Wilayah Devon di England menjadi tumpuan apabila 2 daripada 3 pasukan terbaik di negara itu pergi kesana untuk perlawanan pusingan keempat Piala FA.
Bagi sesetengah orang, sukan ragbi lebih sinonim dengan kawasan itu berbanding bola sepak. Exeter Chiefs pernah menjuarai Liga Perdana Ragbi pada tahun 2017 dan 2020. Namun, jika diselami lebih dalam anda akan menemui satu budaya bola sepak yang unik di Devon.
Jika Arne Slot dan Liverpool merasakan mereka akan menikmati hujung minggu yang tenang di tepi pantai, mereka mendapat kejutan yang tidak dijangka di Home Park.
Seperti burung camar yang melayang di tepi laut, Plymouth pantas merampas salah satu impian Liverpool untuk menjulang 4 trofi musim ini. Kali terakhir kelab Merseyside itu berkunjung ke Plymouth, Jurgen Klopp telah disambut dengan hadiah pai gergasi. Tetapi kali ini tuan rumah jauh lebih garang dan tidak lagi mesra.
Nottingham Forest juga berharap mereka mendapat layanan yang baik ketika bertandang ke Exeter City.
CABARAN KELAB DEVON DALAM BOLA SEPAK INGGERIS
Dua kelab Devon yang beraksi dalam English Football League (EFL) tidak pernah bermain di Liga Perdana. Mereka juga tidak pernah memenangi sebarang trofi utama. Plymouth kini berada di kedudukan tercorot di Championship, manakala Exeter di tempat ke-18 dalam League One. Sementara itu, Torquay United yang mempunyai sejarah bola sepak yang membanggakan, kini bermain dalam National League South (divisyen keenam bola sepak England) selepas mengalami kejatuhan.
Jika anda ingin memahami secara mendalam landskap bola sepak di Devon, perlawanan antara Pylmouth menentang Liverpool memberikan gambaran yang sangat jelas.
“You’ll Never Walk Alone” mungkin lagu ikonik Liverpool tetapi Plymouth juga mempunyai lagu kebanggaan mereka sendiri sebelum perlawanan bermula – “The Janner Song”. Ia satu istilah yang digunakan dengan penuh kasih sayang di kawasan itu. Melihat kepada semangat penyokong menyanyikan lagu tersebut, sebarang anggapan bahawa perlawanan itu hanyalah untuk pemanas badan sebelum pertembungan penting menentang Millwall telah terhapus sama sekali.
Para pemain Plymouth menunjukkan kesungguhan mereka di atas padang.
Nikola Katic kehilangan gigi selepas bertembung dengan kaptennya, Adam Randell. Gambar Katic dengan gigi yang hilang mengingatkan ramai kepada pemain pertahanan klasik yang pantang menyerah. Walaupun mengalami kecederaan, dia tetap beraksi cemerlang dengan memenangi setiap tandukan dan menyapu bersih setiap serangan lawan.
Katic bersama rakan sepasukan, Maksym Talovierov serta ketua jurulatih baharu, Miron Muslic adalah antara muka baharu di Plymouth pada jendela perpindahan musim sejuk ini. Mereka bukan sahaja cepat menyesuaikan diri malah telah meningkatkan tahap permainan pasukan. Kehilangan pemain utama, Morgan Whittaker pada Januari lepas menjadi satu tamparan hebat tetapi skuad Plymouth kini kelihatan lebih kukuh sebagai satu unit berbanding hanya bergantung kepada individu tertentu.
Liverpool pula tidak menurunkan beberapa bintang utama mereka untuk perlawanan ini. Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Ryan Gravenberch tidak bersama pasukan manakala Trent Alexander-Arnold mengalami kecederaan. Mungkin jika diberikan peluang kedua, Arne Slot tidak akan membuat terlalu banyak perubahan dalam barisan kesebelasan utamanya. Walaupun masih mampu membariskan 7 pemain bertaraf antarabangsa, Liverpool gagal menyesuaikan diri dalam suasana yang penuh semangat.
Dalam perlawanan yang mempunyai sedikit peluang gol, Liverpool dihukum oleh sepakan penalti Ryan Hardie.
Hardie mengakui bahawa dia berasa gementar pada malam sebelum perlawanan. Dia masih teringat kegagalan sepakan penaltinya ketika menentang Chelsea dalam pertandingan ini 3 tahun lalu, walaupun sejak itu dia telah berjaya menjaringkan kesemua 9 penalti yang diambilnya. Baginya, menjaringkan gol kali ini adalah satu kelegaan yang besar.
“Saya sangat berbangga dengan keputusan ini,” kata Hardie, pemain berusia 27 tahun itu selepas perlawanan.
“Hari ini akan terpahat dalam sejarah kelab, sejarah bandar ini, dan nama kami akan sentiasa dikaitkan dengan kejayaan ini.”
CABARAN KELAB-KELAB DEVON DALAM MENGHARUNGI BOLA SEPAK MODEN
Jadi, bagaimana kelab-kelab dari Devon yang berada jauh dari pusat bola sepak utama England menangani cabaran dalam bola sepak moden?
Bekas pemain Plymouth, Frank Nouble mengakui bahawa sebelum menyertai kelab itu, dia tidak tahu di mana Plymouth terletak di peta.
“Saya tak tahu pun di mana tempat itu ketika pertama kali ditawarkan untuk bermain di sana,” katanya. “Tapi apabila saya sampai, saya terus jatuh cinta dengan suasana di sana.”
KEJARAN PENGURUSAN DAN LOKASI YANG MENCABAR
Wayne Rooney juga menyentuh cabaran lokasi Plymouth ketika ditemu bual oleh Gary Neville dalam podcast Stick to Football.
6 minggu selepas meninggalkan tugasnya sebagai ketua jurulatih Plymouth, Rooney ditanya oleh bekas rakan sepasukannya di Manchester United mengenai keputusannya untuk menerima tawaran tersebut.
“Apa yang membuatkan anda fikir Plymouth adalah pilihan yang tepat?” soal Neville. “Sebab… saya fikir dari segi lokasi saja, tempat itu 6 atau 7 jam perjalanan dari tempat tinggal anda di bahagian barat laut England. Sudah tentu seseorang perlu menjadi pengurus di sana, tetapi dengan jarak sejauh itu, dan perlu berulang-alik untuk bertemu keluarga setiap minggu… apa yang membuatkan anda rasa ia adalah keputusan yang sesuai?”
Rooney sebelum ini pernah bermain dan melatih D.C. United di Amerika Syarikat, yang jauh lebih jauh dari rumahnya. Namun, persoalan Neville itu mencerminkan persepsi umum bahawa Plymouth dan wilayah Devon sering dianggap sebagai terpinggir dalam bola sepak England.
KELEBIHAN DAN KEKURANGAN LOKASI DEVON
Dari segi keluasan Devon merupakan daerah ke-4 terbesar di England tetapi populasinya tidak padat. Daerah ini hanya mempunyai satu lebuh raya utama yang digunakan oleh skuad Liverpool selepas mendarat di Lapangan Terbang Exeter, sebelum mereka menuju ke St Mellion Hotel di Cornwall melepasi Plymouth dan hanya beberapa batu dari sempadan Devon.
Jarak Devon yang sekitar 200 batu dari London dan kira-kira 80 batu dari Bristol, bandar besar paling dekat telah memberi cabaran kepada kelab-kelab bola sepak di sini, terutamanya dalam aspek mengambil pemain.
“Ia adalah satu kelebihan dan juga satu cabaran,” kata pemilik Plymouth Argyle, Simon Hallett.
Ketika Neil Warnock menguruskan Plymouth antara 1995 hingga 1997, dia akan membawa pemain-pemain yang ingin direkrut ke kawasan pemandangan indah di Plymouth Hoe sebelum membawa mereka ke Home Park, stadium kelab yang pada masa itu dalam keadaan uzur.
“Kami akan bawa pemain makan tengah hari di sana dan elakkan daripada menunjukkan keadaan stadium kepada mereka,” kata Warnock. “Isteri saya, Sharon akan bawa isteri dan anak-anak pemain (jika ada) ke taman permainan yang cantik di kawasan itu.”
“Kami sebenarnya menipu mereka untuk datang ke sini. Kami tak pernah tunjuk stadium kerana keadaannya teruk dan kami tak pernah sebut betapa jauhnya tempat ini dengan kawasan lain.”
Walau bagaimanapun, Plymouth kini telah berubah. Mereka sudah mempunyai stadium moden dan pangkalan penyokong yang setia yang sanggup mengembara ratusan batu untuk menyokong pasukannya di tempat lawan.
CABARAN DAN STRATEGI REKRUTMEN PEMAIN
Plymouth menandatangani 5 pemain pada jendela perpindahan Januari, menjadikan skuad mereka kini terdiri daripada 20 kewarganegaraan berbeza. Selain itu, mereka turut membawa masuk ketua jurulatih baharu, Miron Muslic yang tertarik bukan sahaja dengan kelab tetapi juga keindahan kawasan itu terutamanya kerana minatnya terhadap aktiviti mendaki.
Bagi Exeter City pula, jurulatih berpengalaman Kevin Nancekivell memahami kelab itu lebih baik daripada kebanyakan orang. Sebagai peminat setia sejak kecil, dia berada di dalam stadium ketika Exeter mara ke separuh akhir Piala FA pada tahun 1984. Ia merupakan pencapaian terbaik kelab itu dalam pertandingan tersebut. Nancekivell lahir dan membesar di Devon, bermain dan melatih beberapa kelab tempatan dan baru-baru ini dianugerahkan Freedom of Plymouth kerana jasanya kepada bola sepak di wilayah itu.
“Plymouth adalah sebuah bandar yang bangga dengan sejarahnya, penuh semangat, dan rajin berusaha,” katanya. “Kelab bola sepak ini benar-benar sebati dengan jiwa penduduknya—sekali anda terlibat, ia sukar untuk meninggalkan anda.”
PENGAMBILAN PEMAIN DI KAWASAN PEDALAMAN
Paul Tisdale, bekas pengurus Exeter dari 2006 hingga 2018 menyedari cabaran yang dihadapi dalam merekrut pemain ke kelab ini. Pada tahun pertamanya, dia membuat keputusan drastik dengan membubarkan sistem pencarian bakat kelab.
“Saya cepat sedar bahawa ia satu pembaziran tenaga,” katanya dalam podcast Business of Sport pada September lalu.
“Jika kita jumpa seorang pemain berbakat di Aldershot (sekitar 3 jam perjalanan dari Exeter), dia pasti tidak akan mahu datang ke sini untuk menerima gaji yang lebih rendah ketika dia boleh tinggal di London dan bermain di kelab yang lebih dekat.”
Sebaliknya, Tisdale memilih untuk menilai sama ada Exeter adalah pilihan pertama atau terakhir bagi pemain yang sedang mencari kelab. Jika Exeter adalah pilihan utama, kebarangkalian mereka menandatangani kontrak lebih tinggi. Beliau juga memberi tumpuan kepada pemain yang berasal dari barat daya England, mempunyai keluarga di kawasan itu atau yang pernah bercuti di Devon dan mengenali suasananya.
Pendekatan ini masih relevan sehingga hari ini.
“Saya yakin memang sedikit sukar untuk merekrut pemain ke sini berbanding kelab lain di seluruh negara,” kata pengarah teknikal Exeter, Marcus Flitcroft.
“Tetapi semuanya bergantung kepada individu itu sendiri. Jika pemain itu berusia 28 tahun, berasal dari utara England dan sudah berkeluarga, sukar untuk memujuknya berpindah ke sini. Situasi yang sama mungkin berlaku jika tawaran datang dari selatan England juga.”
“Tetapi jika anda mempunyai seorang pemain muda tanpa keluarga yang bergantung kepadanya dan fokusnya hanyalah bola sepak, dia mungkin tidak akan terlalu memikirkan lokasi. Ini adalah faktor utama bagi kami.”
MENARIK PEMAIN DENGAN PELUANG MENINGKATKAN KERJAYA
Demetri Mitchell, bekas pemain akademi Manchester United ketika itu bermain untuk Hibernian di Scotland apabila Gary Caldwell, pengurus Exeter mempelawanya berpindah ke Devon pada Januari 2023.
“Dalam fikiran saya, saya fikir Edinburgh hanya 3 jam perjalanan dari Manchester. Tapi Exeter… itu adalah perjalanan yang paling jauh boleh dibayangkan,” kata Mitchell.
“Tapi akhirnya, saya sedar bahawa ini adalah satu karier dan anda perlu pergi ke tempat yang boleh membantu perkembangan diri anda. Saya mempunyai tawaran dari kelab lain tetapi Caldwell berjaya meyakinkan saya tentang bagaimana saya sesuai dengan pasukannya dan gaya permainan mereka. Saya menikmati masa saya di sini.”
Ketika zaman Tisdale, bajet Exeter agak terhad tetapi dengan kedudukan kewangan yang lebih stabil sekarang mereka mampu menawarkan kontrak jangka panjang untuk menarik pemain.
Selain itu, dalam membangunkan pemain muda dalam tempoh 20 tahun terakhir Exeter mempunyai rekod cemerlang dalam membangunkan pemain muda dalam tempoh 20 tahun terakhir.
PENGHASILAN BAKAT MUDA DI DEVON
Ollie Watkins, pemain antarabangsa England yang kini bersama Aston Villa berasal dari Torquay dan memulakan kariernya di Exeter sebelum berpindah ke Brentford. Ethan Ampadu, kapten Leeds United juga membuat debut profesionalnya bersama Exeter pada usia 15 tahun.
Pemain lain yang meniti kejayaan selepas bermula di Exeter termasuk Matt Grimes (Coventry City), Ben Chrisene (Norwich City), Alfie Pond (Wolves), Jay Stansfield (Fulham, kini di Birmingham City), Josh Key (Swansea City), Archie Collins (Peterborough United), dan Joel Randall (Bolton Wanderers). Tyler Dibling pernah berada dalam akademi pra-remaja Exeter sebelum menyertai Southampton pada usia 7 tahun.
Pada musim ini, 7 pemain lulusan akademi Exeter membuat debut dalam pasukan utama. Pada musim sebelumnya menyaksikan 8 pemain naik ke skuad utama. Untuk perbandingan, purata pemain muda yang diberi peluang di EFL hanya sekitar 2.32 pemain setahun.
“Apabila pemain dari luar melihat data ini, mereka akan berkata, ‘Kelab ini adalah tempat yang bagus untuk membina kerjaya’,” kata Flitcroft.
KEJAYAAN AKADEMI PLYMOUTH
Bagi Plymouth, mereka juga mempunyai sejarah menghasilkan pemain berkualiti yang akhirnya beraksi di peringkat lebih tinggi. Antara pemain yang melalui sistem pembangunan Plymouth ialah Sean Morrison (bekas pemain Reading dan Cardiff City), Sam Gallagher (bekas pemain Southampton), Jack Stephens (kapten Southampton) dan Dan Gosling.
Michael Cooper, penjaga gol berbakat yang meniti karier di Home Park adalah antara pemain muda paling berharga di England sebelum berpindah ke Sheffield United pada musim panas lalu. Adam Randell, produk akademi Plymouth sudah kerap memakai lilitan kapten musim ini, sementara pemain remaja, Tegan Finn menarik perhatian Chelsea dan Nottingham Forest.
Pada minggu lalu, pasukan B-18 Plymouth menewaskan Everton dalam Piala FA Belia. Ia membuktikan bahawa mereka boleh bersaing dengan akademi kelab besar.
Dengan pelaburan sekitar £21 juta dalam akademi, Plymouth berusaha mengembangkan lagi sistem pembangunan bakat mereka, memanfaatkan kawasan tangkapan besar yang merangkumi Cornwall—sebuah wilayah tanpa kelab profesional.
“Di antara Land’s End dan Bristol, pesaing utama kami hanyalah Exeter,” kata Hallett. “Dan hakikat bahawa kami melabur begitu banyak dalam akademi menunjukkan kami yakin ini adalah kelebihan yang boleh kami manfaatkan.”
MASA DEPAN KELAB-KELAB DEVON
Walaupun Plymouth dan Exeter kini berada dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh, mereka tidak pernah jauh dengan kesusahan. Exeter pernah melalui tempoh sukar di awal 2000-an sehingga kelab itu diambil alih oleh kumpulan penyokong mereka pada tahun 2004.
Mereka adalah antara beberapa kelab EFL yang sentiasa mencatat keuntungan, sebahagian besarnya hasil daripada penjualan pemain muda kepada kelab-kelab besar. Klausa jualan semula banyak membantu aliran tunai kelab. Ketika Watkins berpindah dari Brentford ke Aston Villa pada 2020, Exeter memperoleh keuntungan besar yang membolehkan mereka membina pusat latihan baharu.
Sementara itu, Plymouth pernah berdepan krisis kewangan akibat kegagalan bidaan England untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018. Pada 2010 mereka hampir muflis selepas pelaburan besar dalam infrastruktur yang berkaitan dengan bidaan tersebut. Ia menyebabkan hutang melebihi £1 juta.
Namun, dengan pemilik yang lebih stabil dan pelaburan dalam akademi serta pemain baharu, masa depan bola sepak di Devon kelihatan lebih cerah berbanding sebelumnya.
Artikel asal: Richard Amofa