Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 tadi telah mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan satu bilion ringgit untuk pembangunan sukan.
Dalam ucapannya itu juga Yang Berhormat Perdana Menteri telah mengucapkan tahniah kepada wira dan wirawati negara.
“Pada Ogos dan September yang lalu, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menyaksikan bahawa, Malaysia telah diisytiharkan sebagai Juara Keseluruhan Temasya Sukan SEA Ke-29, dan mendapat tempat Kedua Sukan Para ASEAN Ke-9.”
“Justeru, bagi pihak Kerajaan, marilah kita beri tepukan paling gemuruh kepada semua ‘wira’ dan ‘wirawati’ kita di atas sana!”
Peruntukan Pembangunan Sukan Dalam Bajet 2018
1. Bagi mengekalkan momentum bidang sukan dalam menjadi sports powerhouse, Kerajaan memperuntukkan satu bilion ringgit bagi melaksanakan inisiatif meliputi FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlit, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.
2. Kerajaan juga mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara, dengan kos 112 juta ringgit.
3. Di samping itu, sukacita diumumkan peruntukan 20 juta ringgit kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil, untuk menambah baik kemudahannya sebagai sekolah sukan premier.