus utama – frontal, parietal, occipital dan temporal. Setiap lobus ini mempunyai fungsi yang tersendiri dan setiap lobus ini juga mempunyai pecahan bahagian yang khusus.

  • Lobus Frontal – berkaitan dengan logik, sebahagian daripada percakapan, pergerakan, emosi dan penyelesaian masalah.
  • Lobus Parietal – berkaitan dengan pergerakan, keseimbangan, pengenalan dan persepsi ke atas ransangan.
  • Lobus Occipital – berkaitan dengan pemprosesan visual.
  • Lobus Temporal – berkaitan dengan persepsi dan pengenalan ke atas ransangan pendengaran, memori dan percakapan.

Ketika bermain bola sepak, setiap bahagian lobus ini menerima ransangan yang berbeza ke atas setiap pemain dan menurut Tom Bates, seorang pakar psikologi berkenaan prestasi, secara ringkasnya otak berfungsi seperti berikut ketika bermain.

Lobus Occipital

Memandangkan bahagian lobus ini berfungsi dengan pemprosesan visual, maka ia sangat relevan kepada bagaimana seseorang pemain itu memberi respon terhadap ruang, dengan kata kain bahagian otak ini mempengaruhi kepantasan berfikir, membuat keputusan dan tindak balas terhadap sesuatu.

Secara amnya, segala elemen kognitif (tindak balas terhadap perkara di sekeliling) psiko-motor yang diperlukan untuk bermain dengan baik seperti memerhatikan pergerakan pihak lawan dan tolak menolak ketika merebut bola.

Sistem Limbik

Sistem Limbik mengatur tindak balas emosi. Contohnya pemain diterjah keras oleh lawan, atau mendapat kad merah, maka sistem limbik ini akan mengambil alih sebagai pemacu utama sistem otak, mengatasi lobus frontal. Situasi ini dikenali sebagai ‘amygdala hijack’ dan ketika ini pemikiran rasional telah dibuang ke tengah laut.

Sebab itulah seringkali kita lihat ada pemain yang panas baran dan bergaduh di padang dan berlarutan sehingga tamat permainan – kerana sistem limbik telah menjadi raja di bahagian otak mereka.

Lobus Frontal

Berfungsi sebagai komputer badan untuk mengaplikasikan taktik, cara tendangan – rembat atau perlahan dan larian, kerana lobus frontal mengandungi pra frontal korteks yang merancang pergerakan, dan pra motor korteks – membantu untuk menyusun corak dan susunan pergerakan.

Aliran dorsal dan ventral (Dorsal and ventral streams)

Ketika belajar bermain, kita menggunakan satu laluan mental (mental pathway) yang dipanggil aliran dorsal dan setelah aliran ini telah dikuasai, ia akan menjadi sifat yang kedua – aliran ventral di mana skill dan teknik menjadi automatik  – dilakukan tanpa berfikir bagaimana untuk melakukannya.

Secara ringkasnya, aliran dorsal ialah bagaimana otak kita memproses maklumat yang berkaitan ‘di mana’ dan ‘bagaimana’, manakala aliran ventral ialah pemprosesan maklumat mengenai  ‘apa’.

Penghubungan antara dua aliran ini akan membentuk satu tindak balas yang automatik seperti yang dinyatakan di atas.

Serebelum

Serebelum juga dikenali sebagai ‘otak kecil’ di mana bahagian ini tidak memulakan sesuatu pergerakan, tetapi menambah baik maklumat yang diterima daripada kawalan motor, sekligus memainkan peranan penting dalam menentukan postur, keseimbangan dan koordinasi badan.

Apabila kita mahu bergerak, maklumat akan bergerak dari serebelum, di bahagian belakang otak, menuju ke sistem saraf tunjang.

Lobus temporal

Bahagian ini menjadi aktif ketika kita sedang menerima arahan taktikal atau ketika dipanggil rakan sepasukan yang meminta bola. Ada waktunya ketika kita sedang memegang bola, kita tidak perasan atau dengar panggilan rakan sepasukan yang meminta bola. Ini kerana mungkin kita ada terhantuk di bahagian ini dan memberikan kesan yang demikian.

Baca Juga

Baca Juga