Bale Percaya Pada Kewujudan Makhluk Asing Dan Turut Meyakinkan Rakan Sepasukannya Tentang Itu

Gareth Bale menegaskan yang bukti tentang kewujudan Makhluk Asing ada di mana-mana saja dan beliau turut berjaya meyakinkan rakan sepasukannya tentang hal tersebut.

Pemain sayap Wales itu telah terlibat dalam satu temu bual bersama Sky Sports, dan beliau ketika temu bual itu telah menjawab beberapa soalan yang ditanya oleh para peminat.

Salah seorang peminat telah bertanya padanya tentang kepercayaan beliau berkait alam semesta terutama Makhluk Asing.

Ketika menjawab soalan yang aneh itu, banyak pihak terkejut dengan jawapan Bale kerana tiada siapa sangka beliau sebenarnya taksub dengan hal-hal seperti ini.

Bekas bintang Tottenham Hotspur itu suka menghabiskan masa menonton beberapa siri dokumentari berkait Makhluk Asing dan beliau jelas percaya tentang kewujudan mereka.

Beliau ketika itu menjawab:

“Bukti nyata ada di mana-mana. Orang semua harus kaji tentang itu.”

“Saya mengkaji hal ini sejak beberapa tahun lalu dan jelas sekali banyak hal yang palsu ada di luar sana.”

“Tapi saya rasa pihak kerajaan US baru-baru ini telah menyiarkan beberapa keping gambar, video rakaman tentang objek tak dikenali yang terbang di udara. Mereka siarkan semua itu di media internet.”

“Dan saya rasa ada beberapa program di Netflix dan sebagainya tentang hal ini. Jadi ya, ia sangat menarik. Saya taksub dengan hal seperti ini dan kerana itu saya percaya.”

“Jumlah gambar dan bukti yang kita ada tak boleh dipalsukan.”

Bale pada musim lalu telah menghabiskan masanya beraksi bersama Tottenham Hotspur sebagai pemain pinjaman.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya meyakinkan beberapa pemain Tottenham Hotspur tentang kewujudan hal tersebut.

Ketika beliau diberitahu yang Harry Kane tidak percaya dengan Makhluk Asing, Bale dengan segera menjawab:

“Dia tak buat kajian dengan rapi, betul kan?”

Salah seorang rakan sepasukannya yang kini sudah mengikuti jejak langkahnya untuk taksub dengan hal ini adalah pemain pertahanan dan juga rakan sepasukannya bersama Wales, Joe Rodon.

Pemain berusia 31 tahun itu kemudian menambah lagi kenyataan beliau dengan menyatakan:

“Saya sudah yakinkan dia tapi dia masih lagi samar-samar. Dia sedang belajar tentang hal ini, tapi dia masih ragu-ragu.”

Bale ketika ini sedang beraksi dalam saingan Euro 2020 bersama skuad kebangsaan Wales.

Diletakkan dalam kumpulan A bersama Itali, Turki dan Switzerland, Wales ketika ini berada di kedudukan kedua selepas mencatatkan satu keputusan seri dan satu kemenangan.

Skuad kendalian Robert Page akan bertemu Itali pada hujung minggu nanti, dan seandainya mereka menang, maka Wales akan melayakan diri ke pusingan 16 terbaik.

Namun Wales sepertinya akan tetap mara ke peringkat seterusnya walau apa jua keputusan dalam perlawanan terakhir mereka.

Bercakap berkait isu Makhluk Asing, baru-baru ini isteri kepada bekas bintang Manchester United, Chris Smalling mendedahkan bahawa beliau melihat UFO di Jamaica bersama suaminya.

Dalam satu muat naik di Instagram, isteri kepada pertahanan AS Roma itu telah memberi jaminan kepada para pengikutnya yang beliau masih normal dan tidak berada di bawah pengaruh apa-apa.

Walau berada di Jamaica, beliau menegaskan yang dirinya tidak dipengaruhi oleh mushrooms atau apa saja yang berkaitan melainkan sekadar menikmati percutian bersama keluarga.

Isteri Smalling cuba menggambarkan yang mereka melihat objek terbang rendah di sekitar mereka dan selepas sejam lebih berada di situ, objek tersebut dengan segera terbang kembali ke awan.

Sam yang merupakan model terkenal dari Manchester, kemudiannya menjelaskan tentang bagaimana senyap dan tersembunyinya UFO yang mereka lihat itu.

“Terlalu kecil untuk dapat dirakam ketika dia masih berada di atas langit, bahkan Chris boleh nampak dia berputar-putar dengan lampu berkelip di sekitarnya.”

Beliau kemudian mendakwa lagi yang mereka sebenarnya dengan mudah bolah dapat menangkap gambar objek yang begitu besar melintasi mereka, namun kedua-dua mereka terlalu terkejut dan sama sekali tidak menjangkakan ia akan berlaku.

Berikut merupa bagaimana isteri Smalling bercerita tentang penemuan UFO itu menerusi IG stories miliknya.

Dua jam kemudian, Sam sekali lagi memuat naik status di Instagram miliknya untuk memastikan kesemua para pengikutnya yakin yang ia bukan drone tetapi memang UFO.

Beliau menulis,

“Ia sangat besar dan sangat canggih dengan lampu samar-samar di sekelilingnya. Bentuknya juga tidak begitu cantik, tak sama seperti drone. Gila! Saya tahu, dia juga bukan kapal terbang atau apa-apa seperti itu. Ia sangat senyap. Bahkan drone sendiri bising.”

“Saya juga tak dapat apa-apa untuk berkongsi semua ini. Hanya mungkin kebanyakkan pengikut saya akan kata saya gila.”

Jadi mengikut nasihat Bale, kalau ada yang tak percaya dengan Makhluk Asing, maka mereka sepatutnya pergi kaji dengan lebih dalam lagi tentang itu.

BACA:  Crouch: Bale Tidak Sesuai Dengan Manchester United