Bagaimana Real Madrid Menjadi Kuasa Besar Dalam Dunia Bola Sepak?

Real Madrid sememangnya sinonim dengan kejayaan. Mereka mempunyai keunikan tersendiri yang menjadikan mereka hampir pasti meraih kejuaraan besar setiap tahun. Walaupun penguasaannya dalam pertandingan Liga Juara-Juara musim ini kurang menonjol, mereka masih berada di puncak bola sepak Eropah.

Buat tahun kedua berturut-turut, Real Madrid menduduki tempat teratas dalam senarai Money League Deloitte yang dikeluarkan pada minggu ini. Laporan itu merangkumi data musim lalu di mana Real Madrid sekali lagi menjuarai Liga Juara-Juara. Kemenangan itu turut menjadikannya kelab pertama dalam sejarah yang mencatatkan pendapatan tahunan melebihi €1 bilion, dengan jumlah sebenar €1.05 bilion.

Lebih mengagumkan, mereka semakin jauh meninggalkan pesaing lain. Laporan Deloitte menunjukkan Real Madrid berada €208 juta di hadapan Manchester City yang berada di tempat kedua. Ia satu jurang paling dalam sejarah ranking itu. Mereka juga €240 juta di depan Paris Saint-Germain (PSG) yang menduduki tempat ketiga.

Manchester United dan Bayern Munich melengkapkan senarai lima teratas. Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) mendominasi 10 tempat teratas dengan 6 pasukan berada dalam kelompok itu. Arsenal (ke-7), Liverpool (ke-8), Tottenham Hotspur (ke-9) dan Chelsea (ke-10).

‘New Bernabeu mengubah landskap kewangan

Kejayaan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara dan La Liga bukan sahaja memberikannya trofi tetapi juga melonjakkan pendapatan mereka. Deloitte melaporkan bahawa Stadium Bernabeu menyumbang hampir €250 juta dalam pendapatan hari perlawanan musim lalu, bersamaan hampir £10 juta setiap perlawanan.

Selain itu, pendapatan komersial mereka meningkat kepada €482 juta, menyumbang kepada pertumbuhan tahunan sebanyak 26%. Dengan kapasiti 80,000 tempat duduk, Bernabeu bukan sekadar tempat perlawanan tetapi juga pusat acara besar seperti konsert dan perlawanan NFL di Sepanyol.

Perubahan ini menjadi inspirasi bagi kelab-kelab lain. 5 daripada 10 kelab teratas dalam senarai Deloitte iaitu PSG, Manchester United, Manchester City, Barcelona dan Chelsea merancang untuk menaik taraf stadium mereka bagi meningkatkan pendapatan.

Pendapatan melalui siaran bukan lagi sumber utama

Walaupun pendapatan hak siaran masih penting tetapi ia tidak lagi menjadi faktor utama kejayaan kewangan kelab-kelab elit. Manchester City misalnya, masih mendahului dalam aspek hak siaran hasil kejayaannya di Liga Perdana Inggeris. Namun, Real Madrid terus menjana keuntungan besar di bahagian lain menjadikan kewangan kelab gergasi Sepanyol itu jauh lebih stabil.

Sebagai contoh, pada musim 2016-17, Manchester United pernah menjana pendapatan lebih tinggi daripada Real Madrid tetapi kini kelab Sepanyol itu mencatatkan pendapatan 36% lebih tinggi berbanding United.

Menurut Kunal Sajdeh dari Deloitte Sports Business Group, faktor utama yang mendorong kejayaan kewangan Real Madrid adalah pembukaan Bernabeu baharu. Dengan stadium baharu ini, mereka bukan sahaja meningkatkan kapasiti tempat duduk tetapi juga menjual lesen tempat duduk peribadi (PSL) dan pengalaman eksklusif kepada peminat. Bahagian ini menjadi sesuatu yang semakin popular dalam industri sukan global.

Kepelbagaian sumber menjadi ‘trend’ baharu

Bola sepak Eropah kini memasuki era baharu di mana kelab tidak perlu bergantung kepada sekadar hak penyiaran semata-mata. Di negara seperti Perancis, pendapatan penyiaran semakin menurun yang memaksa kelab mencari sumber pendapatan lain seperti jualan tiket perlawanan dan aktiviti komersial.

Barcelona dijangka meraih manfaat besar apabila Camp Nou yang sedang dinaik taraf siap pada musim depan. Mereka menganggarkan jualan 9,400 tempat duduk VIP mampu menjana pendapatan tambahan sebanyak €120 juta setahun. Begitu juga dengan Liverpool, yang bakal menikmati peningkatan hasil selepas Anfield dibesarkan kepada 61,000 tempat duduk.

Deloitte melaporkan pendapatan hari perlawanan meningkat sebanyak 11% setiap tahun. Real Madrid menjadi meraih manfaat paling besar dalam peningkatan ini.

Dalam perlumbaan pendapatan komersial, Real Madrid masih menjadi raja. Mereka menjana 4 kali ganda lebih banyak berbanding jiran setempatnya, Atletico Madrid. Kelab EPL mungkin tidak dapat menyaingi mereka dalam aspek ini tetapi pengaruh liga itu masih besar dengan 6 daripada 10 kelab teratas berasal dari England.

Kejayaan di Liga Juara-Juara masih penting

Liga Juara-Juara terus menjadi sumber pendapatan utama bagi banyak kelab. Contohnya, Newcastle United menjana 57% daripada pendapatan tahunan mereka (€371 juta) daripada hak penyiaran selepas kembali ke kejohanan itu.

Aston Villa, yang masih bermain di liga divisyen kedua pada 2019, kini kembali dalam 20 kelab terkaya dengan pendapatan €310 juta. Dengan kejayaannya mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara musim ini, pendapatan mereka dijangka meningkat lebih tinggi. Deloitte menganggarkan Villa boleh memperoleh lebih €100 juta daripada kejohanan itu.

Menurut Sajdeh, berada di Liga Juara-Juara bukan sahaja membawa manfaat daripada segi penyiaran tetapi juga meningkatkan nilai jenama kelab. Ia memberi kesan besar kepada perjanjian penajaan dan pendapatan komersial.

Masa depan bola sepak Eropah

Kajian Deloitte, yang bermula sejak musim 1996-97, sekali lagi membuktikan daya tarikan bola sepak semakin meningkat. Pada musim 2023-24, 20 kelab teratas menjana pendapatan keseluruhan sebanyak €11.2 bilion, peningkatan 6% berbanding musim sebelumnya.

Walaupun pendapatan penyiaran semakin statik pada kedudukan €4.3 bilion, kelab-kelab besar masih mampu berkembang dengan mencari sumber pendapatan baharu. Real Madrid telah menunjukkan hala tuju yang betul dan kini banyak kelab lain cuba mengikut jejak mereka untuk mencapai pendapatan tahunan melebihi €1 bilion.

“Kita melihat kelab-kelab yang sama berada dalam kedudukan teratas sejak bertahun-tahun. Namun, trend yang lebih besar adalah bagaimana mereka semakin mengawal pendapatan mereka sendiri,” kata Sajdeh. “Kelab kini bertanya, ‘Apa lagi yang boleh kami lakukan dengan stadium dan jenama kami?’ ia menjadi kunci utama.”

Dan Real Madrid sudah pun menemui jawapannya.

BACA:  Takefuso Kubo Reject Tawaran RM822.86 Juta Untuk Sertai Al Nassr