Ball Boy @ Ball Picker : Watak Penting Dalam Dunia Bola Sepak Moden

Malam ini pasukan Perak FA akan berlangsung tanpa penonton. Sehari dua ini nama-nama ball picker atau ball boy telah menjadi sebutan. Biasanya dipanggil budak milo.

Hazard menendang budak Milo yang disangkanya tin Milo. Kesian!

Hal ini kerana mereka telah dibenarkan oleh FAM untuk berada di tepi padang sewaktu perlawanan Perak menentang Melaka malam esok. Ya, ramai yang telah volunteer untuk menjadi budak milo berikutan penonton tidak dibenarkan masuk.

Siapakah Budak Milo?

Mereka adalah individu, biasanya golongan muda, yang mengutip dan memberikan bola kepada pemain atau pegawai dalam sukan seperti bola sepak, ragbi , kriket, tenis, besbol, bola keranjang dan sukan mengutip yang lain.

Walaupun peranan budak Milo ini seakan tidak penting tetapi tanggungjawab mereka sebenarnya besar bagi mempercepatkan proses pengambilan bola dengan mengurangkan jumlah masa terbuang.

Sejarah Budak Milo

Sejarah ball boy sebenarnya bermula pada tahun 1920 dan sukan pertama yang menggunakan khidmat mereka adalah sukan tenis. Sekumpulan remaja lelaki dipilih untuk mengutip bola bagi kejohanan tenis di Wimbledon.

Pada tahun 1977, kanak-kanak perempuan pula diberi peluang untuk merasai nikmat mengambil bola dan digelar Ball Girl. Bagi memudahkan sebutan bagi lelaki & perempuan mereka dipanggil BBG’s.

BBG’s Wimbledon

Pada kejohanan Wimbledon, seramai 250 BBG’s diperlukan. 250 orang ini dipilih dari 700 permohonan. Jadi bayangkan, berapa ramai BBG’s untuk sesebuah perlawan tenis. Purata umur mereka seawal 15 tahun dan beri kontrak selama 2 tahun.

BBG kalau BCG kat bahu.

Apa yang menariknya ialah sekolah mereka yang terpilih sebagai BBG’s akan direkod dan tersemai dalam sejarah sesebuah Kejohanan Wimbledon.

Bermula pada tahun 1946 hingga 1966 , kesemua BBG’s telah didatangkan dari sekolah Goldings Barnardo di Hertfordshire, England. Banyak yang telah mereka pelajari sepanjang mereka bertugas sebagai BBG’s di Wimbledon.

Untuk itu, setelah 50 tahun, mereka telah kembali semula ke tapak permulaan kerjaya mereka di Wimbledon. Mereka telah dipertemukan semula bagi berkongsi kenangan pahit manis sebagai BBG’s 50 tahun dahulu dengan BBG’s generasi baru pada hari ini.

Bagaimana budak Milo dipilih?

Bagaimana pemilihan budak Milo bagi sukan bola sepak? Ianya amat berbeza dari sukan tennis. Ia tertakluk atas budi bicara kelab masing-masing.

Kebanyakan kelab-kelab Eropah akan menggunakan khidmat Ball boy daripada pasukan liga belia mereka. Sebagai contoh, Sunderland, mereka telah menggunakan khidmat Ball boy dari Liga Belia Russel Foster.

Bagi pasukan Arsenal, mereka telah menggunakan khidmat ball boy dari pasukan belia mereka iaitu Young Gunners. Ball Boy the Gunners terpaksa menjalani sesi pemilihan yang ketat dan mereka yang dipilih dari lingkungan umur 12 hingga 16 tahun.

Berbeza pula nasib bagi pasukan Manchester City musim lepas, mereka terpaksa merayu di website untuk mencari kanak-kanak berumur 11 dan 12 tahun menjadi pengutip bola. Antara kriteria yang diperlukan, calon mampu hadir ke setiap perlawanan, bertenaga dan memiliki kecekapan menangkap bola.

Newcasle United pula memilih dan menjemput Ball boy mereka melalui ahli-ahli kelab penyokong yang berumur bawah 13 tahun. Selain itu mereka juga telah mengadakan cabutan bertuah bagi setiap perlawanan untuk Ball Boy mereka sebagai salah satu cara untuk menarik minat mereka menjadi Ball boy.

Berapa had umur Budak Milo?

Tiada had umur dan perkara ini terpulang kepada kelab. Purata umur ball boy di Liga Inggeris ialah pada lingkungan 13 ke 16. Untuk rekod, ball boy paling tua ialah Charlie Morgan yang berkhidmat bersama Swansea. Mungkin Charlie pemandu van Milo.

Penglibatan tektikal sesebuah perlawanan?

Ya, secara tak langsung mereka membantu kemenangan pasukan tuan rumah. Selalunya pengutip bola ini akan diberi taklimat oleh pengurusan pasukan sebelum sesebuah perlawanan. Taktikal yang selalu dilihat semasa perlawanan ialah mereka akan melengah-lengahkan perlawanan sekiranya pasukan tuan rumah berjaya mengatasi pasukan pelawat.

Ini ialah perkara normal. Namun begitu, mengikut trend terkini ialah penggunaan kain tuala kecil untuk mengelap bola. Hal ini telah dimulakan oleh pasukan Stoke City dalam perlawanan penting. Tuala kecil yang digunakan oleh mereka dibasahkan bagi tujuan melicinkan tangan pemain lawan sewaktu melakukan lontaran ke dalam.

Untuk rekod, di Malaysia, belum ada lagi pasukan yang menggunakan Ball boy menjadi sebahagian daripada taktikal perlawanan. Namun begitu dapat dilihat langkah berjaga-jaga yang dilakukan oleh pasukan Kuantan FA kerana pemain import mereka Ljuba memiliki kepakaran melakukan Throw in dari jarak jauh.

Sistem multi-ball?

Dalam sesebuah kejohanan Eropah UEFA dan Piala Dunia, sistem multi-ball telah digunakan pakai sebagai salah sebuah ciri kejohanan. Sistem ini menggunakan 7 biji bola bagi seorang Ball boy di sesebuah bahagian padang. Jadi tiada alasan untuk bola lewat ketika perlawanan di jalankan.

Adakah Ball boy boleh dikenakan hukuman?

Ya,bunyi macam lawak tapi ia merupakan satu kontroversi. Dalam satu perlawanan South Africa’s Premier Soccer League pada tahun 2016, Cape Town City bertemu fourth-placed Kaizer Chief, seorang ball boy telah diarahkan untuk meninggalkan padang.

Budak Milo tersebut telah melontarkan bola ke dalam padang ketika pasukan tuan rumah sedang diasak oleh pelawat. Apabila dua biji bola berada dalam satu padang, pengadil terpaksa menghentikan perlawanan.

Tindakan pengadil melayangkan kad merah kepada ball boy ini kelihatan agak kasar namun tindakan melontarkan bola ke dalam padang secara tiba-tiba mencemar semangat kesukanan.

Bagaimana menjadi Ball Boy terbaik

Salah seorang pengajar Ball Boy di Wimbledon, Faisal Abdalla berpendapat bahawa Ball Boy terbaik ialah mereka tidak akan dapat dilihat dan melakukan kerja secara senyap-senyap.

Sekian kupasan dari saya.

Takkan nengok jer? Tak nak tolong awak kupas ke?

Artikel ini telah disumbangkan oleh Perakmania

Baca Juga

Baca Juga